Cinta mi segera hingga dibawa ke jenjang pelamin
Encik Ahmad Ikhwan Ibrahim menggemari mi segera jenama Maggi sejak kecil lagi sehingga beliau pernah bergurau mahu menghidangkan hidangan tersebut di majlis perkahwinannya nanti.
Gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan di majlis perkahwinan beliau bersama Cik Nur Adlina Habib pada 17 Januari lalu.
Jika pengantin lain lazimnya menyediakan ‘live station’ seperti aiskrim atau mi soto, pasangan pengantin itu menyediakan ‘live station’ yang membolehkan tetamu menikmati mi segera yang baru dimasak di majlis perkahwinan tersebut.
Video TikTok yang memaparkan Encik Ikhwan dan Cik Adlina menikmati mi segera panas, lengkap berbaju pengantin pada hari pernikahan mereka, menghiburkan warganet hingga meraih lebih 765,000 tontonan.
Rata-rata netizen berseloroh keserasian cita rasa terhadap menu ringkas sebegini adalah bukti sebenar mereka telah menemui jodoh yang tepat.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), adik bongsu pengantin lelaki, Cik Ilyana Insyirah Ibrahim, berkata abangnya itu sememangnya penggemar mi segera sejak kecil lagi.
“Abang saya memang seorang yang cerewet. Dietnya hanya dua makanan sahaja – mi segera dan telur,” kata Cik Ilyana, 25 tahun, sambil menambah beliau yang memuat naik detik tersebut ke media sosial dengan pengguna nama ‘milkilyy’ di TikTok.
Menurut Cik Ilyana, idea tersebut bukanlah sesuatu yang muncul secara spontan, sebaliknya sudah lama menjadi bahan gurauan abangnya sejak bertahun lalu.
“Dia selalu bergurau dengan mengatakan dia mahu menghidangkan Maggi pada majlis perkahwinannya, dan orang ramai hanya ketawa kerana menganggapnya tidak masuk akal atau mustahil,” katanya.
Tambahnya, perancangan tersebut dirahsiakan daripada kebanyakan ahli keluarga dan rakan-rakan, kecuali segelintir individu yang terlibat secara langsung dalam majlis itu, semata-mata untuk melihat reaksi tetamu pada hari bersejarah itu.
Seperti yang dijangka, ramai yang terhibur melihat Encik Ikhwan berjaya merealisasikan impiannya.
Antara pilihan perisa yang disediakan ialah kari, tomyam serta ayam yang juga lengkap dengan pelbagai perisa pilihan.
Video dengan kapsyen – ‘Anda terlalu obses dengan Maggi sampai sanggup ada stesen Maggi live di majlis perkahwinan sendiri’ – menerima pelbagai reaksi di ruang komen.
Seorang pengguna, ‘Aqilah Arman’ menulis di ruang komen dengan ayat “adakan (live station) Maggi” berserta emoji menulis, seolah-olah sedang mencatat idea tersebut.
Pengguna lain, ‘Hasrul Hafiz’, pula berkata beliau akan menyimpan video berkenaan untuk dijadikan rujukan apabila tiba giliran beliau melangsungkan perkahwinannya.
Malah, ada juga yang bertanya tentang cara mendapatkan khidmat mi segera tersebut.
“Saya tidak sangka video itu menjadi tular. Namun kami juga sedar perkara sebegini bukan sesuatu yang biasa berlaku di majlis perkahwinan,” kata Cik Ilyana.

