Topik diikuti
Pergi ke BHkuSudah bayar $80,000 tapi bakal pengantin terkejar-kejar cari alternatif apabila perancang perkahwinan ‘hilang’
Sudah bayar $80,000 tapi bakal pengantin terkejar-kejar cari alternatif apabila perancang perkahwinan ‘hilang’
Polis sedang menyiasat; pemilik ‘baru’ syarikat perancang perkahwinan mohon maaf, mahu kerjasama cari huraian
Sudah bayar $80,000 tapi bakal pengantin terkejar-kejar cari alternatif apabila perancang perkahwinan ‘hilang’
Walaupun telah membeli pakej perkahwinan berharga $26,000, Cik Nur Shazwani Tina Mohamed Shariff dan Encik Mohamad Helmi Mulyadi terpaksa berlumba dengan masa untuk mencari dewan, khidmat katering dan penyedia khidmat lain seminggu sebelum majlis perkahwinan mereka pada 27 Jun.
Ini berlaku selepas mereka gagal menghubungi perancang khidmat perkahwinan yang menjual pakej tersebut kepada mereka.
Akhirnya, Cik Nur Shazwani dan Encik Helmi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan lebih $16,000 untuk mendapatkan dewan dan penyedia khidmat alternatif untuk meneruskan majlis mereka itu.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), Cik Nur Shazwani berkata beliau dan Encik Helmi telah melengkapkan bayaran $26,000 kepada syarikat perancang perkahwinan itu secara beransuran setiap bulan sejak 2025.
Menambah, Cik Nur Shazwani berkata beliau tertarik dengan khidmat ‘semua dalam satu’ yang ditawarkan.
Beliau mendakwa pemilik syarikat berubah sekitar enam bulan lalu dan berasa amat terkejut apabila beberapa penyedia khidmat atau vendor yang menyediakan khidmat masing-masing kepada beliau menerusi perancang perkahwinan tersebut menghubungi beliau dan memberitahunya bahawa mereka masih belum menerima bayaran.
“Ada juga yang menarik diri daripada melaksanakan perkhidmatan mereka,” kata Cik Nur Shazwani, yang menambah bahawa beliau telah membuat laporan polis.
Pemeriksaan BH mendapati terdapat beberapa lagi pasangan yang mengalami nasib serupa.
Mereka antara pelanggan syarikat perancang perkahwinan, Venice Ballroom, yang kini dikenali sebagai The Aurelia Events.
Di platform dalam talian Threads, beberapa individu yang menempah khidmat daripada Venice Ballroom turut berkongsi pengalaman masing-masing dengan mendakwa majlis mereka terpaksa dibatalkan hanya beberapa jam atau beberapa hari sebelum dijadual berlangsung.
BH berjaya menghubungi tiga pasangan yang terjejas dan difahamkan mereka secara keseluruhan telah membayar lebih $80,000 kepada syarikat perancang perkahwinan itu.
Ketika dihubungi BH, pemilik The Aurelia Events yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Mohamed Hafeez berkata pelanggan terjejas telah membeli pakej antara Januari 2024 dengan November 2025 daripada Venice Ballroom.
Beliau hanya mengambil alih syarikat tersebut dan mengubah namanya kepada The Aurelia Events selepas tempoh berkenaan.
Menerusi kenyataan yang dikongsi dengan BH, Encik Mohamed berkata Venice Ballroom telah menerima sekitar 60 hingga 70 peratus bayaran daripada klien.
Apabila beliau mengambil alih, beliau hanya menerima baki bayaran daripada klien.
Bagaimanapun, Encik Mohamed berkata syarikatnya tetap berusaha memenuhi permintaan pasangan yang terjejas dan menguruskan majlis-majlis perkahwinan yang dirancang dengan Venice Ballroom bermula Disember 2025.
Ini walaupun syarikat beliau menanggung kerugian sehingga memaksa beliau menggunakan dana sendiri untuk menampung kos operasi.
Majlis terakhir yang diadakan syarikatnya ialah pada 13 Jun, beliau menambah.
Memberi respons kepada dakwaan beliau tidak dapat dihubungi oleh pelanggan terjejas, Encik Mohamed berkata pada Jun lalu, beliau dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru, sekali gus menghalangnya daripada mengendalikan operasi syarikat dan melaksanakan khidmat majlis perkahwinan.
Encik Mohamed mendakwa dalam tempoh itu, beliau tidak menerima ‘kerjasama sewajarnya’ daripada pemilik asal Venice Ballroom berhubung pelanggan terjejas.
Beliau telah pun mendapatkan nasihat guaman mengenai perkara ini, kata beliau lagi.
“Melihat kembali keadaan ini, saya mengakui telah melakukan kesilapan kerana tidak meneliti setiap kontrak sedia ada dengan lebih menyeluruh sebelum mengambil alih perniagaan. Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas. Keadaan ini telah meninggalkan kesan yang besar kepada saya dari segi fizikal, emosi dan kewangan,” ujar beliau.
“Saya kekal komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa serta menyelesaikan perkara ini mengikut undang-undang.”
BH telah menghubungi pemilik asal Venice Ballroom untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Polis memberitahu BH siasatan berhubung kes ini masih dijalankan.
Sesal tak sudah
Dua lagi pasangan memberitahu BH mereka tidak membuat laporan polis.
Difahamkan mereka telah menerima surat daripada peguam Encik Mohamed yang menyatakan komitmen menangani tuntutan ganti rugi.
Surat itu turut menyatakan keadaan kesihatan Encik Mohamed.
Salah satu pasangan tersebut berkata mereka terpaksa mencari lokasi dan penyedia khidmat alternatif dalam tempoh 12 jam selepas diberitahu melalui e-mel bahawa majlis mereka terpaksa dibatalkan dan Encik Mohamed dimasukkan ke hospital.
Mereka telah membeli pakej berharga $30,000 dan terpaksa mengeluarkan belanja tambahan untuk membuat aturan alternatif.
“Undangan majlis juga terpaksa dihantar semula melalui WhatsApp sekitar 11 malam selepas kami berjaya mendapatkan dewan dan katering baru,” kata pasangan itu, yang enggan nama mereka disiarkan.
Pasangan kedua berkata mereka telah membuat bayaran penuh $29,000 pada 2025 untuk mengadakan majlis pada 20 Jun lalu.
Bagaimanapun, seminggu sebelum majlis iaitu pada 8 Jun, mereka dimaklumkan bahawa lokasi persandingan, Venice Ballroom, di Jalan Besar, tidak lagi boleh digunakan dan majlis perlu dipindahkan ke One Farrer Hotel.
Sekitar 14 jam sebelum majlis berlangsung, pada 19 Jun, pasangan yang enggan nama mereka disiarkan itu berkata penyedia khidmat dekor tidak dibenarkan memasuki hotel berkenaan kerana tiada sebarang tempahan direkodkan.
Pasangan itu berkata mereka akhirnya mendapatkan bantuan daripada Istana Ballroom untuk menyediakan dewan serta vendor lain bagi memastikan majlis dapat diteruskan pada keesokan harinya.
Dalam pada itu, personaliti tempatan, Khairudin Samsuddin, turut terkait dalam isu ini disebabkan gambarnya yang digunakan bagi tujuan pemasaran.
Menjawab pertanyaan BH, Khairudin berkata gambarnya digunakan tanpa kebenaran dan beliau tidak mempunyai sebarang hubungan rasmi dengan The Aurelia Events.
“Saya baru mengenali Encik Mohamed pada 6 Jun ketika mengacarakan sebuah majlis perkahwinan. Beliau menghampiri saya dan bertanya kadar bayaran untuk mengacarakan majlis pada 27 Jun. Saya hanya memberikan kadar bayaran dan beliau memaklumkan akan menghubungi saya semula.
“Tiada sebarang pengesahan atau pembayaran deposit dibuat. Saya kemudian mengetahui gambar saya digunakan dalam media sosial syarikat itu walaupun saya tidak pernah memberikan kebenaran,” jelasnya.
