Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes abai kucing turun pada 2024

Sekitar 37,000 kucing peliharaan dilesen, lebih 95% dikembiri hingga hujung Jun
Aug 3, 2025 | 5:30 AM
Singapura, kucing, pengabaian kucing
Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), jumlah kes pengabaian kucing berkurang daripada 221 kes pada 2023, ke 125 kes pada 2024. - Foto fail

Walaupun terdapat peningkatan ketara dari tahun ke tahun dalam kes disyaki pengabaian kucing antara 2020 dengan 2023, jumlah tersebut berkurang secara mendadak pada 2024.

Terdapat 125 kes pada 2020; 150 kes pada 2021; 185 kes pada 2022; 221 kes pada 2023; dan 125 kes pada 2024.

Pada 2024 turut menyaksikan pelancaran Rangka Kerja Pengurusan Kucing (CMF) oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks).

Rangka kerja itu memperkenalkan langkah lebih ketat serta mempertingkat usaha pendidikan awam mengenai pemilikan dan penjagaan haiwan peliharaan secara bertanggungjawab.

Di bawah CMF, pemilik kucing perlu melesenkan kucing peliharaan mereka sebelum atau pada 31 Ogos 2026 bagi tujuan pengesanan serta untuk menjaga kesihatan dan kebajikan kucing.

Menurut Pengarah Kumpulan NParks bagi Penguatkuasaan dan Penyiasatan, Cik Jessica Kwok, sekitar 37,000 kucing peliharaan telah dilesenkan setakat hujung Jun 2025 di bawah CMF.

Lebih 95 peratus daripada mereka telah dikembiri.

Selain itu, lebih 7,000 kucing peliharaan telah dipasang mikrocip di lebih 30 sesi percuma yang diadakan di sekolah, pusat masyarakat, klinik veterinar, serta acara haiwan peliharaan berkaitan.

AVS turut memperkenalkan program Sokongan Kembiri Kucing Peliharaan (PCSS) pada 1 September 2024 bagi membantu keluarga berpendapatan rendah mengembiri dan memasang mikrocip pada kucing peliharaan mereka secara percuma.

Setakat ini, Cik Kwok berkata AVS telah menerima kira-kira 1,400 permohonan bagi program PCSS.

Dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), lebih 1,300 kucing peliharaan telah dikembiri dan dipasang mikrocip di bawah program PCSS.

Ini di samping lebih 270 kucing peliharaan yang dikembiri dan dipasang mikrocip semasa program perintis ‘Pet Cat Sterilisation Days’ kendalian AVS pada November 2023, Februari 2024 dan Mei 2024.

Menurut Cik Kwok, di samping mendekati orang awam menerusi media arus perdana bagi meningkatkan kesedaran mengenai CMF, AVS turut meluaskan pencapaiannya.

“AVS juga bekerjasama dengan pemimpin pendapat utama untuk menghasilkan kandungan yang membentangkan maklumat mengenai Rangka Kerja Pengurusan Kucing dalam format lebih mudah difahami dan mudah diakses, seperti TikTok dan Instagram.

“Pendekatan yang lebih menyasarkan kumpulan tertentu turut digunakan di estet perumahan yang dikenal pasti sebagai kawasan lebih terjejas (hotspot) dengan isu berkaitan kucing.

“Ini termasuk paparan digital di kolong blok, pelekat di lif, dan iklan di perhentian bas,” jelasnya.

Walaupun terdapat pelbagai inisiatif, Cik Kwok menjelaskan kepada Berita Minggu (BM) bahawa siasatan kes pengabaian kucing kekal mencabar.

Antara kesukaran termasuk kekurangan saksi, ketiadaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), serta masa yang diperlukan untuk meneliti bukti video.

“Cabaran biasa termasuk kekurangan saksi dan bukti langsung seperti CCTV, ketidakupayaan haiwan untuk bercakap bagi diri mereka sendiri, keperluan mendapatkan rakaman CCTV daripada sumber berbeza, dan proses yang memakan masa untuk menyemak rakaman tersebut dalam tempoh yang panjang,” jelas Cik Kwok.

Malah, beliau berkata tempoh untuk menyelesaikan siasatan adalah berbeza dan bergantung kepada kerumitan setiap kes.

Antara faktor termasuk bilangan pesalah, latar belakang pesalah, bilangan haiwan yang terlibat, dan sama ada terdapat bukti langsung.

“Secara amnya, proses siasatan bagi kes rumit boleh mengambil masa sehingga beberapa bulan, atau setahun atau lebih.

“Bagi kes yang dibawa ke mahkamah, tempohnya mungkin lebih lama, terutama jika pesalah memilih untuk dibicarakan,” ujar Cik Kwok.

Beliau berkata hampir 95 peratus laporan yang diterima tidak dapat disahkan kerana kekurangan maklumat yang kukuh.

Bagi kes yang disiasat dan didapati bersalah, pesalah boleh dikenakan denda sehingga $10,000, penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya.

Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh perlindungan dan kebajikan haiwan, NParks kini menyemak semula Akta Haiwan dan Burung, termasuk hukuman bagi kesalahan kekejaman terhadap haiwan.

Ini termasuk denda, tempoh penjara, serta hukuman yang menghalang individu daripada menguruskan syarikat.

“AVS mengambil pendekatan kerjasama bagi semakan ini dengan melibatkan pihak berkepentingan seperti kumpulan kebajikan haiwan, kedai haiwan peliharaan, doktor haiwan dan wakil lain daripada sektor haiwan peliharaan.

“Ini untuk memahami pandangan mereka serta mengumpul maklumat dan maklum balas sebagai sebahagian daripada proses tersebut.

“Ia sejajar dengan usaha berterusan kami untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan demi menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan,” tegas Cik Kwok.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya memainkan peranan aktif dengan melaporkan kes pengabaian atau kekejaman haiwan, dan mengemukakan butki seperti gambar atau video menerusi laman web NParks, atau menghubungi Pusat Tindak Balas Haiwan di talian 1800-476-1600.

“Menjadi pemilik haiwan peliharaan adalah satu komitmen seumur hidup, dan setiap pemilik perlu bertanggungjawab serta memberikan penjagaan yang sesuai kepada haiwan mereka.

“Pemilik haiwan diingatkan supaya memenuhi piawaian penjagaan haiwan, termasuk memastikan tempat perlindungan haiwan itu selamat dan menyediakan makanan serta air yang sesuai secara berkala,” pesannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg