Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa dua qari cilik mahu mereka belajar bangkit daripada kegagalan
Bapa dua qari cilik mahu mereka belajar bangkit daripada kegagalan
Bapa dua qari cilik mahu mereka belajar bangkit daripada kegagalan
Kebanyakan ibu bapa biasanya mengharapkan anak mereka memberikan persembahan yang sempurna apabila berdiri di atas pentas pertandingan.
Namun, ketika kedua-dua anaknya menyertai pertandingan bacaan Al-Quran anjuran aLIVE di Singapore Expo pada 4 Julai, Encik Mohammad Faliq Rais sebenarnya berharap berlaku sedikit kesilapan yang mengganggu kelancaran bacaan mereka.
“Bukan saya mahu anak-anak saya gagal, tetapi ia satu peluang terbaik untuk mengajar mereka bagaimana kekal tenang, bangkit semula, dan teruskan bacaan dengan yakin depan khalayak ramai.
“Kalau tiba-tiba mereka buntu, usah panik. Kembali kepada ayat sebelumnya dan teruskan. Di situlah pembentukan peribadi bermula,” jelasnya.
Namun bagi Encik Faliq, 40 tahun, pembentukan peribadi itu sebenarnya bermula jauh sebelum anak-anaknya menyertai pertandingan tersebut yang diadakan sempena LearnIslam Fest 2026, satu pesta mesra keluarga yang meraikan pendidikan Islam, budaya, dan semangat kemasyarakatan.
Beliau mengakui pernah berfikir panjang sebelum mendaftarkan kedua-dua anaknya, Nur Falisha Mohammad Faliq, sembilan tahun; dan Mohammad Shariq Mohammad Faliq, tujuh tahun, kerana bimbang mereka akan merasakan tekanan untuk menang.
Akhirnya, beliau memilih untuk menghantar mereka bertanding bukan kerana mengejar trofi, tetapi kerana melihat pertandingan itu sebagai pemangkin untuk mendekatkan mereka kepada Al-Quran.
“Pertandingan ini merupakan wadah untuk mereka lebih menghargai surah yang dipelajari,” terang Encik Faliq, seorang penasihat kewangan.
Bagaimanapun, beliau percaya pertandingan Al-Quran mempunyai satu cabaran yang berbeza berbanding pertandingan lain.
Mengulas lebih lanjut, beliau sentiasa menasihati anaknya agar niat mereka tidak berubah menjadi satu persembahan untuk meraih pujian daripada orang lain.
“Saya selalu ingatkan kepada anak-anak saya, apabila membaca Al-Quran, ingat maknanya dan ingat bahawa mereka membaca kerana Allah.
“Ia bukan kerana pertandingan atau kerana hakim yang berada di hadapan mereka,” ujar beliau.
Bagi memastikan anak-anaknya benar-benar memahami perkara itu, Encik Faliq dan isterinya, Cik Nur Shazielah Abdul Rahim, 36 tahun, meluangkan antara 30 minit hingga sejam setiap malam sepanjang kira-kira empat bulan untuk melatih mereka.
Tambah Encik Faliq, beliau dan isterinya akan membantu memperbetulkan tajwid dan mengulang kaji surah bersama-sama anak-anak mereka.
Namun, Encik Faliq berkata setiap sesi latihan bukan sekadar bertujuan melancarkan bacaan, tetapi untuk menjadi ruang berbincang tentang makna surah serta mengingatkan kembali tujuan sebenar mereka membaca Al-Quran.
Menurutnya, usaha itu turut diperkukuh menerusi beberapa sesi bimbingan bersama seorang asatizah yang disediakan penganjur pertandingan untuk membimbing para peserta.
“Sesi bimbingan itu memberi peluang kepada anak-anak saya memahami maksud setiap surah dengan lebih mendalam, sekali gus membolehkan mereka menerangkan sendiri pengajaran yang terkandung di dalamnya.
“Hasilnya, mereka bukan sekadar menghafal, tetapi memahami kandungan surah dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya,” kongsi beliau.
Bagi Encik Faliq, nilai sebenar pertandingan itu bukan terletak pada kedudukan yang diraih kedua-dua anaknya, tetapi pada akhlak yang dibentuk sepanjang perjalanan.
Beliau menggunakan pengalaman itu untuk mengajar anak-anaknya supaya menghormati hakim dan penganjur, melayan peserta lain dengan baik, serta mengawal rasa bangga apabila memperoleh keputusan yang baik.
Walaupun Mohammad Shariq dinobatkan juara bagi kategori tujuh hingga lapan tahun, manakala Nur Falisha meraih tempat ketiga bagi kategori sembilan hingga 12 tahun, Encik Faliq berkata kemenangan itu bukan penamat perjalanan mereka.
“Ini bukan sesuatu yang sementara. Selepas pertandingan tamat, kita tidak boleh melupakan Al-Quran kerana ia akan sentiasa bersama kita sepanjang hayat.
“Pertandingan ini hanyalah pemangkin untuk mereka terus mengenali surah demi surah dan lebih menghargai Islam,” katanya.
