KUALA LUMPUR: Umno dan PAS (Parti Islam SeMalaysia) yang pernah membentuk kerjasama politik, ibarat berpatah arang berkerat rotan, apabila pimpinan kededua parti menyatakan pendirian untuk tidak bekerjasama, selagi parti masih diterajui presiden sama.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menerajuinya sebagai Presiden.
Pendirian itu kata Datuk Ahmad Zahid ekoran Tan Sri Abdul Hadi tidak konsisten dengan keputusan yang sudah dipersetujui dalam perbincangan secara bersemuka.
“Saya pernah berbincang empat mata dengan (Tan Sri) Abdul Hadi. Hari ini depan-depan setuju. Namun, keesokannya dia tukar. Setuju-setuju kemudian di belakang dia tukar kembali. PAS ini berbohong dari dahulu sampai sekarang.
“Selagi orang itu jadi Presiden, jangan harap kita bekerjasama dengan parti yang menunggang Islam itu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Kuala Kangsar di Perak, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Terdahulu, Datuk Ahmad Zahid mengingatkan ahli Umno supaya menerima hakikat bahawa kaedah terbaik bagi memastikan parti itu terus bertahan ialah bekerjasama dalam politik.
“Kita kena terima hakikat bahawa kaedah terbaik adalah bekerjasama kerana dalam politik tiada musuh yang kekal dan juga tiada kawan yang kekal.
“Hari ini mungkin kawan, esok lawan dan hari ini lawan, namun mungkin esok kawan,” katanya.
Kenyataan Datuk Ahmad Zahid itu dibalas PAS oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dengan pendirian sama bahawa parti itu juga tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan Umno selagi Datuk Ahmad Zahid menjadi Presiden parti itu.
“PAS yakin selagi Datuk Ahmad Zahid menerajui Umno, ia akan menjadi ‘berita baik’ kepada PN (Perikatan Nasional). Malah, Tan Sri Abdul Hadi sudah mengangkat kejayaan besar dalam sejarah perjuangan PAS dan ia petanda beliau berada di laluan betul.
“Saya lihat keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap (Pulau Pinang) adalah isyarat jelas. PN mampu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dengan kekuatan yang ada pada PN,” katanya lapor BHM.
Umno dan PAS pernah membentuk kerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) selepas berakhirnya PRU ke-13 pada 2018, namun hubungan itu terlerai sekitar 2022.
Keputusan PAS untuk menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai rakan kerjasama politik atas nama penyatuan ummah tidak disenangi Umno yang melihat usaha itu akan melemahkan kedudukan parti Melayu berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg