Sudah hampir tiga dekad tidak ketemu, namun ingatan Cik Siti Nuryana Zailani terhadap neneknya masih segar walaupun samar-samar.
Baru-baru ini, wanita berusia 39 tahun itu menghubungi Berita Harian (BH) dengan satu harapan – untuk bertemu semula neneknya, Cik Mariam Baba yang telah lama terputus hubungan daripadanya.
Kali terakhir Cik Nuryana yang bekerja sebagai pengurus dalam bidang pengurusan kemudahan, berjumpa dengan neneknya itu ialah ketika beliau berumur 11 tahun.
“Seingat saya, saya pernah berjumpa dengannya sekali atau dua kali semasa kecil. Beliau merupakan ibu kepada mama (ibu) saya, tetapi saya tidak tahu kenapa kami jarang berjumpa,” katanya kepada wartawan.
Menurutnya Cik Mariam lahir pada 4 Ogos 1950, berdasarkan butiran yang tertera pada surat beranak ibunya, Cik Noraini Mohamed.
Jika berdasarkan surat beranak tersebut, Cik Mariam sepatutnya kini berusia 75 tahun.
Pencarian menjadi lebih sukar sejak Disember lalu.
Sebabnya ibunya, Cik Noraini, meninggal dunia pada Disember 2024, manakala seorang makciknya, Cik Nor Hayati Mohamed, telah meninggal dunia pada usia 16 tahun dalam kemalangan jalan raya pada 1985.
“Yang saya tahu, mereka (Allahyarhamha Noraini dan Allahyarhamha Nor Hayati) hanya dua beradik. Tapi saya langsung tidak mempunyai maklumat tentang nenek saya atau latar belakangnya,” ujar anak sulung daripada lima beradik itu.
Setahu Cik Nuryana, nenek dan datuknya telah berpisah sejak umur ibunya tiga tahun, dan datuknya yang telah membesarkan dua beradik itu. Datuknya itu, Allahyarham Mohamed Atan meninggal dunia pada 19 April 2022.
Tambahnya, ada desas-desus daripada saudara-mara yang mengatakan pernah ternampak wanita menyerupai neneknya meminta sedekah di kawasan Geylang.
“Saya sudah meronda di Geylang beberapa kali dengan harapan dapat berjumpa dengannya, tapi masih belum jumpa. Saya tak tahu sama ada beliau masih berumah tangga lagi atau tidak,” luahnya.
Kerinduan terhadap neneknya semakin mendalam selepas beberapa anggota keluarganya yang lebih tua, mula meninggal dunia satu persatu.
“Arwah nenek sebelah bapa saya meninggal dunia pada 21 November 2023, sementara bapa saya pula meninggal pada 12 Oktober 2024.
“Selepas itu, ibu saya meninggal pada 20 Disember 2024. Jadi kami lima beradik telah kehilangan orang tersayang satu persatu…” katanya dengan nada sebak.
Lebih menyedihkan, Cik Nuryana tidak mempunyai sebarang gambar neneknya untuk dijadikan panduan mencari.
“Saya sudah cuba bertanya di rumah orang tua saya, tapi tak jumpa. Saya tidak pasti hendak cari beliau di mana lagi,” katanya.
Walaupun begitu, semangatnya tidak pernah luntur.
“Saya masih terus menjejak nenek saya itu. Kalau beliau masih hidup, saya betul-betul ingin berjumpa dengannya,” ujar Cik Nuryana yang kini ibu kepada tiga orang cahaya mata.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg