Sekitar enam bulan lalu, Encik Muhamad Faiz Zufairi Mohamed mengalami kemurungan hingga beliau cuba meragut nyawa sendiri.

Akibat tekanan hebat itu, beliau hampir berputus asa dan mahu berhenti separuh jalan daripada diploma jurusan kejururawatan yang sedang diikutinya.

Hari ini, lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berusia 22 tahun itu bukan sahaja berjaya menamatkan pengajiannya, malah membuktikan keupayaannya dalam mengawal masalah kesihatan mental yang ditanggung termasuk gangguan obsesif kompulsif (OCD) yang dihidapinya sejak Februari 2024.

Segala pengorbanannya ternyata berbaloi apabila beliau menerima berita gembira bahawa permohonannya untuk ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) diterima pada 8 Mei lalu.

“Saya terlampau gembira dan teruja sehinggakan jeritan saya bergema di dalam rumah sebaik sahaja melihat ayat ‘Anda telah ditawarkan pengajian mahasiswa bersama NUS’,” kongsi anak bongsu tiga beradik itu apabila dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Baginya, e-mel itu ibarat trofi perjuangan yang menentang stigma sistem akademik dan suara hatinya sendiri yang sering berbisik bahawa beliau tidak akan berjaya.

Encik Faiz berkongsi bahawa sepanjang perjalanan akademiknya, beliau kerap dilontar kata-kata sinis seperti “pelajar ITE ada masa depan ke?” dan prejudis perkauman seperti “orang Melayu boleh masuk universiti ke?”.

“Stereotaip dan kemurungan boleh bergabung menjadi satu kombinasi yang mematikan kerana kemurungan membuatkan anda menyerap apa sahaja kata-kata negatif daripada orang sekeliling sehingga anda mula menyalahkan diri sendiri,” jelas bekas pelajar Politeknik Nanyang itu.

Selain kemurungan, Encik Faiz turut mendedahkan bahawa beliau terpaksa berjuang melawan diagnosis OCD yang dilaluinya sepanjang program pelatih klinikal selama 10 minggu pada 2025.

Akibat gejala OCD yang dihidapinya, beliau kerap menyemak tugasannya berulang kali.

Tindakannya itu malah pernah menjadi usikan rakan sekerja yang berkata bahawa pesakit di hospital pasti akan berada dalam keadaan selamat jika dijaganya.

Surat penerimaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Surat penerimaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Universiti Nasional Singapura (NUS). - Foto MUHAMAD FAIZ ZUFAIRI MOHAMED

“Namun, cabaran terbesar adalah tiada sesiapa yang memahami kesengsaraan mental dialami apabila saya terpaksa menyemak dokumen berkali-kali ketika syif sedang sibuk,” luah Encik Faiz yang sering dihantui kebimbangan setiap kali pulang ke rumah.

Bagi menangani keresahan tersebut, beliau belajar untuk bersikap tegas dengan diri sendiri dan mempercayai sistem rekod kesihatan elektronik hospital kerana antara simptom OCD adalah untuk menimbulkan keraguan dalam minda.

Mengenang kembali saat-saat sukar ketika hampir berputus asa dahulu, Encik Faiz menyedari betapa pentingnya untuk seseorang terus berpaut pada harapan bahawa hari-hari mendatang akan lebih baik.

“Malah, pada hari-hari di mana saya rasa kuat dan stabil sekarang, saya tidak menafikan ada ketikanya rasa sedih itu datang sendiri apabila mengenang masa lalu dan kehilangan sahabat-sahabat lama.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana segala ujian itu banyak mematangkan saya,” kongsi bekas pelajar ITE Kolej Timur itu yang membuktikan bahawa laluan pendidikan panjang bukan bererti seseorang itu gagal.

Bakal memulakan pengajian di NUS pada Ogos ini, Encik Faiz memetik lagu Defying Gravity daripada teater muzikal Broadway Wicked sebagai lagu yang tepat menggambarkan kebangkitan dan perjuangan hidupnya.

“Saya sedar kehidupan ini adalah perjalanan saya sendiri dan saya tidak kisah berapa lama masa yang perlu diambil untuk tiba ke destinasi, asalkan saya berada di tempat yang saya impikan,” ujar beliau.

Berbekalkan pengalaman sebagai bekas pesakit di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan pelatih di pelbagai wad, Encik Faiz bertekad menerapkan nilai empati ini apabila bergelar jururawat profesional kelak.

“Menjadi jururawat bukan sekadar menjaga kebersihan asas atau mengikut arahan doktor, tetapi untuk benar-benar hadir di sisi pesakit dengan penuh ihsan dan pemahaman,” katanya.

Baru-baru ini, Encik Faiz memutuskan untuk berkongsi coretan kejayaannya di akaun TikToknya, ‘cheekyhotpie’.

Hantaran itu yang dimuat naik pada 18 Jun meraih lebih 180,000 tontonan dan menerima hampir 17,000 tanda suka.

Rata-rata, ruang komen hantaran tersebut dihujani dengan pelbagai respons positif dan kata-kata semangat daripada masyarakat yang tersentuh dengan kejayaannya.

Seorang pengguna TikTok, ‘SuzanasT2DFoodie’ meninggalkan komen:

“Alhamdulillah. Semoga kisah awak menjadi inspirasi dan motivasi buat orang lain. Saya pernah bekerja di NUS dulu. Memang ada ramai pelajar yang mempunyai keperluan khas yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mereka belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya berjaya membuktikan keupayaan mereka. Anda pasti akan berjaya dengan cemerlang.”

Sementara itu, akaun rasmi SingHealth juga menulis:

“Kami yakin dengan anda.”

Melihat kepada kesan perkongsiannya, Encik Faiz menitipkan pesanan terakhir buat mereka yang mungkin sedang berada dalam situasi sukar sepertinya dahulu.

“Jangan pernah melihat diri anda sebagai kegagalan hanya kerana menghadapi jalan buntu atau tersungkur, kerana itu adalah lumrah dalam proses pemulihan.

“Jangan terlalu keras dengan diri sendiri pada hari-hari di mana dunia ini seolah-olah kejam kepada anda.

“Masa lalu mungkin penuh dengan kesilapan, tetapi ia sama sekali tidak menentukan siapa diri anda pada hari ini dan masa hadapan,” nasihat Encik Faiz.