Selama bertahun-tahun, Encik Harjuna Mappe memendam harapan yang dirasakannya mustahil untuk dicapai.

Penduduk Singapura berusia 83 tahun itu ingin kembali ke tanah kelahirannya di Indonesia dan berjumpa dengan keluarga yang lama terpisah akibat perang di Sulawesi Selatan pada 1950-an.

Siapa sangka doa beliau akhirnya terkabul selepas penantian empat dekad, berkat usaha kelima-lima anaknya yang bertungkus lumus menjejaki keluarga beliau di Indonesia.

Mesikupun pertemuan menyentuh hati itu berlaku pada Disember 2017, kisah tersebut mencuri perhatian di media sosial tatkala salah seorang anaknya, Cik Nur Rapika Mesra Harjuna, 33 tahun, memuat naik rentetan perjalanan mereka di Instagram.

“Pencarian yang pada mulanya disangka bak sebuah dokumentari, akhirnya berakhir dengan jejak kasih yang sangat menyentuh hati,” katanya.

Dihubungi Berita Harian (BH), Cik Nur Rapika, 33 tahun, menyifatkan usaha itu sebagai misi mereka adik-beradik untuk memenuhi impian bapa mereka.

Menceritakan semula, beliau berkata mereka bapa mereka masih menyimpan beberapa gambar lama keluarganya dan jarang menceritakan tentang kisah silamnya.

Lantas pada Disember 2017, mereka sekeluarga, terdiri daripada Encik Harjuna, isterinya dan lima anak-anak mereka mengambil penerbangan ke Makassar, Indonesia.

Misinya hanya satu iaitu untuk mencari ahli keluarga yang terputus hubungan selama lebih empat dekad, dalam masa empat hari sahaja.

“Kami sedar masa memang tidak menyebelahi kami,” kongsi Cik Rapika, anak keempat dalam lima adik-beradik.

Sememangnya, pencarian tersebut sangat mencabar kerana kehidupan bapanya, Encik Harjuna, banyak berubah sejak usia remaja.

Dilahirkan pada 1943 ketika penjajahan Jepun di Indonesia, Encik Harjuna membesar dalam suasana perang. 

Pada usia 14 tahun pula, Encik Harjuna terpaksa melarikan diri menaiki bot ke Sabah, Malaysia bagi mengelakkan diri daripada diambil menyertai gerakan bersenjata dalam pemberontakan Abdul Kahar Muzakkar yang ketika itu sedang melanda Sulawesi Selatan.

Gambar Encik Harujuna ( belakang, dua dari kiri) bersama keluarganya di Parepare setelah berakhir pemberontakan Abdul Kahar Muzakkan di Sulawesi Selatan.
Gambar Encik Harujuna ( belakang, dua dari kiri) bersama keluarganya di Parepare setelah berakhir pemberontakan Abdul Kahar Muzakkan di Sulawesi Selatan. - Foto NUR RAPIKA MESRA HARJUNA

Di Sabah, beliau dipelihara oleh sebuah keluarga angkat sebelum bekerja di sana sehingga usia pertengahan 20-an tahun.

Pada 1965, Encik Harjuna, anak keempat dalam enam adik-beradik, sempat pulang ke Parepare, Indonesia untuk bertemu semula ahli keluarganya.

Namun selepas kembali bekerja di Sabah, kehidupannya sebagai buruh limbungan kapal membawanya merantau ke Brunei, Sarawak dan akhirnya Singapura, di mana beliau mendirikan rumah tangga bersama Cik Hamidah Solman, warga Singapura.

Sejak itu, hubungan keluarga di kampung terputus sekali lagi.

Lantaran itu, Cik Rapika berkata mereka tujuh beranak menaiki kereta selama empat jam ke Parepare, tempat tinggal terakhir keluarga bapanya, tatkala tiba di Makassar pada 7 Disember 2017.

Keesokan hari, mereka menghabiskan masa mencari lokasi rumah lama yang masih diingati Encik Harjuna.

Harapan mereka bagaimanapun berkecai apabila dimaklumkan oleh ketua kampung bahawa rumah pusaka keluarga itu telah lama musnah dalam kebakaran.

Encik Harjuna dapat bertemu bersama adik perempuannya, Allahyarhamha Djohari Mappe pada 2017. Beliau meninggal dunia pada Jun 2019.
Encik Harjuna dapat bertemu bersama adik perempuannya, Allahyarhamha Djohari Mappe pada 2017. Beliau meninggal dunia pada Jun 2019. - Foto NUR RAPIKA MESRA HARJUNA

“Saya dapat lihat daripada raut wajah bapa yang beliau benar-benar sedih. Tetapi beliau masih tidak mahu berputus asa,” kongsi Cik Rapika.

Nasib mereka berubah apabila ketua kampung memaklumkan bahawa ahli keluarga bapanya dipercayai telah berpindah ke daerah Pinrang, perjalanan lagi sekitar dua jam.

Mereka turut diberi saranan oleh seorang pemilik warung agar mengunjungi pejabat pentadbiran tempatan bagi mendapatkan rekod penduduk.

Namun setibanya di Pinrang keesokan hari, iaitu Sabtu, pejabat tersebut tutup.

“Kami sampai sanggup meminta bantuan pengawal keselamatan untuk cuba menghubungi sesiapa sahaja yang boleh membantu, tetapi tiada siapa yang dapat berbuat apa-apa,” jelas Cik Rapika, ibu seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Dengan hanya baki sehari sebelum pulang ke Singapura, suasana berubah menjadi sayu.

Saudara Cik Rapika (kiri) memeluk erat Encik Harjuna kerana raut wajah beliau mirip dengan bapanya yang sudah meninggal dunia.
Saudara Cik Rapika (kiri) memeluk erat Encik Harjuna kerana raut wajah beliau mirip dengan bapanya yang sudah meninggal dunia. - Foto NUR RAPIKA MESRA HARJUNA

Pemandu mereka kemudian mencadangkan berhenti makan tengah hari di warung ikan bakar berdekatan.

Siapa sangka, di situlah mereka menemui jawapan apabila pemilik warung bertanya nama adik perempuan Encik Harjuna.

Rupa-rupanya, pemilik warung itu merupakan kenalan rapat keluarga yang sedang dicari.

Rumah tersebut pula hanya terletak kira-kira lima minit dari warung tersebut.

Tanpa berfikir panjang, pemilik warung berkenaan terus menutup kedainya dan membawa mereka ke sana.

“Subhanallah... memang kami rasa seperti satu keajaiban.

“Kalau kami tidak berhenti makan di situ, mungkin kami tidak akan jumpa keluarga bapa,” ujar Cik Rapika, pemilik perniagaan kek Blush Artisan Cakes.

Detik pertemuan semula dengan adik perempuan yang masih hidup itu ternyata menjadi peluang terakhir yang amat berharga.

Cik Nur Rapika Mesra Harjuna (dua dari kanan, diri) bersama keluarganya telah ke Makassar, Indonesia untuk mencari keluarga sebelah bapanya, Encik Harjuna Mappe (tengah, berbaju merah). Pencarian itu akhir dengan berita gembira. Encik Harjuna berjumpa dengan keluarganya yang sudah lama terputus hubungan akibat kerja.
Cik Nur Rapika Mesra Harjuna (dua dari kanan, diri) bersama keluarganya telah ke Makassar, Indonesia untuk mencari keluarga sebelah bapanya, Encik Harjuna Mappe (tengah, berbaju merah). Pencarian itu akhir dengan berita gembira. Encik Harjuna berjumpa dengan keluarganya yang sudah lama terputus hubungan akibat kerja. - Foto ihsan NUR RAPIKA MESRA HARJUNA

Dua tahun kemudian pada 6 Jun 2019, adik perempuannya itu, Cik Djohari Mappe, menghembuskan nafas terakhir.

Mengingat kembali saat itu, Cik Rapika sendiri tidak mampu mengungkapkannya dalam kata-kata.

“Saya menangis sampai pandangan pun kabur,” imbas Cik Rapika.

Sepanjang petang itu, rumah berkenaan dipenuhi sanak saudara.

Anak saudara bapanya menghubungi ahli keluarga lain yang tinggal jauh supaya segera datang.

Ada yang meninggalkan urusan masing-masing semata-mata untuk bertemu bapa Cik Rapika buat kali pertama.

Apa yang paling memberi kesan kepada Cik Rapika adalah perubahan bapanya sendiri.

“Bapa saya bukan seperti yang saya kenal selama ini.

“Beliau ketawa tanpa henti, bergurau, menyanyi lagu Bugis bersama adiknya dan tersenyum sepanjang hari.

“Saya rasa ketika itu dia akhirnya merasakan dirinya benar-benar sudah pulang ke rumah,” ujar Cik Rapika.

Encik Harjuna (kiri, berbaju putih) bersama rakan kerja ketika bekerja sebagai buruh limbangan kapal.
Encik Harjuna (kiri, berbaju putih) bersama rakan kerja ketika bekerja sebagai buruh limbangan kapal. - Foto NUR RAPIKA MESRA HARJUNA

Hampir lapan tahun kemudian, Cik Rapika mengimbau semula pengalaman tersebut menerusih antaran Instagram sempena Hari Bapa pada Jun lalu.

Perkongsian itu menyentuh hati ribuan pengguna media sosial dan setakat ini telah meraih lebih 210,000 tontonan dan menerima lebih 20,000 tanda suka.

Seorang pengguna ‘dreambakes’ berkata:

“Meremang bulu roma tengok video ni! Indah sungguh pengalaman dan kenangan ni! (Saya) Tumpang gembira dapat tengok mereka bersatu semula.”

Seorang lagu pengguna ‘werelikenimads’ tulis:

“Tak dapat saya bayangkan betapa peritnya terpisah dengan adik-beradik tanpa khabar berita. Cukup sebak dan terharu menonton video ini, alhamdulillah atas pertemuan semula ini.”

Namun bagi Cik Rapika, perkara paling berharga bukanlah perhatian yang diterima di media sosial.

Sebaliknya, perjalanan itu mengubah cara beliau melihat identiti dirinya sendiri.

“Saya rasa seperti bahagian dalam diri saya yang selama ini hilang akhirnya ditemui.

“Ia tidak mengubah hakikat bahawa Singapura ialah rumah saya.

“Tetapi sekarang saya lebih memahami dari mana datangnya separuh lagi diri saya, ujarnya.

Cik Rapika berharap suatu hari nanti dapat membawa bapanya serta seluruh keluarga kembali ke Sulawesi.