Seorang wanita cedera selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas lalu terbalik di sebuah tempat letak kereta bertingkat di Woodlands pada 2 Jun.

Menurut polis, wanita itu enggan dibawa ke hospital.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian tersebut di Blok 622A Woodlands Drive 52 pada sekitar 6.50 petang.

Wanita berusia 41 tahun itu sedang membantu dengan siasatan, tambah polis.

Beberapa gambar dalam talian menunjukkan sebuah kereta hitam terbalik di bawah tanjakan menurun dari tingkat dua ke tingkat satu, berhampiran pintu masuk dan keluar tempat letak kereta bertingkat itu.

Gambar tersebut, yang dimuat naik ke kumpulan Facebook ‘Roads.sg’, juga menunjukkan seorang lelaki berpakaian baju putih Majlis Bandaran Sembawang di lokasi kejadian bersama pegawai Polis Trafik.

Dalam satu video yang dimuat naik ke kumpulan Facebook ‘SG Kaypoh’, kereta hitam itu kelihatan sedang diterbalikkan semula ke kedudukan asal oleh sebuah trak tunda.