Dua ekor kucing didakwa ditinggalkan oleh pemiliknya, seorang warga Singapura, di sebuah hotel haiwan peliharaan di Johor selama lebih sebulan, menyebabkan bil penginapan tertunggak mencecah RM 3,108 ($978).

Pengusaha hotel haiwan tersebut, Camp Kitty, mendakwa pemilik berkenaan gagal mengambil semula kedua-dua kucingnya, Ashley dan Winter, meskipun beberapa kali dihubungi dan diberi peluang untuk menyelesaikan perkara itu.

“Kami telah menghabiskan lebih sebulan cuba menghubunginya, meminta bayaran dan mengatur pengambilan kucing-kucing tersebut,” tulis Camp Kitty menerusi satu hantaran di wadah Threads pada 21 November.

Camp Kitty ialah sebuah pusat penginapan dan penjagaan kucing yang terletak di Iskandar Puteri, Johor.

Menurut hantaran Camp Kitty, lelaki yang dikenal pasti sebagai Fahmi Anuar itu menghantar kedua-dua kucingnya ke pusat penginapan tersebut pada 13 Oktober.

Bagaimanapun, beliau didakwa gagal mengambil semula haiwan peliharaannya dan tidak memberikan maklum balas terhadap usaha pihak hotel untuk menghubunginya.

Camp Kitty berkata mereka diberitahu bapa lelaki tersebut agar menunggu sehingga anaknya pulang ke Malaysia.

Menurut hantaran yang sama, Camp Kitty menyatakan bahawa lelaki itu akhirnya memberikan maklum balas dan berkata beliau akan mengambil kedua-dua kucing tersebut pada 19 November, namun didakwa gagal hadir seperti dijanjikan.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Dalam tangkap layar perbualan WhatsApp yang dikongsi Camp Kitty, lelaki berkenaan memohon maaf atas tindakannya dan menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk mengabaikan Ashley dan Winter.

Beliau turut mendakwa telah menggunakan khidmat Camp Kitty sejak dua tahun lalu dan sedang berdepan beberapa masalah peribadi.

Camp Kitty berkata pihaknya terpaksa membawa perkara itu ke perhatian umum selepas usaha menyelesaikannya secara peribadi tidak membuahkan hasil.

Menerusi perbualan WhatsApp yang dikongsi Camp Kitty, pemilik Ashley dan Winter memohon maaf dan mendakwa tidak berniat mengabaikan kedua-dua kucingnya.
Menerusi perbualan WhatsApp yang dikongsi Camp Kitty, pemilik Ashley dan Winter memohon maaf dan mendakwa tidak berniat mengabaikan kedua-dua kucingnya. - Foto THREADS CAMP KITTY

Menurut pengusaha itu, pihaknya perlu terus menyediakan makanan, tempat tinggal, dan penjagaan harian kepada kedua-dua kucing tersebut meskipun bayaran penginapan masih tertunggak.

Camp Kitty juga berkata pihaknya telah membuat laporan polis dan mengemukakan aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Johor.

Bagaimanapun, menurut surat maklum balas DVS bertarikh 16 November yang dikongsi Camp Kitty, aduan tersebut tidak dapat diambil tindakan lanjut kerana perkara itu dianggap sebagai pertikaian antara pemilik hotel haiwan dengan pemilik haiwan, dan bukan kes di bawah Akta Kebajikan Haiwan.

Camp Kitty turut mendakwa telah mengemukakan aduan susulan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai keputusan tersebut.

Menurut mereka, pihak DVS kemudian menghubungi mereka dan memaklumkan bahawa kucing-kucing tersebut tidak ditinggalkan dalam keadaan yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

Camp Kitty berkata kejadian seumpama itu bukan kali pertama dihadapi mereka, malah mendakwa pengusaha penjagaan haiwan lain juga mengalami masalah serupa.

Surat maklum balas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Johor yang dikongsi Camp Kitty menyatakan bahawa aduan berhubung dua kucing yang tidak diambil pemiliknya tidak dapat diambil tindakan lanjut kerana dianggap sebagai pertikaian antara pengusaha hotel haiwan dengan pemilik haiwan.
Surat maklum balas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Johor yang dikongsi Camp Kitty menyatakan bahawa aduan berhubung dua kucing yang tidak diambil pemiliknya tidak dapat diambil tindakan lanjut kerana dianggap sebagai pertikaian antara pengusaha hotel haiwan dengan pemilik haiwan. - Foto THREADS CAMP KITTY

Menerusi ruangan komen hantaran berkenaan, pengguna Threads bernama ‘fahmihamiltonracing’ yang mengaku sebagai pemilik kedua-dua kucing tersebut tampil memohon maaf.

“Saya pemiliknya (kucing). Saya memohon maaf atas segala gangguan dan kesulitan yang telah saya timbulkan kepada Camp Kitty sejak 13 Oktober 2026.

“Saya mengakui kesilapan yang telah saya lakukan dan bertanggungjawab sepenuhnya atas segala tindakan saya.

“Setelah bayaran tertunggak diselesaikan, saya akan berusaha mencari keluarga angkat untuk dua kucing kesayangan saya, Ashley dan Winter,” tulisnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Camp Kitty kerana menjaga Ashley dan Winter, yang menurutnya telah mendapat penjagaan di pusat tersebut sejak Julai 2024.

Bagaimanapun, Camp Kitty membalas komen tersebut dengan mendakwa lelaki itu masih tidak memberikan maklum balas menerusi WhatsApp.

Camp Kitty menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjaga Ashley dan Winter kerana kedua-dua haiwan itu tidak bersalah dalam pertikaian tersebut.

Berita Harian (BH) telah menghubungi Camp Kitty dan pemilik kucing tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti