Tempoh kempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di Gua Musang, Kelantan, yang bermula pada 3 Ogos, diwarnai pelbagai isu baik daripada parti dan calon kerajaan mahupun pihak lawan.
PRK berkenaan, yang menyaksikan 87 peratus pengundinya adalah kaum Melayu, menjadi ujian bagi calon Barisan Nasional (BN)-Umno, Encik Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, kembali menarik undi Melayu bagi merampas semula kerusi tradisi BN selama empat penggal, pada hari pengundian 17 Ogos ini.
Berdepan provokasi lawan yang memainkan sentimen UMDAP (Umno-Parti Tindakan Demokratik/DAP), Encik Azmawi yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan tidak melatah, sebaliknya menghormati kerjasama dibentuk Umno bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Keterbukaan itu dizahirkan Encik Azmawi dengan kesediaan menerima DAP sekiranya pemimpin parti itu turun berkempen ke DUN Nenggiri.
“Ini negara demokrasi, kita tiada hak untuk halang sesiapa saja untuk datang. Mana-mana pemimpin boleh datang dan bantu kempen,” jelasnya.
Sebelum ini, Pengarah PRK DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga anggota veteran Umno dan bekas Ahli Parlimen (AP) Gua Musang selama 12 penggal berturut-turut, dilaporkan berkata tiada keperluan bagi DAP datang berkempen di DUN Nenggiri, berikutan ia adalah kawasan 100 peratus Melayu.
Untuk mencapai sasaran BN-Umno kembali menguasai DUN Nenggiri, Encik Azmawi giat turun padang menyantuni setiap pengundi di kawasan berkenaan yang bersaiz hampir dua kali ganda lebih besar daripada negeri Melaka.
Mesra disapa Awie, beliau berkata daripada maklum balas diterima daripada pengundi DUN Nenggiri, mereka mendambakan wakil rakyat yang sentiasa turun padang dan dekat di hati rakyat.
“Pembangunan boleh dibuat, tetapi lebih penting ialah wakil rakyat yang sentiasa berada bersama mereka. Kuasa di tangan rakyat, hari ini jika kita dipilih tetapi tidak berkhidmat kepada rakyat, lima tahun lagi kita akan ditolak,” kata calon berusia 38 tahun itu.
Kempen calon pembangkang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Mohd Rizwadi Ismail, 41 tahun, pula menerima ‘tamparan’ apabila seramai 480 ahli parti itu di DUN Nenggiri mengambil keputusan beralih sokongan kepada Umno, sekali gus menandakan ‘terkuburnya’ cawangan Bersatu di DUN Nenggiri.
“Jumlah ahli Bersatu Nenggiri ketika ini sudah jadi kosong. Semua ahli dari 12 cawangan Bersatu di DUN Nenggiri beralih sokongan kepada Umno,” kata bekas Timbalan Ketua Bersatu Gua Musang, Che Ariffin Hussin.
Namun, Encik Mohd Rizwadi, juga bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS yang diumum sebagai calon Perikatan Nasional (PN) selepas hanya dua hari menyertai Bersatu, yakin pengalamannya sebagai bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan akan memberi kelebihan untuk memenangi kerusi DUN Nenggiri.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Encik Mohd Azmawi dan Encik Mohd Rizwadi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg