“Let All The Children Boogie.” (Biarkan anak-anak menari mengikut rentak sendiri)

Bagi pelanggan setia kafe Penny University, slogan yang dipetik daripada lagu penyanyi popular, David Bowie, itu adalah simbol kebebasan dan masyarakat.

Namun, selepas empat tahun mewarnai Jalan Klapa, ‘tarian’ itu akan berhenti seketika apabila kafe tersebut menutup pintunya secara rasmi pada 3 Mei nanti.

Encik Mustafah gemar berinteraksi bersama pelanggan di kafenya.
Encik Mustafah gemar berinteraksi bersama pelanggan di kafenya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Keputusan itu bukan mudah.

Bagi pemilik kafe itu, Encik Mustafah Kamal, 17 Jalan Klapa adalah ruang di mana hubungan manusia terjalin melampaui sempadan geografi.

“Perkara yang paling sukar untuk dilepaskan adalah ikatan yang kami bina dengan masyarakat. Di sini, kami jumpa orang daripada pelbagai latar belakang.

“Ada pelancong yang singgah sebelum pulang ke Stockholm atau Amerika Syarikat, kemudian mereka hantar gambar kopi mereka kepada kami di Instagram.

“Hubungan peribadi itulah yang membuatkan keputusan untuk menutup kedai ini sangat berat,” luah Encik Mustafah kepada Berita Harian (BH), dengan nada yang sedih.

Encik Mustafah membuat kopi untuk pelanggannya.
Encik Mustafah membuat kopi untuk pelanggannya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Walaupun hubungan dengan pelanggannya akrab, Encik Mustafah tidak dapat mengetepikan tekanan dari segi kos perniagaan yang dialami.

Beliau mendedahkan bahawa kos perniagaan merangkumi bahan mentah, gaji pekerja, utiliti dan sewa telah melonjak sekitar 25 peratus dalam tempoh setahun yang lalu.

“Pasaran sudah lama menurun dan sikap perbelanjaan pelanggan juga berubah. Kami sudah cuba pelbagai model perniagaan untuk bertahan.

“Malah, kami pernah ambil risiko sewa bangunan tiga tingkat kerana mahu buat sesuatu yang berbeza seperti hidangan makan malam, tapi kami bergelut dari segi tenaga kerja untuk jalankan perkhidmatan penuh,” jelas beliau.

Encik Mustafah sempat mengecilkan operasi kepada satu tingkat sahaja pada 2023 bagi mengurangkan kos, namun cabaran tenaga kerja tetap menjadi penghalang utama.

“Isu sebenarnya adalah tenaga kerja dan tahap tenaga yang diperlukan untuk terus beroperasi. Kami rasa sangat tertekan dan letih.

“Kami sudah berusaha keras sejak beberapa tahun lalu untuk menampung kos, namun pulangan yang diterima tidak mencukupi,” katanya lagi.

Di sebalik ketabahan menguruskan perniagaan, faktor kesihatan juga telah menjejas keupayaannya pada awal 2026.

Beliau telah menjalani pembedahan di dada untuk membuang jangkitan kuman, yang menyebabkannya tidak dapat bertugas selama sebulan.

Keadaan itu, ditambah dengan urusan peribadi ahli pasukan yang lain, memaksa mereka membuat keputusan membatalkan penyertaan di Bazar Ramadan Kampong Gelam pada 2026.

“Fokus kami sekarang adalah untuk berhenti beroperasi di Jalan Klapa supaya kami dapat mengurangkan tekanan pada diri sendiri.

“Saya mahu semua berehat sebelum memikirkan langkah seterusnya. Kadangkala, kesihatan dan keluarga perlu diutamakan,” tambahnya lagi.

Meskipun berat hati, Encik Mustafah sudah mempunyai pelan jangka panjang untuk pasukannya terutama mereka yang telah bersamanya sejak 10 tahun lalu di East Coast.

Sebaliknya, beliau merancang untuk melatih semula kakitangan dapur dan perkhidmatan supaya mereka dapat menjadi barista di tiga reruai kopi kecil sedia ada, iaitu Wisma Geylang Serai (Big Mouth), Politeknik Ngee Ann, dan di Prinsep Street (Chix).

“Saya mahu kembali kepada teras perniagaan kami iaitu kopi. Sebelum adanya kedai fizikal lagi, kami bermula dengan konsep pop-up kopi.

“Jadi, kami akan beri tumpuan kepada cawangan kecil ini supaya jenama Penny University tetap hidup tanpa kerisauan operasi restoran yang besar,” jelasnya lagi.

Bagi Encik Mustafah, penutupan di Jalan Klapa bukanlah satu pengakhiran, tetapi satu tempoh rehat dan peluang untuk mencari inspirasi baru.

“Buat masa ini, kami hanya mahu rehat dan regroup. Mungkin selepas ini, kami akan dapat inspirasi baru untuk mulakan sesuatu yang lain. Kita tunggu dan lihat,” ujarnya lagi dengan nada penuh harapan.