Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hari Komuniti di Masjid Darul Makmur semarak perpaduan

Sep 20, 2025 | 5:30 AM
Pengurus Kanan Club Heal, Encik Zainal Lee (kanan), bersama pihak Masjid Darul Makmur turut menganjurkan, ‘Bicara Kesihatan Mental’, yang menarik ratusan Muslimah. Sesi itu menekankan tentang kesihatan minda, penghargaan diri dan peranan wanita dalam masyarakat.
Pengurus Kanan Club Heal, Encik Zainal Lee (kanan), bersama pihak Masjid Darul Makmur turut menganjurkan, ‘Bicara Kesihatan Mental’, yang menarik ratusan Muslimah. Sesi itu menekankan tentang kesihatan minda, penghargaan diri dan peranan wanita dalam masyarakat. - Foto MASJID DARUL MAKMUR

Masjid Darul Makmur bakal menjadi tuan rumah ‘District North Community Day 2025’ (Hari Komuniti Masjid-Masjid Daerah Utara 2025) pada Sabtu, 27 September 2025, bermula 8 pagi hingga 1 petang.

Program itu dianjurkan bagi memupuk semangat perpaduan masyarakat serta meraikan pelbagai lapisan generasi, daripada kanak-kanak hingga warga emas.

Pengerusi Eksekutif Masjid Darul Makmur, Encik Mohd Fairus Abdul Manaf, berharap acara itu mampu menarik minat masyarakat Islam di sini.

Di auditorium masjid, kira-kira 75 murid Tadika Darul Makmur (K2) bakal diraikan dalam majlis tamat pengajian, simbol harapan baru untuk generasi mendatang.

Warga emas tidak ketinggalan, dengan sesi senaman ringan di taman bersebelahan sebelum menyertai majlis rohani khas.

Selain itu, sekitar 100 penerima zakat akan mendapat manfaat daripada ceramah kesihatan mental anjuran Kelab Heal, sebagai sokongan praktikal bagi mereka yang menghadapi cabaran hidup.

Pekarangan masjid pula akan meriah dengan bazar masyarakat, menawarkan hidangan tradisional seperti sate, otak-otak, roti boyan, dan pisang goreng.

Hasil kutipan akan disalurkan semula kepada program kebajikan, menjadikan setiap pembelian pengunjung sebagai sumbangan bermakna.

Daya usaha ini mencerminkan amalan ekonomi kitaran, dengan sokongan masyarakat kembali dimanfaatkan untuk kesejahteraan masyarakat itu sendiri.

Kemuncak acara ialah Majlis Khatam Al-Quran, dijangka menghimpunkan lebih 700 anggota jemaah, diserikan dengan pengisian rohani oleh tokoh pendakwah tersohor dari Malaysia, Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa.

Di sebalik kemeriahan, acara ini membawa maksud strategik seperti memperkukuh peranan masjid sebagai pusat masyarakat yang relevan dan berdaya tahan.

Dengan menghimpunkan aspek rohani, sosial, dan kebajikan, Hari Komuniti diharap memperluas jangkauan masjid sebagai rakan strategik masyarakat, memupuk semangat sukarelawan serta mempererat perpaduan ummah dalam era moden.

Di masjid daerah utara, pembangunan masyarakat Islam digerakkan melalui tiga ‘A’ – akhlak, adab, dan amanah.

Nilai-nilai ini dipupuk sejak kecil melalui program prasekolah, tadika, dan madrasah masjid, serta diteruskan bagi golongan dewasa.

Usaha ini selari dengan misi membentuk masyarakat Islam cemerlang melalui pembangunan sosial dan penglibatan aktif.

Masjid daerah utara turut berhasrat memperkenalkan daya usaha baru untuk memperkasakan warga emas, menggalakkan penuaan aktif, gaya hidup sihat, dan interaksi sosial positif.

Ruang kerjasama antara agama dengan kaum turut diperluas bagi membina persefahaman serta masyarakat yang lebih kukuh.

Golongan belia pula diberi peluang memimpin program dan projek bermanfaat, agar mereka dapat menyumbang secara lebih bermakna.

“Acara Hari Komuniti ini bukan sekadar acara tahunan. Ia adalah jambatan antara generasi, tempat anak-anak, keluarga, dan warga emas berkumpul, berkongsi pengalaman...,” jelas Encik Mohd Fairus. 

Dengan menggabungkan unsur kerohanian, kesihatan, dan pendidikan, acara istimewa ini dijangka bukan sahaja meninggalkan kenangan berharga kepada peserta, malah turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan ikatan kemasyarakatan bagi masjid di kawasan Utara.

SEKILAS:

Sumbangan derma untuk ‘Projek Wakaf Peningkatan Masjid Darul Makmur’ boleh dilakukan melalui:

* PayNow ke UEN: S87MQ0033J (Rujukan: Wakaf).

* Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 6752-1402 atau e-mel kepada corporate@darulmakmur.mosque.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg