Amalan memberi duit kipas dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu kini menjadi tajuk perdebatan hangat di media sosial Threads.

Isu ini tercetus selepas satu perkongsian oleh pengguna ‘kamylia_noorhan’ tular, memaparkan rungutan beliau terhadap tuntutan bayaran tambahan sebanyak $200 untuk duit kipas meskipun kos jurusolek sudah dibayar.

“Pemberian duit kipas adalah sesuatu yang tidak perlu. Saya sudah pun membayar anda sebagai jurusolek bagi perkhidmatan yang ditawarkan, jadi mengapa saya perlu tambah lagi $200 untuk duit kipas? Apakah sebenarnya fungsi duit kipas ini?” katanya yang meluahkan rasa tidak puas hati.

Perkongsian itu yang dimuat naik pada 28 Mei meraih lebih 1,700 tanda suka dan menerima hampir 150 komen setakat ini.

Menurut catatan pakar adat dan tokoh budayawan Singapura, Allahyarham Dr Muhammad Ariff Ahmad, amalan duit kipas secara tradisional adalah sebahagian daripada protokol ‘membuka kipas’ sebelum pengantin lelaki dapat duduk di pelamin bersama pengantin perempuan.

Dalam adat tersebut, mak andam akan melindungi wajah pengantin perempuan dengan kipas sehingga pengantin lelaki memberikan ‘tebusan’ atau pemberian ikhlas sebagai simbol penghormatan kepada beliau yang telah menjaga seri pengantin.

Bagaimanapun, rata-rata warganet berkongsi sentimen serupa dengan ‘kamylia_noorhan’ dan menyifatkan tuntutan itu sebagai “caj tersembunyi” yang membebankan.

Mengulas lanjut mengenai amalan tersebut, pengguna ‘_mr.abxm_’ menjelaskan bahawa duit kipas secara teknikalnya berlaku sewaktu acara bersanding di mana wajah pengantin perempuan dilindungi sehingga pengantin lelaki tiba di pelamin.

“Pemberian itu adalah sebagai token tambahan kepada jurusolek kerana menjaga pengantin perempuan sehingga diserahkan kepada pengantin lelaki. Namun, ia tidak wajib dan kebanyakan pasangan kini memilih untuk berjalan masuk bersama-sama,” jelas beliau, sekali gus memberi gambaran mengapa tuntutan itu kini dianggap tidak lagi relevan.

Pengguna ‘dulangbyindra’ pula berkata:

“Saya secara peribadi merasakan amalan ini tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa. Dalam konteks hari ini, perkhidmatan sudah pun ditetapkan harga secara profesional, diberi invois, dan dibayar sepenuhnya.

“Penghargaan sepatutnya datang daripada rasa ikhlas, bukannya atas tekanan sosial,” tulisnya.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir yang cuba menjelaskan peranan sebenar seorang jurusolek atau mak andam yang mungkin membolehkan caj tersebut dengan alasan ia merupakan bayaran untuk komitmen masa.

Pengguna ‘byeffayash.my’ menjelaskan bahawa tugas mereka bukan sekadar memegang kipas, tetapi merangkumi tugas memastikan penampilan pengantin, termasuk dandanan tudung dan busana, sentiasa rapi sepanjang acara berlangsung.

Pengguna ‘rozyaslamat’ pula menyarankan agar bakal pengantin melihat pemberian tersebut dari sudut yang lebih positif bagi mengelakkan tekanan emosi sewaktu fasa persiapan perkahwinan.

“Jika anda boleh membayar jumlah yang besar untuk perkara lain, anggaplah $200 ini sebagai tip (pemberian ikhlas). Semasa persiapan perkahwinan ada banyak dugaan. Ia penting untuk mengekalkan pemikiran positif dan suasana yang baik agar tidak menjejaskan kesihatan mental serta mood anda,” tulis beliau, sambil mendoakan agar urusan pasangan pengantin dipermudahkan.

Di samping itu, pengguna ‘love_you_me_us’ mengongsi pengalamannya yang menyifatkan pemberian duit kipas sewaktu zamannya sebagai satu bentuk penghargaan terhadap layanan istimewa mak andam.

“Mak andam saya menjaga saya dengan sangat baik, daripada memakaikan busana sehingga menyuapkan makan. Mereka benar-benar melayan pengantin seperti ‘permaisuri’. Jadi bagi saya, pemberian duit kipas pada ketika itu adalah sangat wajar,” kongsinya, namun mengakui kurang pasti jika jurusolek atau mak andam sekarang masih melakukan tugasan yang sama.

Dalam pada itu, adat duit kipas ini tidak dikongsi oleh semua pengamal industri.

Seorang lagi pengguna, ‘by.araalliee’, melahirkan rasa hairan terhadap kewujudan caj tersebut pada masa kini.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar tentang amalan duit kipas pada zaman era 2026 ini. Malah, saya juga tidak pernah mendengar rakan-rakan jurusolek lain menyertakan caj tersebut dalam perkhidmatan mereka,” tulisnya, yang juga bertanya dari mana negara yang mengamalkan adat ini, sekali gus memberi gambaran bahawa amalan tersebut bukan amalan biasa di negara lain.