Pada November 2025, Encik Muhammad Haziq Mikhail Azhar sibuk melayan penumpang penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada ketinggian 35,000 kaki.

Lapan bulan kemudian, pemuda berusia 24 tahun itu pula bergelar usahawan apabila membuka Peekabrew!, sebuah kedai menjual makanan ringan dan minuman.

Yang menariknya, kedainya menggunakan konsep di mana makanan dan minuman disajikan menerusi lubang kecil di dinding Arab Street.

Pesanan pula dihulurkan oleh seseorang yang memakai sarung tangan raksasa.

Ditemui Berita Harian (BH), Encik Haziq berkata:

“Saya memang sengaja mahu mengejutkan pelanggan apabila pesanan mereka dihulurkan melalui bukaan itu. Jika hanya menggunakan tangan biasa, ia kelihatan agak membosankan. Sebab itu saya memilih sarung tangan berbentuk raksasa.

“Pada musim perayaan nanti, pelanggan mungkin akan melihat pelbagai jenis ‘tangan’ atau sarung tangan dengan tema yang berbeza keluar dari bukaan itu.”

Seiring konsep itu, kedainya hanya menawarkan perkhidmatan bawa pulang.

Inspirasinya tersebut dicedok daripada model perniagaan rangkaian kopi Luckin berkonsepkan minmuman dibawa pulang serta kedai kecil berkaunter yang ditemuinya ketika melancong ke beberapa negara.

“Kebanyakan kedai kopi menawarkan ruang untuk pelanggan menjamu selera di premis. Saya pula mahu mewujudkan pengalaman yang lebih unik, di mana pelanggan hanya berinteraksi melalui bukaan tersebut.”

Perjalanan Encik Haziq sebagai usahawan bermula setelah beliau diberhentikan kerja sebagai pramugara berikutan kecederaan ligamen pada pergelangan tangannya.

Bagaimanapun, pelbagai dugaan terpaksa ditempuh.

Pada mulanya, jalinan kerjasama dengan rakan kongsi beliau berakhir akibat matlamat berbeza.

Selepas itu, rancangannya ditolak oleh enam pelabur berbeza ketika beliau mahu memulakan perniagaan tersebut.

“Ada yang menganggap pasaran kopi dan matcha di Singapura sudah terlalu sarat dengan pesaing atau enggan melabur dalam industri makanan dan minuman,” katanya yang kini menawarkan beberapa pilihan minuman seperti Matcha, kopi, siri minuman khas Cloud yang menampilkan buih sejuk berperisa, selain sandwic goreng Jepun (Fried Sandos) menggunakan roti susu Jepun bersama pelbagai inti rangup.

Menurutnya, ramai yang menyifatkan keputusannya membuka kedai di kawasan Bugis sebagai satu langkah berani memandangkan kadar sewa tinggi.

“Saya tahu ramai menganggap keputusan membuka kedai di Bugis agak berisiko. Namun, saya tidak membuat keputusan secara membuta tuli. Saya sudah mengira kos dan membuat andaian yang munasabah sebelum memulakan perniagaan ini,” katanya yang akhirnya mendapat sokongan pelabur yang baru.

Beliau berkata konsep yang diketengahkannya tidak memerlukan sebuah premis besar, malah hanya memerlukan ruang dapur untuk menyediakan makanan dan minuman.

“Saya sudah menetapkan bajet sewa yang mampu saya tanggung. Kadar sewa di Bugis boleh mencecah antara $10,000 dengan $15,000 sebulan, tetapi saya tidak memerlukan keseluruhan ruang seperti sebuah kafe biasa. Saya hanya perlukan ruang dapur,” katanya yang juga berkongsi perjalanannya di TikTok.

Meskipun mengakui banyak perkara yang perlu dipelajari ketika memulakan perniagaan pertama, Encik Haziq berkata beliau kerap membaca, tidak segan meminta maklum balas daripada rakan-rakan serta sentiasa memperhalusi resipi minuman dan makanan.

Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Peekabrew! menerima sambutan menggalakkan sejak dibuka pada 4 Julai.

Menurut Encik Haziq, ramai pencipta kandungan makanan dan agensi pemasaran berkongsi mengenai kedainya secara organik di media sosial, sekali gus membantu menarik lebih ramai pelanggan tanpa perlu bergantung kepada promosi berbayar.