Demi memastikan kawasan ibadah kekal bersih dan jemaah dapat menunaikan solat dalam suasana selesa, Encik Muhammad Rohaizad menjalankan kerja pembersihan di dua masjid sebaik sahaja operasi penyembelihan korban tamat pada petang Aidiladha.

Ini bagi menghilangkan gangguan bau hanyir dan sisa darah yang mungkin masih berlarutan sebelum solat Jumaat bermula dua hari kemudian.

Namun bagi Encik Muhammad, 31 tahun, usaha tersebut bukan sesuatu yang dilihatnya sebagai sekadar pekerjaan, tetapi sebagai satu “amanah untuk masyarakat”.

Justeru, beliau membiayai kos sepenuhnya inisiatif itu melalui syarikat pembersihannya, M Clean SG, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Kami tahu bagaimana rasanya solat dalam keadaan kurang selesa, ada bau dan sebagainya. Jadi bagi kami, penting untuk memastikan masjid kembali bersih sebelum solat Jumaat,” ujar beliau.

Dengan hanya tiga orang dalam pasukannya, Encik Muhammad memulakan kerja pembersihan sekitar 5.30 petang di Masjid Tentera Diraja pada Hari Raya Haji yang jatuh pada 27 Mei.

Apa yang pada awalnya disangka sekadar kerja pembersihan bertukar menjadi tugas lebih berat apabila mereka turut perlu melakukan kerja ‘tear down’ iaitu menanggalkan struktur khemah dan membersihkan peralatan korban.

Menurut Encik Muhammad, kerja yang dijangka selesai lebih awal berlarutan hingga sekitar 10.30 malam.

Tanpa berlengah, mereka bergegas ke Masjid Omar Salmah dan menjalankan kerja pembersihan dari kira-kira 11 malam hingga 2 pagi keesokan hari.

Menggunakan mesin pencuci tekanan tinggi dan larutan enzim khas, Encik Muhammad dan pasukannya membersihkan kawasan yang terdedah kepada sisa organik seperti darah, serta menghapuskan bau yang boleh menjejaskan keselesaan jemaah.

“Larutan enzim ini penting sebab ia bukan sekadar menghilangkan bau, tetapi menghapuskan punca bau itu sendiri,” jelasnya.

Walaupun keletihan jelas terasa, Encik Muhammad berkata pengalaman itu memberi pasukannya kepuasan.

“Ia penat, tetapi sangat bermakna. Kami tahu apa yang kami buat ini untuk kebaikan masyarakat Melayu/Islam,” katanya.

Menurut Encik Muhammad, idea untuk membersih masjid tercetus selepas beliau menyedari terdapat jurang dalam pengurusan pembersihan pasca operasi korban.

Ketika mengunjung kedua-dua masjid sebelum menjalankan kerja pembersihan, beliau menerima maklum balas daripada jemaah dan syarikat pengendali korban, Aliyah Rizq Holdings, bahawa terdapat aduan tentang bau dan kebersihan selepas operasi korban tamat pada 2025.

“Ini mendorong pasukan saya untuk melakukan kerja pembersihan ini dengan betul untuk memastikan bau hanyir tidak akan mengganggu jemaah lagi,” terang beliau.

Menyentuh tentang penubuhan M Clean SG, Encik Muhammad berkata keputusan menceburi bidang pembersihan bukan sekadar soal kerjaya, tetapi juga pilihan hidup.

Selepas diberhentikan kerja sebagai jurutera luar pesisir pada 2025, beliau tidak tahu sama ada untuk mencari pekerjaan serupa dengan jadual yang tidak menentu, atau kekal di Singapura demi membesarkan keempat-empat anak kecilnya – tujuh tahun, lima tahun, tiga tahun, dan satu tahun.

Sebagai jurutera luar pesisir, Encik Muhammad bekerja di atas pelantar minyak dan sering kali perlu berangkat pada bila-bila masa.

Tambahnya, beliau tidak tahu bila beliau boleh pulang ke tanah air kerana ia bergantung kepada keputusan klien untuk melepaskannya.

“Saya sangat suka kerja saya dulu, tetapi saya lebih sayang anak-anak saya. Saya tidak mahu terlepas fasa mereka membesar.

“Kerja luar pesisir akan sentiasa ada, tetapi masa dengan anak-anak tidak boleh diganti,” kongsinya.

Menurut Encik Muhammad, M Clean SG, yang ditubuhkan pada Julai 2025, kini mempunyai tiga kakitangan sepenuh masa dan kira-kira 20 pekerja sepenuh masa dan bebas.

Klien utama beliau biasanya pemilik rumah dan golongan berkeluarga, tetapi baru-baru ini telah bermula untuk membersihkan masjid seperti Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Al-Amin, dan Masjid Mujahidin.