Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Saranan hidupkan Muafakat Nasional cetus reaksi berbeza pemimpin politik

Jan 5, 2026 | 12:07 PM
Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri), bersama Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang (dua dari kanan), ketika pelancaran Muafakat Nasional (MN) pada 2019. - Foto MALAYSIAKINI

Pemimpin politik kerajaan dan pembangkang menzahirkan reaksi berbeza terhadap saranan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, yang mencadangkan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula serta Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

MN adalah pakatan kerjasama yang pernah dibentuk oleh Umno-Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada 2019, bertujuan menyatukan sokongan politik Melayu/Islam, namun ia kian longgar selepas kededua parti menyertai gabungan berbeza selepas pembentukan Perikatan Nasional (PN).

Dalam kalangan pemimpin PAS, cadangan tersebut disambut secara terbuka dan dianggap wajar diberi perhatian serius sebagai usaha penyatuan politik Melayu.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, berkata usaha menghidupkan kembali MN perlu dilihat sebagai payung besar penyatuan strategik.

“Saya menyokong penuh cadangan Ketua Pemuda Umno Malaysia untuk menghidupkan kembali MN, malah disambut Ketua Pemuda PAS Malaysia.

“MN bukan sekadar kerjasama politik jangka pendek, tetapi satu gagasan penyatuan strategik yang memayungi parti-parti Melayu serta rakan-rakan bukan Melayu yang sederhana, rasional dan menolak ekstremisme.

“Negara ini hanya mampu distabilkan melalui politik yang membina, bukan politik yang merobohkan.

“Saya melihat inilah masa terbaik untuk parti-parti Melayu melakukan ‘reset’ secara menyeluruh.

“‘Reset’ daripada sudut pendekatan, budaya berpolitik, tatakelola kepimpinan dan keutamaan perjuangan.

“Politik dendam dan saling mencurigai mesti digantikan dengan politik muafakat, amanah dan tanggungjawab bersama,” katanya, lapor portal berita, Malaysiakini.

Bagaimanapun, nada berbeza disuarakan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang melihat kenyataan Dr Akmal berpotensi menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan AMK, Encik Danish Hairudin, berkata kerajaan bukan bahan mainan politik dan bukan kain baju yang boleh ditukar sesuka hati apabila berdepan tekanan atau ego tercalar.

“Mandat rakyat bukan bahan uji kaji atau alat tawar-menawar kuasa.

“Bermain dengan persepsi Melayu/Islam diinjak dan jeritan kononnya memperjuangkan rakyat hakikatnya hanyalah cubaan murahan menutup dan melindungi elit politik tertentu.

“Apa yang rakyat mahu adalah sebuah kerajaan yang stabil dan bekerja seperti hari ini.

“Kerajaan Madani berdiri dan bergerak atas semangat penyatuan rakyat dan hari ini terbukti kerangka ekonomi Madani berkembang dengan sangat baik, memberi kesan langsung kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang (Melaka), Dr Mohd Aleef Yusof, daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berpandangan usaha penyatuan Melayu tidak akan berjaya tanpa penglibatan Bersatu.

Beliau mempersoalkan pendekatan Dr Akmal yang dilihat mengetepikan Bersatu dalam gagasan penyatuan ummah yang hanya melibatkan Umno dan PAS.

Setakat ini, pimpinan tertinggi Umno belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai MN dan perkara itu dilaporkan tidak dibincangkan, namun Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan bersetuju supaya MN dihidupkan semula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg