KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengakui parti itu belum berjaya mendapat semula sokongan masyarakat Melayu sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata keadaan itu berpunca daripada isu dan sentimen yang tidak ditangani secara baik oleh kepimpinan Umno serta 18 parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan.
Justeru, pendekatan baru perlu diambil bagi menangani keadaan itu, terutama melalui perhubungan tanpa lisan dan platform bukan konvensional, katanya, yang juga pengerusi gabungan Barisan Nasional (BN).
“Ya, betul (Umno belum berjaya meraih semula sokongan orang Melayu). Saya akui ia masih berada pada tahap rendah. Sebab inilah saya merujuk kepada soal isu dan sentimen yang pada hemat saya ia belum ditangani secara baik.
“Dulu, tokoh yang memainkan peranan menghasut pun apabila berada dalam kerajaan, hasutan berkenaan tidak berapa menggigit.
“Justeru, pendekatan baru wajib dilakukan, terutama melalui perhubungan tanpa lisan,” katanya semasa satu wawancara khas sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini, lapor Berita Harian Malaysia.
Pada November 2022, Umno memuktamadkan keputusan menyokong dan menyertai Kerajaan Perpaduan.
Ia dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno, yang turut mengambil maklum dan memperhalusi butiran dua perbincangan yang dijalankan Jawatankuasa Perundingan BN, satu bersama Pakatan Harapan (PH), iaitu antara parti dalam Kerajaan Perpaduan, dan satu lagi bersama Perikatan Nasional (PN), yang sekarang menjadi pembangkang.
Ditanya sama ada kerjasama BN-PH membentuk Kerajaan Perpaduan mendorong penguncupan sokongan Melayu terhadap Umno, Datuk Ahmad Zahid menafikan perkara itu.
“Tidak timbul soal tak boleh kerjasama (BN-PH membentuk Kerajaan Perpaduan) tetapi sebab itulah saya katakan tadi, maklumat dan penjelasan perlu pergi ke akar umbi,” katanya, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak mempersoalkan sebarang ketetapan mengenai sebarang isu membabitkan masyarakat Melayu.
“Umpamanya soal kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan bahasa Malaysia, anda semua tidak tahu yang semua perkara ini kalau dibincangkan sekalipun dalam Kabinet, tiada bantahan daripada parti yang kononnya sangat tidak sukakan perkara ini.
“Ini realiti sebab kebetulan pemimpin parti berkenaan (DAP) duduk di sebelah kanan saya dalam mesyuarat Kabinet. Tidak pernah sekali pun (mereka persoalkan ketetapan mengenai perkara berkenaan.
“Ia hanyalah persepsi. Tidak ada (bantahan terhadap perkara berkenaan) sebab pihak lawan yang menjadi tukang cucuk supaya kita bergaduh. Sebenarnya tidak berlaku pun masalah itu, walaupun sekali,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg