Topic followed successfully
Go to BHku20 ahli keluarga terima rezeki tunai haji bersama
20 ahli keluarga terima rezeki tunai haji bersama
13 anggota keluarga dari S’pura akan berangkat dari Changi, manakala 7 lagi bakal berlepas dari KLIA
20 ahli keluarga terima rezeki tunai haji bersama
Bayangkan dapat menunaikan rukun Islam yang kelima, bukan sekadar bersama pasangan, malah bersama adik-beradik dan saudara-mara tersayang secara serentak.
Inilah realiti seramai 20 ahli keluarga dari Singapura dan Malaysia yang bakal mencipta kenangan luar biasa sedang mereka berangkat bersama untuk melaksanakan fardu haji bersama pada Mei ini.
Kumpulan ini melibatkan 13 anggota jemaah dari Singapura yang akan berangkat dari Lapangan Terbang Changi bermula 9 Mei ini, manakala tujuh lagi ahli keluarga bakal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dari Singapura, mereka adalah Encik Daud Abdul Rahim, Encik Rosihan Ahmad Dahim, Encik Fathullah Abu Bakar, Profesor Madya Dr Mohd Mukhlis Abu Bakar, Cik Kamisah Ismail, Cik Latiffah Mohd, Cik Tauhidah Abu Bakar, Cik Haslina Majid, Cik Noor Seha Mohd Salleh, Encik Mohd Fazal Abdul Mutalib, Cik Mazni Masron, Encik Idris Wahab dan Cik Noor Atikah Abu Bakar.
Dari Malaysia pula, ialah Dr Roqiah Fatmawati Dato’ Abdul Kadir, Encik Ichwan Fiska Rimaya Musly Thahar, Cik Nur Azlin Tan Sri A Samad, Encik Nik Azman Nik Abdul Aziz, Cik Maslinah Abdul Aziz, Encik Azman Mohd Azahar dan Cik Firdaus Waheedah Ramli.
Bagi anak sulung dalam enam adik-beradik, Cik Tauhidah Abu Bakar, 70 tahun, peluang ini merupakan satu rahmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata selepas penantian lebih sedekad.
“Bayangkan dapat melakukan rukun Islam yang kelima bersama adik-beradik tersayang. Kami sangat bersyukur kerana Allah telah kurniakan hikmah yang tertinggi ini kepada kami bersaudara serta kesemua sepupu kami.
“Kami sangat terharu dapat bersama bukan sahaja adik-beradik kandung, tetapi dengan sepupu-sepupu sekali,” kata ibu seorang anak perempuan itu yang juga nenek dua cucu berusia tiga dan tujuh tahun.
Beliau dijadualkan berangkat bersama tiga lagi adik-beradiknya iaitu Encik Fathullah Abu Bakar, Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar dan Cik Noor Atikah Abu Bakar pada 14 Mei.
Cik Tauhidah yang kini sudah bersara, berkongsi bahawa beliau telah mendaftar sekitar 2012 atau 2013, namun pernah menangguhkan tawaran sebelum ini demi mengutamakan menjaga kebajikan ibu bapa yang ketika itu sedang sakit.
“Waktu itu ibu dan bapa saya sakit tenat, jadi kami pilih untuk menjaga mereka dahulu. Kini selepas mereka sudah tiada, Allah panggil kami semula dan kali ini kami dapat pergi bersama-sama adik-beradik yang lain. Kami sangat terharu,” kongsi Cik Tauhidah yang telah mendaftar untuk ke haji pada sekitar 2012 atau 2013.
Bagi suaminya, Encik Rosihan Ahmad Dahim, juga 70 tahun, yang merupakan seorang pelukis bebas, perjalanan ini adalah impian yang sudah lama dinantikan.
“Saya telah melukis Kaabah selama bertahun-tahun dalam kerja saya. Saya rasa sudah tiba masanya saya boleh melengkapkan perjalanan terakhir saya dalam hidup saya. Ia adalah impian yang menjadi kenyataan,” ujar Encik Rosihan yang akan berangkat pada 14 Mei bersama isteri dan adik-beradiknya.
Bagi Cik Noor Seha Mohamad Salleh, 60 tahun, yang merupakan sepupu Cik Tauhidah, dan sebahagian daripada 13 jemaah dari Singapura, beliau menerima berita gembira tersebut semasa berada di luar negara pada Disember 2025.
Beliau berharap perjalanan haji beramai-ramai ini dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang selama ini terbatas dek kesibukan kerja.
“Kami jarang dapat jumpa di Singapura walaupun satu negara. Mudah-mudahan kami dapat berjumpa di sana (Tanah Suci), selain dapat menjaga diri masing-masing atau temankan ahli keluarga yang perlukan bantuan. Itulah silaturahim,” ujar pegawai penyesuaian klien baharu di bank di persisiran.
Satu majlis doa selamat telah diadakan pada 3 Mei lalu di kediaman saudara mereka, Cik Saleha Abdul Aziz di Jalan Paras, yang dihadiri seramai 60 saudara-mara bagi meraikan kesemua 13 bakal haji dan hajah tersebut dari Singapura.
“Kita merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Dapat pergi bersama ahli keluarga yang besar adalah satu anugerah yang membuatkan kami sangat bersyukur,” tambah Cik Seha.
