Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zahid ulas pertelingkahan Pemuda Umno-DAP: ‘Jangan jejas hubungan antara parti dalam Kerajaan’

Aug 18, 2025 | 2:36 PM
Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto fail

PASIR SALAK (Perak): Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggesa ketua Pemuda partinya, Datuk Dr Akmal Saleh, dan pemimpin Pemuda Parti Tindakan Demokratik (DAP) supaya berhenti bertelagah.

Mesej utama untuk kedua-duanya adalah untuk tidak membiarkan tindakan mereka merosakkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, terutama antara gabungan politik Umno - Pakatan Harapan (PH).

Dipercayai merujuk kepada Datuk Dr Akmal tanpa menyebut namanya, Datuk Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata keputusan pucuk pimpinan parti perlu dipatuhi semua demi menjaga keharmonian.

“Kita telah membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi. Jangan kerana mahu mempopularkan sesuatu isu atau untuk dilihat paling popular, akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti, apatah lagi di peringkat akar umbi,” katanya, lapor Malaysiakini.

Bagi pemimpin Pemuda DAP pula, sekali lagi tanpa menyebut sebarang nama khusus, Datuk Ahmad Zahid mengingatkan bahawa keputusan politik tidak sepatutnya mengorbankan perpaduan gabungan politik itu.

“Kita tidak mahu kerana ada satu peristiwa, keputusan politik dibuat hingga menggoyahkan kesatuan dalam 18 parti yang membentuk Kerajaan Madani,” kata Datuk Ahmad Zahid.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan politik dan tindakan undang-undang tidak seharusnya dicampur adukkan.

Datuk Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas mengenai tindakan pemimpin Pemuda DAP yang mendesak parti itu memutuskan hubungan dengan Datuk Dr Akmal kerana menyifatkan ketua Pemuda Umno itu boleh menjejaskan kepada keharmonian negara.

Gesaan itu disuarakan oleh Pemuda DAP Pulau Pinang dan telah mendapat sokongan daripada rakan sejawatan mereka di Kedah dan Negeri Sembilan.

Seruan itu dibuat selepas Datuk Dr Akmal mengecam insiden seorang pemilik kedai perkakasan di Pulau Pinang yang mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Datuk Dr Akmal, bersama Pemuda Umno dan Pemuda Bersatu, berhimpun di luar kedai perkakasan itu pada 14 Ogos lalu.

Dalam kenyataan terbaru, dipercayai respons kepada kenyataan Datuk Ahmad Zahid, Datuk Dr Akmal berkata cintanya kepada agama, bangsa dan negara tidak ternilai.

“Jika itu yang diperkatakan, saya tiada apa lagi yang hendak dinyatakan,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Dr Akmal juga menarik perhatian dalam isu stokin tertera kalimah Allah dengan gesaan memboikot rangkaian pasar raya yang terlibat hingga mencetuskan keadaan genting antara Umno dan DAP.

Selain itu, Datuk Dr Akmal turut lantang dalam isu tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dengan gabungan kerjasama blok politik PH, Umno dan parti gabungan dari Sabah dan Sarawak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg