Setiap kali Cik Hani Kader melontarkan tumbukan dan tendangan di kelas Muay Thai, beliau bukan sekadar melatih kekuatan fizikal.

Sebaliknya, setiap gerakan menjadi lambang bagaimana beliau sedang membina semula keyakinan diri yang pernah terhakis akibat pelbagai cabaran hidup.

“Selepas melalui dua perkahwinan yang gagal dan pelbagai cabaran lain, setiap tumbukan dan tendangan mengingatkan saya bahawa saya sebenarnya lebih kuat daripada hari sebelumnya.

“Saya cuma perlukan seseorang yang percaya kepada saya, dan saya menemuinya dalam jurulatih serta rakan-rakan di gim saya,” kata pendidik berusia 54 tahun itu.

Menurut Cik Hani, apa yang dialaminya turut dirasai ramai wanita lain yang mengikuti latihan di Van Lee Fitness, gim khas wanita yang terletak di Chinatown.

Baru-baru ini, komuniti wanita itu mencuri perhatian warganet selepas pengasas Van Lee Fitness, Cik Van Lee, memuat naik video memaparkan ahli-ahlinya menjalani latihan Muay Thai sambil bertelekung pada bulan Ramadan selepas solat tarawih.

Bagi salah seorang ahli gim Van Lee Fitness, Cik Hani Kader, berlatih bersama komuniti wanita di gim itu telah membantunya membina semula keyakinan diri dan menyedari bahawa beliau lebih kuat daripada yang disangkakan.
Bagi salah seorang ahli gim Van Lee Fitness, Cik Hani Kader, berlatih bersama komuniti wanita di gim itu telah membantunya membina semula keyakinan diri dan menyedari bahawa beliau lebih kuat daripada yang disangkakan. - Foto VAN LEE

Menurut Cik Lee, perubahan paling besar bukanlah pada kekuatan fizikal atau kemahiran mempertahankan diri, tetapi pada keyakinan, daya tahan, dan rasa kekitaan yang dibina melalui sebuah komuniti wanita yang saling menyokong.

Beliau berkata sekitar 95 peratus ahlinya terdiri daripada wanita Melayu/Islam daripada pelbagai latar belakang, termasuk golongan ibu, yang bekerja, serta pengasuh kepada ibu bapa yang berusia.

Bagi Cik Hani, budaya saling menyokong itu mula dirasainya sejak hari pertama beliau menyertai kelas.

Menyentuh tentang rasa kekitaan antara komuniti wanita di gim tersebut, ibu kepada anak berusia 19 tahun itu berkata:

“Setiap wanita di sini membawa beban kehidupan yang berbeza, ada yang lebih berat daripada yang lain.

“Tetapi apabila kami melangkah masuk ke gim, kami bersatu untuk menyokong satu sama lain dan menjalani latihan dengan semangat.”

Tambahnya, ahli gim baharu akan dipadankan dengan ahli yang lebih berpengalaman supaya tiada sesiapa berasa tersisih.

Ahli gim Van Lee Fitness menikmati juadah bersama-sama.
Ahli gim Van Lee Fitness menikmati juadah bersama-sama. - Foto VAN LEE

Bagi seorang lagi ahli gim, Cik Nur Adlina Ismail, cabaran terbesar ketika mula-mula menyertai kelas bukanlah mempelajari teknik Muay Thai.

Sebaliknya, beliau berasa gentar untuk melangkah masuk ke persekitaran gim kerana menyangka dirinya tidak cukup cergas dan bimbang akan dipandang rendah.

Namun, Cik Adlina, 28 tahun, berkata tanggapannya berubah sebaik sahaja beliau mengenali komuniti wanita di Van Lee Fitness.

Seorang lagi ahli gim, Cik Nur Adlina Ismail, berkata komuniti wanita di Van Lee Fitness memberinya keyakinan untuk terus berlatih tanpa rasa perlu membuktikan dirinya kepada sesiapa.
Seorang lagi ahli gim, Cik Nur Adlina Ismail, berkata komuniti wanita di Van Lee Fitness memberinya keyakinan untuk terus berlatih tanpa rasa perlu membuktikan dirinya kepada sesiapa. - Foto VAN LEE

“Kami semua faham bahawa setiap orang berada di sini untuk berkembang mengikut kemampuan dan rentak masing-masing.

“Saya tidak pernah rasa seolah-olah perlu membuktikan diri kepada sesiapa. Sebaliknya, saya sentiasa digalak untuk menjadi diri sendiri.

“Penerimaan itulah yang memberi saya keyakinan untuk terus datang berlatih, walaupun pada hari yang saya tidak berada pada prestasi terbaik,” ujarnya.

Menurut Cik Adlina, latihan itu yang berlangsung selama 75 minit setiap minggu juga menjadi ruang untuk beliau melepaskan seketika tekanan kerja serta tanggungjawab menjaga ahli keluarga.

“Walaupun saya menjadi lebih kuat dari segi fizikal, perubahan yang paling bermakna ialah cara saya melihat diri sendiri dan cabaran hidup.

“Dahulu, saya sering membiarkan rasa takut dan keraguan menguasai diri. Melalui latihan, saya belajar mengenal pasti fikiran negatif itu tanpa membiarkannya menentukan siapa diri saya.

“Kini, saya lebih tenang apabila berdepan tekanan, lebih berani mencuba perkara baharu, dan lebih yakin bahawa saya mampu berkembang sedikit demi sedikit,” tambahnya.

Menurut Cik Lee, budaya itu sememangnya dibina dengan sengaja sejak beliau menubuhkan gim tersebut pada 2012.

Beliau berkata matlamatnya adalah untuk mewujudkan ruang yang selamat, inklusif, dan bebas daripada penghakiman, khususnya buat wanita daripada golongan minoriti dan wanita Islam yang mahukan persekitaran khas wanita untuk bersenam dengan selesa.

Menurut beliau, ramai ahli berada dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an yang sedang mengimbangi kerjaya, keibuan, serta tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia.

“Sebagai wanita, kita perlu memastikan diri sendiri gembira, sihat, dan sejahtera terlebih dahulu sebelum kita boleh menjaga keluarga dan orang lain.

“Harapan saya adalah untuk setiap wanita yang berlatih di sini untuk berasa lebih gembira, lebih kuat, dan lebih yakin untuk menghadapi apa sahaja cabaran hidup,” kongsinya.