Dalam keadaan kos sara hidup dan harga bahan mentah yang terus meningkat, masih ada penjaja yang memilih untuk menjual makanan serendah $1 demi memastikan masyarakat terus dapat menikmati hidangan mampu milik. BERITA MINGGU menampilkan kisah tiga penjaja yang sanggup mengorbankan sebahagian keuntungan bagi mengekalkan harga makanan pada kadar yang dimampui lebih ramai orang.

Meskipun membayar hampir $10,000 sebulan bagi sewa gerai makan, pasangan suami isteri, Encik Reban Kasran dan Cik Sakdiah Abdul Latiff, tetap menjual nasi lemak pada harga $2 sebungkus demi memastikan lebih ramai pelanggan, terutama golongan yang lebih memerlukan terus mempunyai akses kepada makanan pada harga berpatutan.

Pasangan itu, yang memiliki gerai Indonesian Selera Corner di Blok 101 Yishun Avenue 5, berkata meraih keuntungan yang lebih besar bukan keutamaan mereka, selagi masih ada pelanggan yang bergelut dengan kos sara hidup.

“Kami mahu memastikan golongan rentan seperti warga emas dan keluarga berpendapatan rendah masih boleh membeli makanan tanpa perlu memikirkan soal harga.

“Ada pelanggan kami yang mempunyai sehingga tujuh orang anak, jadi kalau harga nasi lemak lebih daripada $5 atau $10 sebungkus, sudah tentu perit untuk mereka seisi keluarga.

“Sebab itu kami pilih untuk kekalkan harga rendah kerana kami percaya makanan mampu milik tidak seharusnya menjadi beban kepada orang ramai,” terang Cik Sakdiah, 53 tahun, ketika ditemui Berita Minggu (BM).

Sejak mula beroperasi di kawasan itu pada 2005, Cik Sakdiah dan suaminya menjadikan kemampuan pelanggan sebagai pertimbangan utama dalam menentukan harga makanan mereka.

Meskipun menjual nasi lemak pada harga $2, Encik Reban, 57 tahun, berkata gerai mereka, yang mempunyai lapan pekerja, turut menawarkan pelbagai hidangan lain seperti nasi padang pada harga pasaran, sekali gus membantu menampung kos operasi dan “memperoleh margin keuntungan yang kecil.”

Tambahnya, mereka tetap mengekalkan harga nasi lemak walaupun kadar sewa gerai meningkat secara beransur-ansur daripada sekitar $3,000 kepada hampir $10,000 sebulan sejak mula beroperasi lebih dua dekad lalu.

Nasi lemak yang dijual di gerai ‘Indonesian Selera Corner’ mengandungi nasi, sambal tumis, telur, ikan bilis, kacang, ikan selar kuning dan timun.  Ada juga versi kepak ayam goreng, di mana ikan selar kuning digantikan dengan kepak ayam.
Nasi lemak yang dijual di gerai ‘Indonesian Selera Corner’ mengandungi nasi, sambal tumis, telur, ikan bilis, kacang, ikan selar kuning dan timun. Ada juga versi kepak ayam goreng, di mana ikan selar kuning digantikan dengan kepak ayam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“Kami sebenarnya tidak terlalu memikirkan tentang untung besar.

“Walaupun margin keuntungan sangat kecil, kami kekalkan harga rendah ini demi memastikan sesiapa sahaja tetap mampu membeli nasi lemak kami.

“Lain hari pun boleh cari duit, kami hanya mahu memastikan golongan seperti warga emas dan keluarga besar masih ada pilihan makanan yang murah,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi memastikan harga nasi lemak kekal rendah, mereka sentiasa membandingkan harga bahan mentah daripada beberapa pembekal dan mendapatkan bekalan daripada pihak yang menawarkan harga paling kompetitif.

Bagi Encik Reban, usaha mengekalkan harga rendah tidak bermakna mereka boleh berkompromi terhadap mutu makanan yang dihidangkan kepada pelanggan.

“Kalau kita sendiri rasa makanan itu sedap, insya-Allah orang lain pun akan rasa begitu,” ujarnya.

Nasi lemak dijual gerai ‘Indonesian Selera Corner’ lengkap dengan nasi, sambal, telur, ikan bilis, kacang,  timun dan kepak ayam goreng. Ada juga versi ikan selar kuning yang menggantikan kepak ayam.
Nasi lemak dijual gerai ‘Indonesian Selera Corner’ lengkap dengan nasi, sambal, telur, ikan bilis, kacang, timun dan kepak ayam goreng. Ada juga versi ikan selar kuning yang menggantikan kepak ayam. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Menurut Cik Sakdiah, idea menjual nasi lemak pada harga $2 tercetus selepas mereka mendengar sendiri permintaan pelanggan, terutama warga emas, yang hanya mahukan hidangan ringkas, cukup untuk alas perut.

Gerai yang beroperasi selama 24 jam itu, menawarkan dua jenis nasi lemak – ikan selar kuning atau ayam, yang lengkap dengan nasi, sambal, telur, ikan bilis, kacang, dan timun.

Encik Reban berkata mereka menjual antara 100 hingga 150 bungkus nasi lemak setiap pagi, dan akan menyediakan lebih banyak bungkus sekiranya permintaan berterusan hingga ke sebelah petang.

Selain daripada warga emas, Cik Sakdiah berkata pelanggan mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar dan pekerja yang singgah membeli sarapan sebelum ke sekolah dan tempat kerja.

Antara kenangan paling bermakna buat pasangan itu sepanjang lebih dua dekad mengusahakan gerai tersebut adalah hubungan akrab yang terjalin dengan pelanggan setia merentasi beberapa generasi.

Pelanggan yang membeli dari gerai ‘Indonesian Selera Corner’ terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, warga emas, dan keluarga besar.
Pelanggan yang membeli dari gerai ‘Indonesian Selera Corner’ terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, warga emas, dan keluarga besar. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

“Saya masih ingat seorang budak yang mula makan di gerai kami ketika berusia 10 tahun, dan kini beliau sudah berusia 30 tahun dan mempunyai anak sendiri.

“Ada juga seorang pelanggan yang datang hampir setiap hari sejak beliau berusia lapan tahun ketika di sekolah rendah, dan sampai sekarang masih kembali makan di sini walaupun sudah melanjutkan pengajian ke universiti,” kenang Cik Sakdiah sambil tersenyum lebar.

Bagi Encik Reban dan Cik Sakdiah yang mempunyai tiga orang anak, gerai tersebut bukan sekadar tempat mencari rezeki, tetapi juga ruang untuk terus berbakti kepada masyarakat yang selama ini menyokong mereka.

Justeru, mereka kini mula melatih salah seorang anak perempuan mereka yang sedang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), untuk mengambil alih perniagaan itu suatu hari nanti, dengan harapan nilai yang dipegang mereka akan terus diamalkan agar masyarakat sentiasa mempunyai akses kepada makanan berharga berpatutan.

“Saya selalu memberitahu isteri dan anak-anak supaya letakkan diri sendiri di tempat pelanggan dan tanya sama ada makanan yang kami sajikan itu benar-benar cukup untuk mengenyangkan mereka.

“Selagi kami mampu, kami akan terus kekalkan harga nasi lemak ini supaya orang biasa masih mampu beli kerana kami mahu sentiasa ada untuk masyarakat,” kata Encik Reban.