Calon PhD tinggal kerjaya korporat, pilih jadi penjaja
Bagi kebanyakan individu, memiliki ijazah dalam kewangan, sarjana dalam bidang kaunseling, dan kini sedang menuntut di peringkat Doktor Falsafah (PhD) adalah laluan jelas ke puncak kerjaya korporat.
Namun, bagi Encik Khairul Ariffin Sharifuddeen, 38 tahun, pejabatnya kini bukan bilik berhawa dingin, sebaliknya sebuah gerai yong taufu di Pusat Penjaja Upper Boon Keng.
Keputusan Encik Khairul membuka gerainya sendiri, Firebowl YTF, bukan dibuat dalam sekelip mata.
Beliau yang pernah bekerja dalam perkhidmatan awam menyifatkan peralihan tersebut sebagai satu fleksibiliti dan kemampanan hidup jangka panjang.
“Ada beberapa sebab mengapa saya memilih untuk menjadi penjaja,” kongsi Encik Khairul kepada Berita Harian baru-baru ini.
“Dalam dunia korporat, kita terikat dengan had umur persaraan. Apabila mencecah usia 65 tahun, anda harus berhenti kerja. Tetapi sebagai penjaja, saya boleh terus bekerja selagi badan ini masih mampu bekerja,” tambah bapa kepada seorang bayi lelaki itu.
Selain itu, status sebagai bos sendiri memudahkan beliau membahagikan masa untuk pengajian PhD di Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
Beliau bebas mengatur jadual untuk bertemu penyelia tesis atau mengajar kursus kesihatan mental secara sambilan tanpa perlu memohon cuti daripada majikan.
Selain mengejar cita-cita akademik, faktor keluarga turut menjadi pendorong.
Encik Khairul berkongsi bahawa pengalaman lalu – seperti kesukaran mendapatkan cuti bapa yang mencukupi ketika isteri dan bayinya memerlukan penjagaan rapi – menguatkan lagi keinginannya untuk memperoleh masa yang fleksibel.
Baginya, kejayaan mendapat tender penjaja daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) adalah satu rahmat tersembunyi yang membolehkan beliau meceburi menjadi usahawan.
Di samping itu, keputusannya untuk mengendalikan gerai yong taufu juga dibuat dengan pertimbangan yang teliti.
Encik Khairul mahukan model perniagaan yang mempunyai aliran kerja yang ringkas.
Baginya sajian yong taufu memenuhi matlamat tersebut.
“Lauk-pauk Melayu kadang-kadang agak rumit. Saya mahukan operasi yang lebih cekap supaya jika saya mengambil pekerja nanti, mereka tidak perlu belajar memasak 20 hidangan berbeza. Ia memudahkan pengurusan,” kongsi pemilik Firebowl YTF itu yang memilih warna kuning untuk papan tanda kedainya, selain turut menyertakan tulisan jawi sebagai sentuhan unik.
Beliau juga melihat peluang untuk menawarkan pilihan makanan yang lebih sihat bagi masyarakat Melayu di kawasan tersebut menerusi sup ayam yang disediakan segar dan pilihan sup mala serta bakso.
Memulakan perniagaan itu pada pertengahan Januari, Encik Khairul sempat berkongsi video butiran modal permulaannya di aplikasi TikTok pada 19 Januari.
Dalam catatan media sosialnya Encik Khairul mendedahkan beliau membelanjakan sekitar $30,000 untuk memulakan Firebowl YTF – satu perkongsian yang menarik perhatian ramai netizen kerana catatannya yang telus dengan hampir 80 ribu tontonan dan lebih 2,000 ‘like’.
“Saya rasa penting untuk orang lain tahu kos sebenar sebelum mereka terjun ke bidang ini. Ramai orang takut hendak kongsi maklumat sebegini. Bagi saya, $30,000 itu sebenarnya di tahap rendah jika dibandingkan dengan francais lain seperti kedai serbaneka yang boleh mencecah $70,000 atau pusat tuisyen sehingga $200,000,” katanya yang sebelum membuka gerai tersebut telah meninjau pemasaran perniagaan dan kos-kos lain.
Ketelusan Encik Khairul turut membuka mata bakal usahawan lain yang sebelum ini memandang rendah kos memulakan perniagaan penjaja.
Seorang warganet ‘admin’ meninggalkan komen: “$30,000? Saya rancang mahu mula dengan $18,000 sahaja. Terlalu yakin... tak apalah, saya tunggu dahulu (sebelum bermula).”
Seorang pengguna Tiktok, ‘Bunny’ memberikan kata-kata semangat dan berkata: “Perlahan-lahan asalkan selamat! Beberapa bulan pertama memang mencabar. Masa bekerja yang panjang itu lama-kelamaan akan menjadi biasa, yang penting jangan putus asa!”
Tindakan beraninya itu bukan sahaja mendapat maklum balas positif, malah ada pembekal yang terus menghubunginya untuk menawarkan bekalan selepas melihat video tersebut.
Walaupun berdepan cabaran fizikal seperti kemudahan elektrik di pusat penjaja yang terhad, Encik Khairul tetap bersikap optimistik.
Dengan harga bermula $5.90 untuk enam bahan yong taufunya, beliau meletakkan sasaran jualan 75 mangkuk sehari untuk mencapai tahap pulang modal yang selesa bagi menyara keluarga.
“Buat masa ini, purata jualan adalah sekitar 30 ke 50 mangkuk sehari. Masih terlalu awal untuk membuat unjuran jangka panjang, tetapi masyarakat di sini sangat menyokong,” tambahnya.
Meskipun kini bergelar penjaja, Encik Khairul bertekad meneruskan pengajian PhDnya kerana minat mendalam dalam pembelajaran sepanjang hayat.
Apabila ditanya mengenai perancangan masa depannya setelah tamat pengajian PhD, Encik Khairul berkata bahawa perniagaan tetap menjadi keutamaannya kerana potensi pendapatan yang lebih tinggi.
“Menjadi pensyarah bukanlah mudah kerana kekosongan jawatan yang terhad. Selain itusayajuga inginkan fleksibiliti masa yang saya cari selama ini. Dalam jangka panjang, pendapatan perniagaan boleh menjadi jauh lebih tinggi daripada bekerja dengan majikan lain,” katanya lagi.

