PUTRAJAYA: Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) hingga tamat penggal.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu memang pendirian Umno dan BN ketika memasuki kerjasama dengan PH sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada Disember 2022.
Ia antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik pada 5 Januari iaitu cadangan daripada Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pada 3 Januari untuk parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.
Datuk Ahmad Zahid berkata tiada keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat berkenaan berhubung saranan Pemuda Umno itu.
“Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang ini.
“…dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti, ia adalah penggal secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Datuk Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, berkata semua yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik itu membabitkan keputusan besar yang akan dibuat oleh parti tersebut.
Justeru, ia memerlukan perincian sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Katanya, beliau mendengar pandangan daripada wakil Perhubungan Negeri dan ia perlu diteliti.
“Kita membincangkan soal untuk kerjasama dijalin semula antara Umno-BN dan pihak pembangkang terutama kerjasama antara Umno dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
“Sebagaimana diketahui, mereka juga menyarankan kita mencari waktu sesuai bagi meninggalkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.
Pada 3 Disember, Datuk Dr Muhamad Akmal, ketika berucap pada Konvensyen Khas Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), berkata Pemuda Umno menolak sebarang usaha merampas kuasa dan ‘menebuk atap’ sehingga mengakibatkan kerajaan sedang memimpin negara ketika ini tumbang.
Beliau, bagaimanapun, mahu dan menggesa partinya menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang, selain menegaskan jika tindakan itu diambil Umno tidak akan menyebabkan kerajaan sedia ada runtuh berikutan ia mempunyai sokongan kira-kira 153 Ahli Parlimen ketika ini.
“Kita tak nak merampas kuasa dari pintu belakang. Kamu pimpinlah negara ini, kita jadilah pembangkang setahun dua tahun ini... kita kuatkan semula orang Melayu,” katanya ketika berucap.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Ahmad Zahid berkata Umno tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.
Tanpa menamakan parti politik tertentu, beliau berkata Umno tidak mahu dikhianati oleh pihak sama berulang kembali.
“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.
“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya ketika diminta mengulas sama ada Umno akan menghidupkan semula kerjasama dengan PAS, di bawah payung Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Sebelum ini, Datuk Dr Akmal menggesa untuk dihidupkan semula MN susulan perkembangan politik mutakhir di Perlis ketika itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg