Setiap keluarga mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak-anak mereka.
Bagi Cik Nadya Adryana, 28 tahun, seorang guru prasekolah dan suaminya Encik Muhammad Syafiq, 28 tahun, seorang pakar penyelamat kebakaran daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mereka mahu menjadikan sambutan hari lahir anak mereka bukan sekadar sambutan biasa.
Malah, mereka menganggap bahawa ia merupakan peluang untuk menerapkan nilai kehidupan.
Pada 11 September lalu, empat hari sebelum ulang tahun Muhammad Umar Mateen Muhammad Syafiq, yang genap dua tahun, pasangan tersebut bersama ipar kepada Cik Nadya, yang ingin dikenali sebagai Cik Har, meraikan hari istimewa itu dengan cara unik.
Dengan menolak sebuah kereta sorong kecil sekitar kawasan Kampung Admiralty, mereka berkongsi pelbagai cemilan atau snek klasik kegemaran rakyat Singapura seperti kerepek kentang Jack ’n Jill dan Roller Coaster dengan orang awam.
Sebuah papan tanda kecil turut diletakkan dengan tulisan: ‘Sing a birthday song to redeem’, yang menggalakkan orang awam menyanyikan lagu hari lahir untuk Umar sebelum menerima cemilan tersebut daripadanya.
“Ipar saya mendapat idea ini daripada sebuah video tular di TikTok, di mana seorang kanak-kanak bernama Luth Mateen melakukan perkara yang sama di Malaysia,” kongsi Cik Nadya.
Pada mulanya, mereka bercadang mengadakan sambutan ini di Woodlands Admiral Garden.
Namun, kerana hujan lebat, lokasi ditukar ke Kampung Admiralty.
Sambutan kecil itu berlangsung selama sejam dari 6 hingga 7 petang.
Ketika ditanya mengapa beliau memilih cara ini, Cik Nadya menjelaskan:
“Umar sedang berada di peringkat umur apabila dia belajar macam mana nak berkongsi. Jadi kami fikir ini idea yang bagus untuk dedahkan dia kepada nilai memberi dan berkongsi sejak kecil.”
Video perkongsian detik tersebut dimuat naik ke akaun TikTok Cik Nadya dan telah menerima banyak reaksi positif daripada warganet yang memuji usaha pasangan itu dalam mendidik anak dengan pendekatan yang kreatif.
Kata Cik Nadya, reaksi orang ramai di hari tersebut pula pelbagai.
Kebanyakan kanak-kanak agak segan untuk menerima cemilan pada awalnya dan hanya berbuat demikian setelah mendapat kebenaran ibu bapa mereka.
Orang dewasa pula lebih spontan, ada yang mengucapkan selamat ulang tahun , ada juga yang menyanyikan lagu hari jadi bersama Umar.
“Paling penting, Umar tahu bahawa momen ini adalah untuknya, tentang hari lahirnya, tujuan utama kami adalah untuk menanamkan nilai berkongsi dalam dirinya,” tambah Cik Nadya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg