Topik diikuti
Pergi ke BHkuAdik-beradik ubah rumah jadi galeri demi kenang arwah datuk, erat ikatan keluarga
Foto, barangan lama jadi wadah kenang arwah dan satukan generasi berbilang
Selepas pemergian kedua-dua datuknya, Encik Muhammad Shahrul Haziq Mohd Karimin mula menyedari bahawa pertemuan bersama keluarga besarnya semakin jarang, dengan kebanyakannya hanya dapat bertemu setahun sekali ketika Hari Raya.
Justeru, pemuda berusia 22 tahun itu bersama adik-beradiknya mendapat ilham untuk mengubah rumah keluarga mereka di Tampines menjadi sebuah ‘muzium kecil’, bukan sahaja untuk mengenang insan tersayang yang telah pergi, malah mengeratkan kembali hubungan mereka yang masih ada.
“Kami mahu mewujudkan satu peringatan kecil untuk ahli keluarga agar sentiasa menghargai satu sama lain selagi kita masih ada di dunia ini,” jelas Encik Shahrul.
Dinamakan Majlis Kenangan Teranyam, acara itu yang diadakan pada 22 Ogos menyaksikan ruang rumah keluarganya dihiasi foto lama dan barangan peninggalan datuk serta nenek mereka, sambil membuka ruang untuk anggota keluarga mengimbas kenangan bersama.
Pada masa sama, Encik Shahrul yang mempunyai latar belakang dalam fotografi dan videografi menyediakan sebuah studio foto untuk merakam potret mereka yang hadir, sekali gus mencipta kenangan baharu untuk disimpan pada masa hadapan.
Bagi menghidupkan suasana nostalgia, keluarganya turut menyediakan piring hitam, mesin taip antik, dan pelbagai barangan lama, selain mempamerkan foto dengan cara interaktif, termasuk menggantungnya dari siling.
Antara yang menjadi tumpuan ialah gitar kesayangan arwah datuk sebelah ibu Encik Shahrul, Allahyarham Rashid Marzuki, yang pernah menjadi penyanyi kampung, serta foto arwah datuk sebelah bapanya, Allahyarham Abdul Hamid Mohamed, yang amat meminati bola sepak.
Menurutnya, kedua-dua datuknya meninggal dunia pada 2023, masing-masing pada usia 82 tahun.
“Kehilangan mereka membuatkan saya sedar betapa banyaknya perkara berharga dalam hidup ini, dan betapa pentingnya untuk kita mencipta memori serta meninggalkan legasi yang baik supaya orang akan sentiasa mengingat kita apabila kita tiada nanti,” terang beliau.
Encik Shahrul berkata pameran itu turut membuka peluang kepada generasi muda dalam keluarganya, termasuk mereka yang tidak sempat mengenali datuk mereka, untuk mengetahui kisah generasi terdahulu.
Bagi anggota keluarga lebih berusia pula, beliau berkata foto-foto tersebut membangkitkan pelbagai emosi, dengan ada ibu saudaranya yang menitiskan air mata apabila melihat kembali gambar arwah bapa mereka.
Tambahnya, nenek beliau yang berusia 77 tahun pula tersipu-sipu apabila melihat foto dirinya ketika muda tergantung di ruang pameran.
“Beliau berasa sangat malu dan bertanya, ‘Kenapa gambar saya digantung di atas siling ini?’
“Bagi saya, itu adalah satu detik yang sangat indah dan menyentuh hati,” katanya.
Menurut Encik Shahrul, idea majlis tersebut tercetus sekitar sebulan lalu apabila beliau mahu mencuba fotografi studio sebagai hobi bersama keluarganya.
Minat beliau dan adik-beradiknya terhadap karya klasik, termasuk filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kemudian turut mempengaruhi konsep nostalgia pameran tersebut.
“Menjayakan majlis itu menjadi usaha seluruh keluarga. Saya menguruskan studio fotografi, adik-beradik saya mengendalikan dekorasi dan susun atur pameran, manakala ibu bapa saya menyediakan makanan,” kongsinya.
Encik Shahrul berkata sekitar 50 hingga 60 anggota keluarga dan rakan hadir sepanjang hari, sehingga beliau menyifatkan suasana rumahnya pada satu ketika seperti sebuah “taman hiburan”.
Namun, lebih bermakna baginya ialah bagaimana usaha mengenang mereka yang telah pergi akhirnya mendekatkan mereka yang masih ada.
“Saya berasa hubungan saya dengan adik-beradik saya menjadi jauh lebih rapat sejak kami menganjurkan acara ini bersama-sama.
“Saya mahu orang ramai menghargai sejarah, memelihara kisah generasi terdahulu, dan mencipta kenangan indah selagi kita masih mempunyai peluang,” luahnya.
