Hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang jua.

Itulah peribahasa yang menggambarkan pertemuan menyentuh hati antara Encik NoorRashid Haji Musa dengan pemandu Grab, Encik Raymond Wong, pada 8 Mei lalu.

Pada sekitar 9.45 pagi, Encik Wong telah menerima tempahan dari King Georges Avenue menuju ke Pusara Aman, Lim Chu Kang.

Menaiki kereta Honda Shuttle tersebut ialah Encik NoorRashid, 62 tahun, bersama anaknya yang keempat, Encik Muhammad Noor Syahmi NoorRashid, 22 tahun.

Bercakap dengan Berita Harian (BH), Encik NoorRashid menceritakan anaknya ingin menziarahi kubur arwah datuk dan neneknya sebelum beliau berangkat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang penerbangan di Eropah.

Meskipun Encik NoorRashid ialah warga Singapura yang menetap di Brunei sejak 1998, anaknya merupakan warga Brunei yang ingin menjejaki asal usul keluarganya di sini.

Setelah tiba di destinasi, Encik Wong menyedari kesukaran mendapatkan kenderaan pulang dari kawasan pedalaman itu, lantas beliau secara spontan menawarkan diri untuk menunggu.

“Saya tahu kawasan itu susah nak dapat pemandu lain. Jadi saya tawarkan untuk tunggu dan bawa mereka ke lokasi-lokasi seterusnya tanpa fikir soal tambang tambahan,” kata bapa dua anak perempuan berusia tujuh dan lapan tahun itu.

Encik Raymond Wong mengambil tuala sendiri daripada kereta dan mula mengelap kubur arwah keluarga Encik NoorRashid.
Encik Raymond Wong mengambil tuala sendiri daripada kereta dan mula mengelap kubur arwah keluarga Encik NoorRashid. - Foto TANGKAP LAYAR VIDEO IHSAN NOORRASHID HAJI MUSA

Encik Wong, 39 tahun, yang sudah memandu Grab sejak 2016, akur sepanjang sedekad memandu, tempahan itu merupakan kali kedua beliau menghantar penumpang ke kawasan tersebut.

Oleh sebab sikap ingin tahu, Encik Wong tidak tunggu di dalam kereta sahaja malah beliau keluar dari kereta dan meneliti sekeliling pusat perkuburan itu.

Menurutnya, oleh sebab sifatnya yang mementingkan kebersihan, beliau mengambil tuala bersih daripada keretanya untuk membantu mengelap dan membersihkan kubur pertama yang diziarahi, iaitu kubur arwah ibu Encik NoorRashid.

“Tiba-tiba beliau datang tak semena-mena, beliau langsung lap kubur pakai tuala sendiri. Sambil kami baca doa, kami terkejut dan terharu.

“Bayangkan dalam cuaca panas begitu, beliau ikut kami, tunggu bersama kami dan bantu membersihkan lagi kubur semasa kami berdoa,” cerita Encik NoorRashid, yang merupakan bapa sembilan anak dan datuk tiga cucu.

Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, Encik Wong sekadar menjawab ringkas bahawa beliau sukakan kebersihan.

“Saya rasa tidak selesa melihat keadaan kotor. Walaupun bimbang jika perbuatan saya dianggap tidak sopan, saya tetap mahu membantu sebab hormat,” ujar Encik Wong yang beragama Buddha.

Beliau juga mengambil peluang itu untuk bertanya tentang adat batu nisan masyarakat Melayu bagi menambah pengetahuannya.

“Saya tanya banyak soalan seperti kenapa tiada gambar dan banyak lagi. Saya sangat berterima kasih anak muda itu sabar menjawab pertanyaan saya,” ujar Encik Wong yang mengikut bapa dan anak itu menziarahi empat kubur.

Meskipun telah menunggu sekitar tiga jam, Encik Wong tetap menawarkan untuk menghantar Encik NoorRashid bersama anaknya hingga ke Masjid Habib Noh di Palmer Road untuk solat Jumaat, tanpa mengenakan sebarang tambang tambahan.

Encik NoorRashid hanya perlu membayar tambang asal iaitu $20.

Encik Wong juga menolak pelawaan Encik NoorRashid yang ingin berbelanja beliau makan.

“Saya hanya mengenakan tambang biasa dan tidak meminta apa-apa tambahan. Bagi saya, ia hanyalah satu tindakan kecil atas bantuan sesama manusia tanpa mengira kaum atau agama. Saya tidak fikirkan duit. Saya ikhlas membantu orang lain,” jelas Encik Wong.

Bagi Encik NoorRashid yang juga pernah menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sebagai anggota Polis Tentera Singapura, keluhuran budi itu mengingatkan beliau kepada semangat perpaduan sejati.

“Jasa budi Raymond sangat luar biasa. Beliau benar-benar mengamalkan semangat walk the talk sebagai satu rakyat, satu bangsa, satu Singapura.

“Saya hanya mampu berdoa semoga beliau mendapat kebaikan atas keikhlasannya. Itu sahaja pemberian tertinggi yang boleh saya harapkan untuknya,” tambah Encik NoorRashid.