Bagi kebanyakan keluarga, musim perayaan Hari Raya Aidilfitri bermakna kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah, berjumpa saudara-mara dan berkongsi masa bersama.

Namun, bagi keluarga Tok Kassim, sebahagian ahli keluarga tidak dapat diziarahi dalam tradisi kunjung-mengunjung Hari Raya seperti biasa kerana keluarga yang semakin besar, dengan anggota keluarganya pula tinggal di merata kawasan Singapura.

Apatah lagi, dengan keluarga itu terdiri daripada lebih 474 anggota, menganjurkan kunjungan Hari Raya tradisional untuk semua sudah menjadi satu perkara yang mustahil.

Lantas, keluarga tersebut memutuskan untuk mengadakan satu perjumpaan berskala besar yang menghimpunkan enam generasi di bawah satu bumbung di restoran Muslim Delights di Kelab Perkhidmatan Awam Changi di Netheravon Road, pada 11 April.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), generasi ketiga keluarga Tok Kassim, Encik Rohaizad Bahari, 57 tahun, seorang usahawan makanan dan minuman (F&B), berkata idea itu pernah difikirkan beberapa tahun lalu, namun tidak berjaya direalisasikan.

“Biasanya, kita tak sempat habiskan ziarah semua saudara.

“Hanya beberapa keluarga sahaja dapat kita kunjungi dan kita tumpukan sahaja pada sebelah nenek sahaja.

“Pada hari pertama, kita akan pergi ke rumah Pak Ngah sebab beliau kini yang sulung.

“Ibu saya enam adik-beradik, dan kita akan berkumpul di situ, walaupun tidak semua dapat datang pada hari yang sama. Kadang-kadang, ada yang langsung tak sempat kita kunjung.

“Oleh itu, kita ambil keputusan menganjurkan acara ini supaya kita dapat bertemu dengan semua ahli keluarga pada satu masa,” ujarnya, yang merupakan pemilik perniagaan Nasi Lemak 418.

Encik Rohaizad merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Penganjur tidak rasmi, yang dianggotai sekitar 14 orang wakil daripada setiap cabang keluarga Tok Kassim.

Menurutnya, inisiatif untuk menjayakan Perjumpaan Hari Raya berskala besar itu tercetus daripada sepupu ibunya, Encik Hashim Dollah, yang mengambil langkah menghubungi saudara-mara, termasuk mereka yang telah lama terputus hubungan.

Dalam menyaksikan keriuhan sambutan Hari Raya keluarganya, Encik Rohaizad Bahari, berharap perjumpaan berskala besar seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengeratkan lagi hubungan antara generasi keluarga Tok Kassim.
Dalam menyaksikan keriuhan sambutan Hari Raya keluarganya, Encik Rohaizad Bahari, berharap perjumpaan berskala besar seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi mengeratkan lagi hubungan antara generasi keluarga Tok Kassim. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Perjumpaan tersebut yang diberi nama Perjumpaan Keluarga Tok Kassim, dijangka menghimpunkan sekitar 474 anggota keluarga, merangkumi generasi kedua hingga ketujuh keluarga berkenaan.

Acara yang telah dirancang selama empat hingga lima bulan itu menampilkan jamuan bersama dan aktiviti lain termasuk persembahan, cabutan bertuah, dan pameran gambar lama keluarga.

Antara kegiatan yang diadakan dalam Perjumpaan Hari Raya keluarga Tok Kassim adalah pertandingan menganyam ketupat, di mana para peserta berlumba menghasilkan anyaman terbanyak dalam tempoh tiga minit, dengan pemenang membawa pulang baucar NTUC FairPrice bernilai $40.
Antara kegiatan yang diadakan dalam Perjumpaan Hari Raya keluarga Tok Kassim adalah pertandingan menganyam ketupat, di mana para peserta berlumba menghasilkan anyaman terbanyak dalam tempoh tiga minit, dengan pemenang membawa pulang baucar NTUC FairPrice bernilai $40. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selain itu, susunan tempat duduk mengikut warna baju sedondon keluarga yang terlibat bagi menggalakkan interaksi dan perkenalan antara anggota keluarga.

Antara ‘orang kuat’ perjumpaan tersebut ialah pengasas bersama syarikat penyedia khidmat katering majlis perkahwinan Muslim Delights, Cik Hafidah Daud, 55 tahun.

Beliau merupakan dua pupu kepada Encik Rohaizad.

Menyentuh tentang penglibatannya dalam menjayakan acara itu, Cik Hafidah berkata:

“Menjadi tuan rumah adalah cara saya membalas jasa kepada keluarga yang membentuk siapa diri saya hari ini. Ia adalah satu ungkapan kasih sayang, penghormatan dan kesyukuran.

“Saya mahu ahli keluarga saya merasakan perjumpaan ini juga ruang mereka, tempat di mana kenangan tercipta, gelak tawa dan cerita mereka sentiasa dikongsi.”

Dua pupu Encik Rohaizad Bahari, yang juga pengasas bersama syarikat penyedia khidmat katering majlis perkahwinan Muslim Delights, Cik Hafidah Daud, memastikan perancangan rapi dilaksanakan merangkumi susun atur ruang, tempat duduk, serta keperluan logistik bagi melancarkan Perjumpaan Hari Raya keluarganya.
Dua pupu Encik Rohaizad Bahari, yang juga pengasas bersama syarikat penyedia khidmat katering majlis perkahwinan Muslim Delights, Cik Hafidah Daud, memastikan perancangan rapi dilaksanakan merangkumi susun atur ruang, tempat duduk, serta keperluan logistik bagi melancarkan Perjumpaan Hari Raya keluarganya. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Cik Hafidah menekankan salah satu cabaran utama adalah memastikan acara itu mempunyai keunikan dan rasa peribadi untuk semua yang hadir.

“Kami bekerjasama rapat dengan wakil setiap cabang keluarga supaya ia benar-benar dirasakan milik seluruh keluarga Tok Kasim.

“Disebabkan ini adalah keluarga saya sendiri, ada juga cabaran emosi. Saya mahu semuanya sempurna untuk mereka,” tambahnya.

Encik Johannes Jani, 48 tahun, yang merupakan generasi kelima daripada keluarga Tok Kassim, pula menghargai perjumpaan Hari Raya keluarganya itu.

“Bahkan dalam jawatankuasa pun, saya baru mengetahui seseorang yang saya sudah kenal sebenarnya ialah pak cik saya dari segi pangkat melalui isterinya.

“Oleh itu, detik-detik seperti ini menjadikan pertemuan ini lebih bermakna, apabila kita dapat menemui semula ikatan kekeluargaan tersebut,” ujar pengurus respons operasi dalam sektor teknologi maklumat itu.