Peranti elektronik dan skrin kini ibarat ‘puting moden’, kerana melalui telefon pintar, tablet, televisyen dan skrin digital lain, kanak-kanak hampir sentiasa terdedah kepada permainan, media sosial dan animasi yang direka untuk menarik dan mengekalkan perhatian mereka.
Keadaan ini sesuatu yang baru bagi kita semua. Kita adalah ibu bapa generasi pertama yang membesarkan anak-anak dalam dunia yang sudah dipenuhi dengan peranti pintar, Internet dan Wi-Fi, sejak mereka lahir.
Tabiat ini merentasi semua lapisan masyarakat. Satu tinjauan baru-baru ini di bawah program Tunas oleh Mendaki mendedahkan penggunaan skrin yang meluas dalam kalangan kanak-kanak.
Seramai 91 peratus ibu bapa yang menyertai tinjauan ini berkata anak mereka menggunakan skrin untuk menonton video, dengan 73 peratus mengatakan wadah video YouTube menjadi pilihan utama.
Lebih membimbangkan, 65 peratus tidak menggunakan sebarang kawalan ibu bapa, atau parental control di YouTube, dan ada juga yang tidak tahu fungsi berkenaan wujud.
Masa skrin berlebihan bukan sahaja berlaku di rumah, malah turut dikesan ketika anak-anak berada di luar.
Di ruang makan awam, bukan perkara asing melihat kanak-kanak kecil terpaku menonton kartun di skrin, sementara ahli keluarga yang berkumpul pula sibuk dengan peranti peribadi masing-masing.
Beberapa tahun lalu, saya terkejut melihat sekumpulan kanak-kanak berkumpul di sekeliling peranti iPad di tepi gelongsor taman permainan, sementara seorang bayi dalam kereta sorong berhampiran sedang menonton video dengan khusyuk, melalui skrin yang hanya beberapa inci dari wajahnya.
Ramai ibu bapa tahu bahawa masa skrin berlebihan tidak baik untuk anak-anak, namun kajian terkini menunjukkan kesannya mungkin jauh lebih serius dan berpanjangan daripada yang difahami sebelum ini.
Pada 2024, Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura (NUS) menerbitkan satu ulasan yang menyatukan kajian mengenai penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak.
Satu kajian di Singapura pada 2023 mendapati kanak-kanak yang terdedah kepada skrin seawal usia 12 bulan menunjukkan gangguan dalam perhatian dan fungsi eksekutif pada usia sembilan tahun.
Proses kognitif ini penting untuk kesihatan, pencapaian akademik, dan kejayaan kerjaya akan datang.
Kajian lain pula mengaitkan pendedahan awal kepada skrin dengan kemahiran sosial yang berkurangan dan tingkah laku tidak normal.
Masa yang dihabiskan di depan skrin mengurangkan peluang anak-anak terlibat dalam interaksi sosial dan permainan imaginatif, yang penting bagi perkembangan kemahiran sosial dan komunikasi.
Bagi kanak-kanak lebih besar dan para remaja, akses tanpa pengawasan ke platform dan permainan digital boleh memburukkan isu seperti rasa rendah diri, ketagihan, sekali gus meningkatkan pendedahan mereka kepada kandungan berbahaya atau tidak sesuai dengan umur.
Apa yang membimbangkan adalah kesan penuh tabiat masa skrin berlebihan tanpa pengawasan mungkin hanya muncul bertahun-tahun kemudian, selepas tabiat berbahaya itu sudah terbentuk.
Amaran bagi ibu bapa sahaja tidak memadai, mereka perlukan panduan praktikal yang boleh diaplikasikan di rumah.
Pada 2023, Kementerian Kesihatan (MOH) memperkenalkan garis panduan nasional mengenai penggunaan skrin bagi kanak-kanak.
Menurut panduan itu, kanak-kanak berumur 18 bulan dan ke bawah dinasihati tidak didedahkan kepada skrin, kecuali panggilan video.
Kanak-kanak berumur 1.5 hingga 6 tahun boleh diberi satu jam masa skrin dengan pengawasan, manakala masa skrin untuk 7 hingga 12 tahun dihadkan kepada dua jam.
Panduan itu juga menggalakkan zon bebas skrin seperti bilik tidur dan meja makan.
Seperti daya usaha ‘Little Book Box’ yang diadakan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), kita boleh melancarkan inisiatif serupa yang menyediakan kit aktiviti bebas skrin kepada ibu bapa. Kit itu merangkumi bukan sahaja buku, bahkan permainan dan panduan untuk ibu bapa membina rutin digital yang lebih sihat bagi anak-anak.
Kempen pendidikan awam boleh mengukuhkan garis panduan ini, meningkatkan kesedaran tentang sumber tersedia, dan memastikan isu ini dibincangkan secara membina.
Ibu bapa perlu ruang untuk mencuba, menyesuaikan dan konsisten membina sempadan digital sihat untuk anak – terutama remaja – yang berteraskan kepercayaan, bukan kawalan, supaya usaha mereka tidak mendorong anak untuk berahsia atau menentang, yang akhirnya menjejaskan keselamatan mereka.
Meskipun usaha ibu bapa penting, tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada keluarga.
Dalam buku karangan ahli psikologi sosial Profesor Jonathan Haidt, The Anxious Generation, beliau berkata pemerintah perlu mewajibkan syarikat teknologi mempertimbangkan kesan produk mereka terhadap perkembangan kanak-kanak.
Pada Jun 2020, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat Britain memperkenalkan Kod Rekaan Sesuai Umur (Age Appropriate Design Code) yang menetapkan bahawa syarikat perlu menjadikan kepentingan kanak-kanak sebagai pertimbangan utama syarikat dalam mereka bentuk dan mengendalikan perkhidmatan dalam talian.
Selain itu, Australia telah meluluskan satu undang-undang pada November 2024 yang mewajibkan platform melaksanakan amalan had umur dan perlindungan privasi, serta melarang akses media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun dengan penalti berat bagi platform yang tidak patuh.
Di Amerika Syarikat, Akta Keselamatan Kanak-Kanak dalam Talian sedang dipertimbangkan, ia bertujuan mewajibkan platform media sosial dan perkhidmatan dalam talian lain melindungi kanak-kanak daripada kandungan dan amalan berbahaya.
Dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos lalu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah sedang mengkaji apa yang dilakukan negara lain.
Kita perlu mempertimbangkan undang-undang yang yang meletakkan tanggungjawab (duty of care) ke atas syarikat teknologi yang menyediakan perkhidmatan media sosial dan wadah video. Ini merupakan langkah penting ke arah ekosistem digital yang lebih selamat untuk anak-anak kita.
Ibu bapa tidak sepatutnya dibiarkan mengharungi cabaran dunia digital ini seorang diri.
Sekolah, kumpulan masyarakat dan rangkaian ibu bapa perlu dilengkapi dengan alat praktikal untuk membimbing pelajar dan keluarga menetapkan sempadan digital yang sihat melalui dialog terbuka.
Apabila kanak-kanak berasa didengari dan dihormati, mereka lebih mudah faham bahawa pengawasan ibu bapa bukan untuk mengehadkan kebebasan, tetapi untuk membina tabiat digital sihat dan memastikan keselamatan mereka dalam dunia digital.
Pertubuhan yang memberi khidmat kepada belia boleh bekerjasama dengan pakar untuk menyediakan sumber bagi membina tabiat digital lebih selamat bagi anak-anak.
Dengan sokongan bersepadu melalui perundangan, dasar awam, pendidikan dan khidmat masyarakat, kita boleh membina budaya digital yang lebih sihat untuk generasi akan datang.
Saya menulis bukan sebagai pakar, tetapi sebagai seorang ibu yang melihat keperluan mendesak untuk bertindak.
Cabarannya nyata, kajiannya jelas. Kini, kita mesti menanganinya dengan tindakan yang berpandukan empati, ketegasan, dan kehendak kolektif.
Penulis, Dr N Erlyani Abd Hamid ialah Ketua Strategi, Perancangan & Perhubungan Awam di makmal penyelidikan Hilleman Laboratories. Beliau telah mempelopori sebuah inisiatif celik digital bagi ibu bapa sebagai sebahagian daripada program Raikan Ilmu, anjuran Yayasan Mendaki. Inisiatif tersebut dipelopori Dr Erlyani bersama dengan dua lagi rakan karyawan, Konsultan Kewangan dan aktivis masyarakat, Encik Hafiz Noorahman dan Pengasas Safar Training and Consultancy, Cik Noretta Jacob.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg