Topik diikuti
Pergi ke BHkuBot terbalik di Bintan: Warga S’pura terperangkap bawah air bersama bayi 6 bulan
Bot terbalik di Bintan: Warga S’pura terperangkap bawah air bersama bayi 6 bulan
Bot terbalik di Bintan: Warga S’pura terperangkap bawah air bersama bayi 6 bulan
Terperangkap di bawah bot terbalik, Encik Sayyid Muhammad Fariid Syed Amzah Alsagoff hanya melihat kehijauan air yang keruh, tanpa arah, tanpa cahaya, tanpa udara.
Nafasnya tersekat dan dadanya seakan dihempap, manakala anak perempuannya, yang berusia enam bulan, terikat pada dadanya.
Walaupun dirinya sendiri sedang bergelut demi nyawa, anaknya juga bergantung sepenuhnya kepada beliau untuk terus hidup.
“Air masuk hidung saya, saya langsung tak boleh bernafas… saya cuma fikir, macam mana nak selamatkan anak saya,” katanya.
Encik Fariid antara lapan warga Singapura yang terlibat dalam kejadian bot terbalik di Lagoi, Bintan, pada 31 Mei.
Beliau dan 27 ahli keluarga lain sedang bercuti di Bintan selama tiga hari dari 30 Mei hingga 1 Jun.
Menceritakan peristiwa cemas itu kepada Berita Harian (BH), Encik Fariid, 27 tahun, berkata kejadian berlaku ketika mereka memulakan lawatan ke paya bakau di kawasan itu.
Menurut isterinya, Cik Sharifah Shafiqah Syed Ezzat, bot dinaiki mereka membawa 10 orang, terdiri daripada lapan ahli keluarga termasuk bayi mereka dan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, serta pemandu bot dan pemandu pelancong.
Namun, Cik Shafiqah, 27 tahun, berkata mereka hanya mengetahui selepas kejadian bahawa bot hanya mampu menampung sehingga lapan orang.
Beliau duduk bersebelahan suaminya, manakala bayi perempuan mereka diikat pada dada Encik Fariid menggunakan penggendong bayi.
“Apabila bot kami menghampiri satu bakau yang penuh dengan ular, hujan lebat tiba-tiba turun disertai arus deras.
“Pemandu pelancong sebelum itu telah menjelaskan bahawa hujan boleh menyebabkan paras air naik daripada sekitar tiga meter hingga enam meter,” jelasnya.
Pasangan itu mendakwa pemandu bot memandu laju walaupun dalam keadaan hujan lebat dan arus berbahaya, yang akhirnya menyebabkan bot itu tiba-tiba senget 90 darjah ke kanan.
Encik Fariid, yang duduk di sebelah kanan bot, berkata semua orang berjaya naik ke permukaan air kecuali beliau, anak perempuannya, sepupunya, dan anak perempuan sepupunya.
Tambahnya, semua penumpang kecuali bayinya memakai jaket keselamatan kerana tiada saiz untuk bayi.
Jaket keselamatannya pula dipakai di atas penggendong bayi yang diikat pada dadanya.
“Ketika bot terbalik, ia jatuh tepat di atas saya. Saya hanya nampak warna hijau daripada cahaya di atas… keadaan terlalu gelap untuk lihat apa-apa,” terangnya.
Beliau cuba berenang ke atas tetapi terhantuk pada bot yang menghalang akses kepada udara.
Dengan satu tangan memegang anaknya, beliau meraba sisi bot dengan tangan kiri sebelum menemui hujungnya dan menyelam keluar.
Sepupunya dan anak sepupunya turut berjaya menyelamatkan diri.
“Saya hanya terperangkap kira-kira 10 hingga 15 saat, tetapi itu adalah 10 hingga 15 saat paling lama dalam hidup saya.
“Saya langsung tak fikir apa-apa, saya hanya mahu menyelamatkan anak saya dan diri sendiri,” ujar Encik Fariid.
Beliau berkata kesemua 10 orang kemudian berenang ke kawasan bakau yang kira-kira dua minit jauhnya, dipenuhi akar dan dahan pokok.
Mereka kemudian berpaut di sana dalam hujan lebat selama kira-kira 45 minit sehingga diselamatkan bot yang dinaiki ahli keluarga lain.
Enggan orang lain melalui pengalaman sama, Encik Fariid dan Cik Shafiqah menekankan pentingnya mematuhi muatan bot, serta memastikan terdapat peralatan keselamatan lengkap buat semua lapisan usia.
“Lebih membimbangkan, tiada jaket keselamatan khusus disediakan untuk bayi atau kanak-kanak kecil, memaksa mereka menggunakan peralatan yang tidak sesuai saiz.
“Selain itu, tidak semua jaket keselamatan dilengkapi dengan klip, tali pengikat, dan wisel,” kongsi Encik Fariid.
Menurut pasangan itu, mereka hanya mengalami kecederaan ringan sebelum menerima rawatan di hospital setempat.
Semasa bot itu terbalik, Cik Shafiqah berkata keutamaan utama mereka hanyalah untuk menyelamatkan diri sehingga barangan termasuk beg dan telefon bimbit ditinggalkan dan tenggelam di laut.
Berdasarkan dokumen laporan polis yang dilihat BH, mereka menganggarkan jumlah kerugian sekitar 93.7 juta Rupiah ($7,000).
