Kemeriahan suasana di Masjid Al-Istighfar begitu terasa dengan kembalinya ibadah korban secara langsung sempena Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei.

Setelah tujuh tahun menyepi, semangat gotong-royong dalam menjayakan ibadah tersebut jelas terpancar, apabila perkarangan masjid mula dipenuhi sohibul (pelaksana) korban bersama ahli keluarga mereka seawal 9 pagi.

Berita Harian (BH) menyaksikan syiar korban cukup dirasai semua lapisan masyarakat, daripada sohibul yang kali pertama melaksanakan ibadah korban di masjid tersebut, sehinggalah kanak-kanak yang didukung ibu bapa untuk menyaksikan proses penyembelihan.

Encik Adanan Selamat, 74 tahun, berkobar-kobar menantikan giliran namanya dipanggil.

Detik itu lebih manis buat penduduk Tampines itu, mengimbau kali terakhir beliau menunaikan ibadah korban di Masjid Al-Istighfar sebelum operasi di tempat tersebut ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.

“Saya memang sudah biasa menjalankan ibadah korban di sini beberapa tahun lalu sebelum ia dihentikan. Lagipun, masjid ini berdekatan dengan rumah saya.

“Namun, saya paling teruja rebut peluang melihat ibadah korban secara bersemuka. Walaupun ia ditawarkan di tempat lain beberapa tahun lalu, saya tidak mengikutinya,” kata beliau, yang ditemani keluarganya.

Encik Adanan Selamat, 74 tahun (kanan) antara sohibul korban di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei, sempena Hari Raya Aidiladha. Beliau ditemani isterinya, Cik Shabaria Sairin, 66 tahun (dua dari kanan); anaknya, Cik Nur Nadiah Adanan, 45 tahun (tiga dari kanan) dan menantunya, Encik Encik Zainol Abidin Mohammad, 48 tahun (kiri).
Encik Adanan Selamat, 74 tahun (kanan) antara sohibul korban di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei, sempena Hari Raya Aidiladha. Beliau ditemani isterinya, Cik Shabaria Sairin, 66 tahun (dua dari kanan); anaknya, Cik Nur Nadiah Adanan, 45 tahun (tiga dari kanan) dan menantunya, Encik Encik Zainol Abidin Mohammad, 48 tahun (kiri). - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Bagi 2026, ibadah korban dijalankan di empat masjid.

Pembekal dan pengendali haiwan korban, Aliyah Rizq Holdings, menjalankan ibadah korban di tiga masjid – Al-Istighfar, Omar Salmah dan Tentera Diraja.

Operasi di Masjid Jamae Chulia pula dikendali pembekal ladang haiwan setempat, AgroMasters Pte Ltd.

Tiga masjid, bagaimanapun, tidak berpeluang mengadakan ibadah korban, sebagaimana yang diumumkan selepas pembekal haiwan korban mereka gagal mendapatkan kebenaran mengeksport haiwan korban dari Australia sebelum Hari Raya Haji pada 27 Mei.

Sebanyak 350 kambing biri-biri dan domba tidak dapat dibawa bagi ibadah korban di Masjid Al-Istighfar.

Beberapa sukarelawan memotong daging korban di ruang operasi bersebelahan dengan Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei.
Beberapa sukarelawan memotong daging korban di ruang operasi bersebelahan dengan Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Beberapa sohibul lain pula teruja menikmati ibadah korban secara langsung buat kali pertama, selepas beberapa tahun melakukannya di luar negara.

Cik Rohana Md Nor, 48 tahun, terharu menikmati syiar korban secara bersemuka.

“Selalunya kami buat ibadah korban luar negara, dan hanya menerima rakaman yang dikirim. Jadi, pengalaman melihat korban dengan mata sendiri sambil mendengar takbir menyentuh hati saya,” kata guru sekolah rendah itu.

Cik Rohana Md Nor, 48 tahun, terharu menikmati syiar korban secara bersemuka di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei
Cik Rohana Md Nor, 48 tahun, terharu menikmati syiar korban secara bersemuka di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Encik Muhammad Firdaus Bin Muhammad Yusoff, 36 tahun, pula bersyukur dapat melaksanakan ibadah korban di kejiranan sendiri buat kali pertama selepas beberapa tahun.

Beliau hadir untuk menemani ibunya, Cik Zauyah Pakli, 74 tahun, menjalankan ibadah korban.

“Kami sekeluarga duduk di Pasir Ris, dan saya sangat gembira kami dapat melakukan korban di kejiranan kami. Secara jujurnya, ia amat mengagumkan. Melihat suasana seperti ini.

“Pada tahun-tahun lepas, saya perlu ke kawasan utara selepas menunaikan solat Hari Raya Aidiladha di sini, untuk menunaikan ibadah korban.” kata pengurus di syarikat huraian kejuruteraan bahan, Applied Materials.

Pengurus Masjid Al-Istighfar yang menyokong operasi korban di bahagian masjid, Ustazah Latifah Yusoff, turut teruja melihat suasana meriah yang akhirnya kembali mewarnai pekarangan masjid itu selepas kali terakhir diadakan pada 2019.

“Ramai sohibul kelihatan begitu bersemangat, malah ada yang datang seawal mungkin. Namun, saya yakin pihak masjid dapat mengawal keadaan dan kesibukan ini dengan baik,” ujar beliau yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun mengendali operasi ibadah korban.

Ustazah Latifah juga melahirkan rasa syukur atas kehadiran ramai sukarelawan muda yang tampil menghulurkan bantuan, lantas membawa tenaga dan semangat baharu yang memperhebatkan lagi operasi mereka, terutamanya dalam menyantuni para sohibul warga emas.

Para sohibul menanti giliran untuk ibadah korban atau mengambil daging korban di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei.
Para sohibul menanti giliran untuk ibadah korban atau mengambil daging korban di Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Terdapat sekurang-kurangnya 300 sukarelawan dari masjid dan syarikat pengendali yang terlibat di sebalik tabir operasi itu.

Antaranya, ialah Anggota Parlimen (MP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha, 44 tahun, yang bertindak sebagai salah seorang penyembelih bagi operasi korban di masjid kawasan Pasir Ris itu.

Lebih manis lagi, bapa tiga anak itu disokong keluarganya.

Gandingan keluarga itu menyaksikan anak lelakinya, Mohamed Zafir Iman, 11 tahun, bertindak sebagai pengendali haiwan, manakala isterinya, Cik Noreen Azli, 41 tahun, bersama dua anak perempuan mereka, Marsya Nayli, 18 tahun, dan Sarah Naimah, 14 tahun, memastikan kelancaran urusan di bahagian pentadbiran masjid dan pergerakan sohibul.

“Saya daripada dulu memang menjadi sukarelawan di masjid untuk ibadah korban ketika saya masih belia,” jelas Encik Sharael. Beliau juga membantu dengan penyembelihan di Masjid Omar Salmah pada 26 Mei.

Selain berasa syukur ibadah korban kembali ke masjid itu, beliau menyifatkan kejayaan operasi ibadah korban sebagai lambang kerjasama pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya amat gembira melihat ibadah korban kembali dilaksanakan di Masjid Al-Istighfar, hasil kerjasama pelbagai beberapa pihak berkepentingan.

“Malah, para sukarelawan di sini dan serata Singapura juga dapat bersatu-padu sebagai sebuah masyarakat, bergotong-royong tanpa mengira usia untuk membantu serta bekerjasama demi menjayakan ibadah korban kita ini,” ujar beliau.

Beliau juga teruja melihat ramai sukarelawan belia tampil membantu.

“Selain mengalami sendiri makna dan suasana ibadah korban, ini merupakan peluang penting untuk golongan berusia menurunkan ilmu dan pengalaman mereka kepada generasi seterusnya,” ujar beliau.

Encik Sharael juga bersyukur atas usaha pihak berkepentingan yang membantu menjalankan ibadah lain sempena Hari Raya Aidiladha, termasuk ruang solat yang disediakan oleh kumpulan kariah dan mereka yang diamanahkan menjaga jemaah haji di Arafah.

Anggota Parlimen (MP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha (kanan), 44 tahun, bertindak sebagai salah seorang penyembelih sukarelawan di operasi korban di pekarangan Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei, bersama keluarga beliau.
Anggota Parlimen (MP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha (kanan), 44 tahun, bertindak sebagai salah seorang penyembelih sukarelawan di operasi korban di pekarangan Masjid Al-Istighfar pada 27 Mei, bersama keluarga beliau. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL