Topik diikuti
Pergi ke BHkuImpian hadiri perbarisan tamat latihan NS tinggal kenangan susuli nahas di Machap
Impian hadiri perbarisan tamat latihan NS tinggal kenangan susuli nahas di Machap
Keluarga sifatkan Allahyarham Lutfi Adib sebagai penyayang, suka bantu orang
Impian hadiri perbarisan tamat latihan NS tinggal kenangan susuli nahas di Machap
Hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum Allahyarham Lutfi Adib Yusof tamat Latihan Asas Tentera (BMT) bagi Perkhidmatan Negara (NS) dan diraikan dalam Perbarisan Tamat Latihan (Pop) pada 7 Jun, yang ingin dihadiri oleh ibu bapa dan adik-beradiknya.
Namun, impian pemuda berusia 20 tahun yang disifatkan rakan-rakannya sebagai jejaka ceria, penyayang dan suka membantu, itu tidak kesampaian apabila beliau maut dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku berhampiran Machap, Johor Bahru (JB), pada 5 pagi, 31 Mei.
Ibu Allahyarham, Cik Kartini Mohd Kamil, 56 tahun, seorang kakitangan pentadbiran kanan, memberitahu Berita Harian (BH) di rumahnya di Bedok:
“Lutfi seorang anak yang sangat ceria dan mempunyai ramai kawan. Ramai yang beritahu saya dia seorang yang suka membantu orang lain.
“Dia memang anak yang baik. Sejak kecil dia minat menyanyi dan bermain muzik. Dia bermain gitar, kemudian mengajak saya menyanyi bersama dan kami rakamkan nyanyian itu.
“Dalam apa jua yang dia lakukan, dia akan berikan sepenuh hati. Sekarang semua ini tinggal kenangan.”
Allahyarham Lutfi merupakan anak bongsu dalam empat beradik dan tinggal bersama ibu serta bapa tirinya.
“Walaupun ketika dia masih kecil dan saya melalui perceraian, Allahyarham sentiasa memberi sokongan kepada saya. Apabila saya berkahwin semula, dia menerima dan merestuinya. Dia benar-benar cahaya dalam hidup saya,” ujar Cik Kartini sambil duduk bersila di lantai, di hadapan dinding yang pernah dicat oleh Allahyarham.
“Corak biru pada dinding ini dilukis oleh Allahyarham. Saya masih ingat bagaimana dia melakukannya. Ia menjadi kenangan yang sangat berharga buat kami,” katanya sambil menahan sebak.
Masih segar di ingatan Cik Kartini tentang anaknya yang pernah dipaparkan dalam BH sewaktu di sekolah rendah, kerana pernah menyertai program ‘Mendekati Belia di Kawasan Kejiranan’ di Kelab Masyarakat Tampines West.
Allahyarham Lutfi juga pernah menunaikan umrah bersama ibunya ketika berusia 12 tahun.
Mengimbas kejadian 31 Mei lalu itu, Cik Kartini berkata: “Biasanya bila saya bangun pagi, saya akan basuh pinggan atau sidai pakaian. Pagi itu, saya hanya duduk kaku dan termenung. Saya sendiri tidak tahu mengapa. Saya dengar azan subuh dan ketika sedang berzikir, telefon rumah tiba-tiba berbunyi. Jarang sekali telefon rumah berbunyi pada waktu pagi.”
Ia merupakan panggilan anak perempuannya yang menyampaikan berita sedih bahawa adiknya kemalangan.
Dalam satu kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Kilometer 82.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Batu Pahat, Johor.
Laluan berkenaan sering digunakan penunggang dan pemandu dalam perjalanan menuju ke utara dari Singapura.
Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika Allahyarham sedang dalam perjalanan ke Port Dickson, Negeri Sembilan, apabila motosikal yang ditunggangnya dipercayai rosak.
Beliau kemudian berhenti di lorong kecemasan sebelum dilanggar sebuah lori dari arah sama yang dipercayai hilang kawalan.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman sekitar 11 pagi pada 1 Jun.
Abang sulungnya, Encik Muhammad Ashraf Yusof, 28 tahun, berhubung secara langsung dengan rakan Allahyarham, Encik Shahrul Nizam Nor Rizal, 24 tahun, yang turut dalam perjalanan ke Port Dickson.
“Apabila Allahyarham keluar dari rumah untuk bergerak ke Johor Bahru, dia tiba sekitar 10.30 malam di sebuah bengkel motosikal. Di sana dia menukar ekzos motosikal dan menunggu rakannya.
“Namun kumpulan itu lewat kerana ada beberapa urusan lain dan memaklumkan mereka hanya akan tiba selepas 3 pagi. Allahyarham sepatutnya bertemu rakannya di BPoint, JB,” jelas Encik Ashraf.
Allahyarham kemudian membuat keputusan meneruskan perjalanan ke Port Dickson seorang diri tanpa menunggu rakan-rakannya.
Beliau kemudian ke Machap untuk mengisi minyak.
Menurut Encik Shahrul, beliau dan rakan lain ternampak lokasi Allahyarham berhampiran sebuah stesen minyak di Machap melalui aplikasi Life360.
“Oleh sebab Lutfi tidak membalas pesanan, kami cuba menghubungi bengkel di kawasan yang biasa kami kunjungi untuk bertanya sama ada sesiapa nampak Allahyarham.
“Dia menunggang motosikal saya, jadi saya yakin ada yang akan mengenalinya. Ketika itu kami berjaya menghubungi seorang lelaki warga Malaysia yang kebetulan berada di kawasan tersebut.
“Lelaki itu memberitahu dia ternampak seseorang menunggang motosikal saya dan motosikal itu kelihatan seperti mengalami masalah,” ujar Encik Shahrul.
Selain itu, rakaman video yang ditunjukkan keluarga Allahyarham kepada BH memaparkan Allahyarham dalam keadaan tidak bernyawa, terbaring di tepi jalan dengan memakai jaket biru terang serta topi keledar putih. Video tersebut dirakam lelaki Malaysia yang sama.
Cik Kartini menambah: “Dalam hati saya terus berdoa agar kami sempat bertemu dengannya. Apabila kami tiba di hospital dan melihat semua orang menangis, jauh di sudut hati, saya tahu dia akan pergi meninggalkan kami.
“Lutfi sudah tiada. Saya mahu dia pergi dengan tenang. Kami tidak boleh terus meraung atau hilang pertimbangan. Saya belajar bahawa insan yang kita sayangi pergi, itu tanda kasih sayang Allah, yang menciptakannya, dan kepada Allah jugalah dia kembali.”
