Pada usia 17 tahun, Syed Adam Rizq Syed Zaharuddin memikul tanggungjawab yang mungkin tidak pernah dialami kebanyakan remaja seusianya.

Ini termasuk membantu ibunya mengenakan solekan dan memilih pakaian, hinggalah menyediakan makanan dan menguruskan tugasan harian.

Tanggungjawab itu dipikul Encik Adam selepas penglihatan ibunya, Cik Siti Suriatini Abdul, kian merosot akibat strok mata – pendarahan pada salur darah di bahagian belakang mata – pada 2016.

Ibu tunggal berusia 50 tahun itu akhirnya kehilangan penglihatan sepenuhnya sekitar 2024.

Namun, Encik Adam tidak menganggap tugas menjaga ibunya sebagai satu beban, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

Ketika ditanya apa yang membuatnya kuat selama ini, beliau memberitahu Berita Harian (BH) dengan nada tenang:

“Apa yang membuat saya terus bertahan ialah sekurang-kurangnya ibu masih ada... saya yakin akan sentiasa ada cahaya di hujung terowong.

“Apa sahaja masalah yang perlu kita hadapi, akan ada keadaan yang lebih baik pada masa hadapan.”

Mengulas tentang peranan anak tunggalnya sebagai pengasuhnya, Cik Suriatini, yang lebih mesra digelar Cik Tini, berkata:

“Kalau saya ada acara yang perlu dihadiri, Adam yang akan bantu dengan solekan seperti mengenakan celak ataupun lukiskan kening. Pakaian juga beliau yang akan pilih mana yang sesuai untuk digayakan.

Apabila ditanya bagaimana Encik Adam mempelajari ‘kemahiran’ tersebut, ibu tunggal itu berkata anaknya sejak dahulu sering memerhatikannya ketika beliau bersiap dan melakukan kerja harian di rumah.

Daripada sekadar memerhati, Encik Adam kemudian belajar melakukan pelbagai perkara secara berdikari, termasuk di dapur yang sejak dahulu menjadi antara ruang pembelajarannya.

Menurut Encik Adam, kebanyakan kemahiran memasaknya dipelajari daripada ibunya yang dahulu pernah menjual makanan di gerai dan mengendalikan perniagaan jual makanan dari rumah (HBB).

Namun kini, pasangan ibu dan anak itu berkata peranan mereka di dapur seakan-akan berubah.

Jika dahulu Cik Tini mengajar Adam memasak, kini mereka berganding bahu menyediakan hidangan bersama.

Encik Adam berkata beliau membantu melakukan tugas yang memerlukan penglihatan dan pergerakan fizikal, sementara Cik Tini terus memasak dengan memanfaatkan deria lain yang dimilikinya.

“Saya masak dengan mulut. Saya akan beritahu bahan apa, berapa banyak, dan langkah yang perlu diambil,” terang Cik Tini.

Menurut mereka, kegiatan memasak bukan sahaja menjadi peluang untuk meluangkan masa bersama, malah membantu mengekalkan kemahiran Cik Tini serta kenangan yang telah dibina bersama sebagai ibu dan anak.

Bagi Encik Adam, menjaga ibunya, Cik Suriatini, bukan sekadar satu pengorbanan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan cara beliau menzahirkan kasih sayang menerusi perkara kecil setiap hari.
Bagi Encik Adam, menjaga ibunya, Cik Suriatini, bukan sekadar satu pengorbanan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka dan cara beliau menzahirkan kasih sayang menerusi perkara kecil setiap hari. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Malah, pengalaman mereka di dapur itu mencetuskan hasrat untuk menghasilkan sebuah buku masakan pada suatu hari nanti.

“Ia bukan sekadar mengumpulkan resipi, tetapi turut menceritakan perjalanan kami,” kata Cik Tini yang kini melakukan HBB berskala kecil dan sering menerima tawaran menyanyi di acara tertentu bagi menyara kos kehidupan.

Namun, pasangan ibu dan anak itu berkata perjalanan mereka ke tahap ini bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata.

Menurut Cik Tini, beliau pada awalnya merahsiakan keadaan kesihatannya daripada Encik Adam dan orang di sekelilingnya, sebelum anaknya mengetahuinya pada 2019 apabila penglihatannya semakin terjejas.

Pada 2022, beliau pula mengalami kemalangan melibatkan minyak panas yang mengakibatkan jangkitan serius sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Sejak itu, beliau berkata Encik Adam mula memikul peranan lebih besar dalam membantu ibunya, sedikit demi sedikit.

Daripada menyediakan makanan sebelum ke sekolah dan menemani ibunya menjalani sesi terapi, beliau turut membantu Cik Tini menyesuaikan diri dengan penggunaan kaki palsu.

Kini, di sebalik kesibukannya sebagai pelajar tahun pertama di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, serta komitmen di sekolah dalam pasukan ragbi dan sebagai pengawas, Encik Adam turut bekerja sambilan di syarikat perabot dan perkakas rumah Ikea bagi membantu keluarga.

Bagi Cik Tini, ketenangan anaknya dalam menghadapi pelbagai cabaran kadangkala membuatnya sendiri kagum.

“Apabila saya berkongsi sesuatu dengannya, beliau akan cakap, ‘Tak apa, ibu.’

“Dia sangat tenang. Kadangkala saya sendiri tidak percaya bagaimana dia mampu melalui semua ini tanpa mengeluh,” katanya.

Malah, Cik Tini dan Encik Adam berkata mereka turut berkongsi perjalanan hidup mereka menerusi sesi perkongsian anjuran pelbagai pertubuhan tertentu, dengan menyentuh tentang pengalaman penjagaan, cabaran yang dilalui serta kekuatan yang dibina bersama.

Bagi mereka, perkongsian itu bukan sekadar tentang apa yang telah dilalui, tetapi juga untuk memberi harapan dan kekuatan kepada mereka yang mungkin sedang menghadapi keadaan serupa.

Seperti pasangan ibu dan anak yang lain, Encik Adam mengakui beliau dan Cik Tini juga tidak terlepas daripada bertengkar dan berbeza pendapat.

Namun, beliau berkata mereka terus belajar menyesuaikan diri dengan keadaan dan satu sama lain.

“Kata kuncinya ialah penerimaan. Menerima sesuatu keadaan bukan semudah mengucapkannya.

“Kita perlu menerima apa yang sedang berlaku, memahami proses yang perlu dilalui, dan akhirnya belajar menerimanya dengan sepenuh hati,” luah Encik Adam.