Sekitar dua bulan sebelum tibanya Ramadan, penganjur bazar dan acara sudah mula giat membuat persiapan bagi menyambut antara bulan paling sibuk dalam kalendar perniagaan mereka.

Menurut beberapa pengendali yang dihubungi Berita Harian (BH), lebih 70 peratus ruang sewa di bazar mereka yang bakal dianjurkan telah ditempah sejak pendaftaran dibuka.

Bagi penganjur bazar Syed Trader’s, sekitar 75 peratus daripada 130 ruang sewanya telah ditempah oleh peniaga sejak pendaftaran dibuka pada Oktober.

Pengarah Syed Trader’s, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad, berkata beliau telah memenangi tender untuk menganjurkan bazar di padang seberang stesen MRT Khatib dan mengajak peniaga untuk berdaftar dengan mereka.

Penganjur bazar MakBesar pula menawarkan 170 ruang untuk peniaga di bazar yang bakal diadakan di Kampong Gelam dan sekitar 80 peratus ruang tersebut telah ditempah sejak awal November.

Pengerusi Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof, yang merupakan pengurus utama kawasan Kampong Gelam, berkata MakBesar dipilih selepas KGA bertemu dengan empat penganjur untuk meneliti cadangan konsep bagi tapak bazar merentas Kandahar Street, Sultan Gate Park, dan Muscat Street.

Bazar Ramadan 2027 dijangka berlangsung sepanjang Kandahar Street.
Bazar Ramadan 2027 dijangka berlangsung sepanjang Kandahar Street. - Foto BH oleh KHALID BABA

Berita Harian (BH) difahamkan tapak bazar itu bakal turut diperluas ke perkarangan Taman Warisan Melayu buat julung-julung kalinya pada 2027.

Berdasarkan satu hantaran Instagram pada 15 November, penganjur bazar di Geylang Serai, TLK Trade Fair and Events, juga sudah membuka pendaftaran untuk peniaga bagi acara mereka yang akan berlangsung mulai 4 Februari 2027.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Syed Muhammad Farit berkata persiapan bazar Ramadan bermula awal untuk menguruskan perkara pentadbiran seperti tender, lesen, serta merancang ruang bazar mereka.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat (baju merah), dan pengarah Syed Trader’s, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad (baju putih), semasa pembukaan bazar Ramadan di Kampong Gelam pada 2026.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat (baju merah), dan pengarah Syed Trader’s, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad (baju putih), semasa pembukaan bazar Ramadan di Kampong Gelam pada 2026. - Foto fail

“Lazimnya, bazar di Khatib hanya mampu menampung sekitar 58 ruang sewa tetapi dengan perancangan awal, kami berjaya mengetepikan 98 ruang sewa untuk peniaga makanan dan minuman (F&B) dan 32 lagi untuk penjual barangan dengan menggunakan platform kayu,” kongsi Syed Muhammad Farit, yang mempunyai pengalaman mengendalikan bazar Ramadan sejak 2014.

Untuk bazar di Khatib yang akan berlangsung mulai 4 hingga 28 Februari 2027, beliau menawarkan harga sewa bermula dari $3,500 untuk peniaga barangan dan $7,500 untuk F&B.

Menurut beberapa peniaga yang dihubungi BH pula, persiapan awal diperlukan untuk mengambil kira cuti Tahun Baharu Cina menjelang Ramadan.

“Apabila kami memulakan persiapan awal, kami dapat membuat tempahan logistik dan bahan-bahan berdasarkan harga awal pembekal sebelum dikenakan caj tambahan menjelang musim cuti umum,” kata pengasas perniagaan roti john, The John Goat, Encik Mohamed Hafiz Mohamed, yang akan menyertai bazar di Khatib pada 2027.

Ini merupakan kali kedua The John Goat menyertai bazar Ramadan sejak Encik Hafiz, 38 tahun, memulakan perniagaan tersebut pada lewat 2024.

Bagi pengasas perniagaan pakaian sopan wanita, The Print Label, Cik Siti Nurhidayah Yahya, persiapan awal kali ini memastikan stok sampai awal agar beliau sempat membuat pemasaran sebelum cuti umum.

“Persiapan untuk bazar Ramadan juga jatuh pada musim perayaan Tahun Baharu Cina. Jadi kami perlu membuat persiapan lebih awal agar stok dan barangan logistik yang ditempah dari negara Cina tidak tertunda,” jelas beliau, 44 tahun, yang akan menyertai bazar di Kampong Gelam untuk seminggu buat kali pertama.

Terima maklum balas peniaga, pengunjung

Pengalaman menganjurkan bazar pada 2026 turut menjadi pegangan dan bimbingan untuk beberapa penganjur bazar.

Bagi pengasas bersama penganjur Laloolalang dan personaliti tempatan, Den Sabari, 47 tahun, acara pop-up untuk persiapan Hari Raya merupakan antara tarikan orang ramai sejak diadakan pada 2025.

“Kami menerima maklum balas daripada peniaga dan pengunjung bahawa mereka suka konsep kami yang lebih khusus untuk pembelian barang untuk Raya.

“Dengan membawa masuk jenama tertentu untuk beberapa hari, pengunjung mendapat satu pengalaman yang disusun atur di mana mereka datang hanya untuk mencari jenama yang diinginkan, tanpa membuang waktu atau berasa letih,” jelas beliau, yang telah menganjurkan acara sejak 2015.

Acara mereka, Raya Sejiran, dianjurkan bersama penganjur acara Malaysia, Pasar Seloka, akan berlangsung pada 13 dan 14 Februari 2027 di Aliwal Arts Centre.

Mereka mengekalkan harga sewa 2026 yang bermula dari $800.

Menurut Den, kesemua 60 ruang sewanya habis ditempah dalam masa empat hari sejak pendaftaran dibuka pada 12 November.

Pemilik bersama MakBesar dan personaliti tempatan, Haryani Othman, juga mengambil kira maklum balas peniaga melalui sesi penglibatan bersama peniaga pada awal November untuk memahami pengalaman dan kerisauan mereka.

Beliau, 48 tahun, berkata pihaknya membuat perubahan seperti menambah sumber air agar peniaga mendapat tekanan air yang lebih seimbang, langsir hujan untuk mengelakkan peniaga terkena hujan, dan platform kayu untuk meratakan jalan di bazar agar air hujan tidak mudah bertakung di ruang peniaga.

“Kami sedang melakukan sebanyak mungkin untuk membantu peniaga raih untung,” kata beliau, yang telah memulakan syarikat tersebut sejak 2019.

Namun, antara cabaran yang dihadapinya adalah mengekalkan kadar sewa yang berpatutan sedang kos operasi terus meningkat.

Beliau juga berkata harga bekalan, tenaga kerja dan elektrik telah meningkat antara 14 hingga 40 peratus sejak bazar 2026.

Walaupun demikian, pihaknya berusaha mengekalkan harga bekalan elektrik pada paras yang sama seperti 2026 serta berjaya berunding dengan pembekal logistik untuk mendapatkan harga pukal dan mengurangkan kos sewa untuk peniaga.

Untuk bazar sepanjang 33 hari dari 3 Februari 2027, MakBesar menawarkan harga sewa bermula dari $3,200 bagi peniaga barangan dan $12,000 untuk F&B.

Tahun ini, penganjur itu juga menawarkan pilihan menyewa untuk seminggu yang bermula dari $890 untuk peniaga barangan dan $3,000 untuk F&B.

Acara rancak semasa pembukaan bazar Ramadan di Kampong Gelam pada 2026.
Acara rancak semasa pembukaan bazar Ramadan di Kampong Gelam pada 2026. - Foto fail

Bagi Syed Muhammad Farit pula, beliau berkata pengunjung dan peniaga menghargai konsep bazar yang berteraskan agama yang diterapkannya semasa bazar di Kampong Gelam pada 2026.

Namun, beliau menerima maklum balas daripada pengunjung dan netizen bahawa salah satu persembahan artis pada 2026 terasa kurang sesuai diadakan pada bulan Ramadan.

“Kami akur dengan maklum balas yang diterima untuk 2026. Untuk 2027, kami masih mengekalkan konsep keagamaan dan akan menjemput artis berdasarkan kesesuaian mereka,” terang beliau.

Tambahnya, beliau memastikan artis yang dijemput untuk bazar kali ini lebih sinonim dengan sambutan Hari Raya.

Selain itu, beliau berharap masih dapat mengekalkan pertandingan bacaan Al-Quran dan persembahan nasyid untuk 2027.

“Disebabkan bazar kali ini berada di kawasan kejiranan, kami juga menjangkakan pengunjung berbilang kaum dan ingin tawarkan konsep yang lebih inklusif.

“Melalui program yang dirancang, kami juga akan berkongsi dengan mereka yang bukan Islam tentang bulan Ramadan untuk membina pemahaman,” kongsi beliau.