Topik diikuti
Pergi ke BHkuBilal muda 11 tahun laungkan takbir di radio
Bilal muda 11 tahun laungkan takbir di radio
Bilal muda 11 tahun laungkan takbir di radio
Pada usia lima tahun, Sheikh Saifuddin Suhaimi sudah menunjukkan minat untuk mendalami pengajian agama.
Meskipun masih kecil, dia mencari dan meneliti pilihan untuk menuntut pendidikan madrasah.
Kini pada usia 11 tahun, beliau mencapai detik bermakna apabila suaranya kedengaran di seluruh Singapura ketika melantunkan takbir Aidiladha dalam siaran langsung radio Warna dari Masjid Assyakirin.
“Saifuddin sendiri yang pilih sekolah mana dia nak pergi. Bayangkan di usia enam tahun, dia sudah menduduki peperiksaan masuk ke sekolah madrasah yang mencabar,” kata ibunya, Cik Najmeen Nisha Nizamuddin kepada Berita Harian (BH).
Menurutnya, minat Saifuddin menyerlah sejak kecil lagi dan dia sendiri yang bersemangat untuk menjalani pendidikan madrasah, meskipun pernah diberitahu bahawa ujian masuk ke sekolah tersebut mencabar.
“Saya pernah pujuk dia untuk ke sekolah biasa, tapi dia betul-betul nekad untuk ke madrasah,” kongsi suri rumah itu.
Anak kedua dalam tiga adik-beradik itu kini menuntut di Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah dan telah mengikuti kelas agama serta pelbagai aktiviti di Masjid Assyakirin sejak berusia empat tahun.
Sepanjang penglibatannya di masjid tersebut, beliau aktif menyertai pelbagai program, termasuk memimpin selawat, berkhidmat sebagai bilal muda semasa solat tarawih Ramadan, serta menyertai kem dan kegiatan keagamaan yang dianjurkan masjid.
Di bawah bimbingan Eksekutif Pembelajaran Al-Quran di Masjid Assyakirin, Ustaz Muhammad Farid Yaacob, Saifuddin merupakan antara lapan murid di bawah inisiatif Imam dan Bilal Muda, anjuran masjid tersebut.
Timbalan pengurus Masjid Assyakirin, Encik Ahmadusshafa Zainudin berkata:
“Inisiatif ini berperanan sebagai wadah untuk melatih serta membimbing kanak-kanak dan remaja agar menjadi bilal dan imam pada masa hadapan.”
Difahamkan para bilal muda sering diberi peluang untuk menggalas tugas semasa solat tarawih di masjid dan qaryah, selain menyokong laungan takbir pada malam dan pagi Hari Raya.
Saifuddin sendiri telah mengikuti kelas Al-Quran di masjid sejak beberapa tahun lalu dan turut menerima bimbingan khusus dalam bacaan Al-Quran daripada Ustaz Farid.
Selain latihan dan kelas yang diikutinya, beliau juga aktif menyertai program Gegar Selawat yang telah dianjurkan sebanyak enam kali setakat ini.
Penglibatannya dalam Takbir Raya pula bermula pada tahun 2022 ketika beliau berusia tujuh tahun.
Sejak itu, Saifuddin terus mengambil bahagian setiap tahun.
Pada tahun ini, beliau bersama seorang lagi belia, Muhammad Uwais Qarni Hezrul Iskandar, dipilih untuk memimpin laungan takbir Aidiladha yang disiarkan secara langsung melalui radio.
Siaran khas itu berlangsung sempena kehadiran Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir yang memimpin solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Assyakirin.
Menurut Cik Nisha, pemilihan Saifuddin dibuat berdasarkan keyakinan dan kebolehannya yang telah lama dikenali oleh para asatizah serta kepimpinan masjid melalui penglibatannya yang aktif dalam pelbagai program.
Ditanya tentang perasaannya, Saifuddin berkata:
“Di sebalik pengalaman ini, saya berasa gementar tetapi pada masa yang sama sangat teruja. Dipilih untuk melaungkan takbir raya secara langsung di radio adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan.
“Saya berasa sangat bersyukur dan berbesar hati diberikan peluang ini. Mendengar suara saya sendiri di radio merupakan satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Syukur Alhamdulillah atas pengalaman yang sangat bermakna ini.”
Dia menyifatkan Masjid Assyakirin “seperti rumah kedua” sambil menjelaskan bahawa suasana mesra dan sokongan yang diterimanya daripada para guru serta jemaah masjid banyak membantu perkembangan dirinya.
Selain itu, Saifuddin turut berkongsi harapan agar dapat menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya suatu hari nanti.
Mengimbas kembali pencapaian anaknya, Cik Nisha mengakui berasa amat bangga dan bersyukur sehingga sebak ketika menceritakan pengalaman tersebut.
Menurut beliau, keluarga pada mulanya tidak mengetahui bahawa laungan takbir itu disiarkan secara langsung sehingga beberapa rakan menghubunginya dan bertanya sama ada suara yang kedengaran di radio itu ialah suara Saifuddin.
“Ramai ahli keluarga dan rakan-rakan teruja apabila mendengarnya. Kami benar-benar bersyukur atas peluang yang diberikan kepadanya,” ujar beliau.
