Topik diikuti
Pergi ke BHkuGerai di Toa Payoh tekad kekalkan legasi nasi lemak $1
Gerai di Toa Payoh tekad kekalkan legasi nasi lemak $1
Pemilik generasi kedua mahu teruskan amanah ibu bapa
Gerai di Toa Payoh tekad kekalkan legasi nasi lemak $1
Selama hampir 40 tahun, dan seolah-olah mencabar logik serta tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, Kedai Makan Muhajirin di Lorong 7 Toa Payoh terus mengekalkan harga nasi lemak ikoniknya pada $1.
Tekanan kos yang semakin meningkat sejak awal 2026 memaksa pemilik generasi kedua gerai itu, Encik Mohamed Hajirin Mohd Tahir, menyemak semula harga beberapa hidangan lain.
Khususnya, sepinggan mi siam, mi rebus dan lontong kini dijual pada harga $4, iaitu 50 sen lebih tinggi berbanding pada 2025.
Ini sambil beliau berpegang teguh untuk mengekalkan harga nasi lemak tersebut pada $1.
Berkongsi kepada Berita Minggu (BM), Encik Mohamed Hajirin berkata usaha mengekalkan harga nasi lemak pada $1 bukan sekadar keputusan perniagaan.
Bahkan, ia merupakan amanah yang diwarisi daripada ibu bapanya – pemilik asal gerai itu – yang mengasaskan perniagaan tersebut.
“Dorongan utama saya sebenarnya datang daripada ibu bapa saya. Semasa membantu mereka di gerai, mereka banyak mengajar saya tentang kehidupan dan membuka mata saya terhadap keadaan masyarakat di Toa Payoh.
“Dari situlah, timbulnya minat dan semangat untuk meneruskan usaha ini,” katanya, yang telah mengambil alih gerai itu lebih lima tahun lalu.
Beliau menambah bahawa gerai itu terus menjual antara 500 hingga 600 bungkus nasi lemak $1 setiap hari, kecuali pada Isnin apabila ia ditutup.
Dengan $1, pelanggan boleh mendapatkan sepinggan nasi lemak lengkap dengan telur, timun, sambal, ikan bilis dan kacang.
Jika inginkan nasi lemak dihidangkan dengan ayam, pelanggan juga boleh menambah $1.50.
Isteri Encik Mohamed Hajirin, Cik Norazlina Md Yusoff, berkata gerai itu turut menerima tempahan daripada pelanggan dari pelbagai kawasan di Singapura yang membeli nasi lemak dalam kuantiti besar untuk diagihkan kepada warga emas dan golongan yang memerlukan.
“Ia telah menjadi ‘trademark’ kami, dan kami mahu meneruskan legasi itu sambil terus berbakti kepada masyarakat.
“Selagi boleh, kami mahu terus mengekalkan harga nasi lemak itu pada $1,” ujarnya, yang merupakan pemilik bersama gerai itu.
Berpegang teguh kepada komitmen tersebut bukan tanpa cabarannya, menurut Encik Mohamed Hajirin.
Beliau berkata sewa bulanan telah meningkat daripada $3,500 pada 2024 kepada $4,000 kini.
Pada masa yang sama, harga bahan mentah asas seperti beras, tepung gandum dan barangan kering lain meningkat daripada 20 hingga 30 peratus, manakala harga ikan selar kuning pula naik sekitar 30 peratus.
“Dulu, harga ikan selar kuning sekitar $4 sekilogram. Kini, harganya mencecah kira-kira $7 sekilogram,” katanya.
Kenaikan kos itu turut memaksa gerai berkenaan membuat beberapa pelarasan pada menu, seperti harga nasi lemak yang dihidangkan bersama ikan selar kuning dinaikkan daripada $1 kepada $1.20.
Selain itu, jualan hidangan lain termasuk mi siam, mi rebus, lontong, dan nasi sambal goreng dijual pada harga lebih tinggi bagi membantu memastikan perniagaan itu terus mampan.
“Kalau sewa naik, harga bahan mentah naik atau kos lain meningkat, nasi lemak $1 memang kami tak usik.
“Sebaliknya, kami akan lihat hidangan lain yang boleh diselaraskan harganya. Begitulah cara kami menguruskan kenaikan kos,” ujar Cik Norazlina.
Untuk menangani peningkatan kos, pasangan suami isteri itu sentiasa memantau harga bahan mentah serta meninjau tawaran daripada pembekal lain bagi mendapatkan harga yang lebih berpatutan.
Namun, mereka tetap mengekalkan hubungan dengan pembekal sedia ada sekiranya harga yang ditawarkan tidak banyak berbeza.
Sekiranya mereka benar-benar tiada pilihan selain menaikkan harga, Encik Hajirin berkata beliau akan mendapatkan pandangan pelanggan tetap terlebih dahulu.
“Kalau memang dah tak ada jalan lain, saya akan berbincang dengan pelanggan tetap dulu. Saya tanya mereka sama ada mereka boleh terima kalau harga dinaikkan. Kalau mereka okey, barulah kami buat keputusan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Encik Mohamed Hajirin akur terdapat had kepada kemampuan gerai itu untuk terus mengekalkan harga rendah, dengan kadar sewa menjadi antara kebimbangan utamanya.
“Kalau sewa cecah sekitar $5,000 sebulan, memang susah untuk kami terus jual seperti sekarang. Mungkin nasi lemak $1 itu dah tak ada,” jelasnya.
