Lebih 100 kucing jalanan kini ditempatkan dalam ruang yang hanya mampu menampung sekitar 50 ekor, lantas mewujudkan keadaan yang semakin sesak di sebuah tempat perlindungan di Johor Bahru.

Demikian suasana yang digambarkan warga Singapura, Cik Nur Amira Jumali, yang sedang berusaha memindahkan kesemua kucing itu ke lokasi baru sambil berdepan cabaran kewangan dan operasi harian.

Cik Amira, 34 tahun, yang sebelum ini aktif memberi makan dan memantau kesihatan kucing terbiar di Johor Bahru, berkata beliau kini berhenti menerima kucing baru buat sementara waktu bagi mengutamakan kebajikan haiwan sedia ada.

“Keadaan sesak itu bukan sahaja meningkatkan tekanan terhadap kucing, malah menambah risiko kesihatan dalam ruang yang sudah melebihi kapasiti asal,” terangnya.

Situasi tersebut mencerminkan cabaran lebih besar yang dihadapinya, iaitu bagaimana sebuah inisiatif sukarela yang bermula pada skala kecil kini berkembang menjadi operasi berskala besar tanpa sokongan stabil.

Tempat perlindungan itu dibina pada 2024 dengan kosnya dibiayai sepenuhnya oleh Cik Amira.

Beliau membelanjakan $7,000 untuk mendapatkan khidmat kontraktor bagi membina ruang tersebut.

Menurutnya, tempat perlindungan itu didirikan sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan pemilik hartanah yang akan membantu menjaga kucing tersebut.

Namun, keadaan berubah apabila Cik Amira, seorang kaunselor perkahwinan, terpaksa mengambil alih sepenuhnya operasi tempat perlindungan itu bagi memastikan kebajikan kucing terus terpelihara.

“Tempat perlindungan itu dibina di atas tanah orang lain dan saya pula menetap di Singapura, jadi apabila saya tidak boleh ke Johor Bahru, saya terpaksa mengupah orang untuk menjaga kucing-kucing itu,” ujarnya.

Disebabkan cabaran demikian, Cik Amira berhasrat memiliki tanah di Johor Bahru bagi membina sebuah tempat perlindungan yang lebih besar bagi kesemua kucing tersebut.

Namun, usaha itu turut berdepan kekangan undang-undang, kata beliau.

Menurutnya, warga asing yang ingin membeli hartanah di Johor Bahru mesti membelanjakan sekurang-kurangnya RM1 juta (kira-kira $322,500), sekali gus mengehadkan pilihan yang ada.

Berdasarkan laman web iProperty.com.my, harga minimum untuk pembeli asing adalah RM1 juta untuk bangunan tinggi, atau RM2 juta untuk tanah di zon antarabangsa yang ditetapkan.

“Pilihan alternatif ialah untuk saya membeli tanah di bawah nama warga Malaysia tetapi ini bermakna saya tidak mempunyai hak atas tanah itu,” jelas Cik Amira.

Pemilikan tanah di bawah nama sendiri juga memudahkan sukarelawan dan bakal pemilik kucing untuk mengunjungi tempat perlindungan baru itu dengan lebih mudah tanpa kehadirannya, tambahnya.

Namun, Cik Amira berkata langkah itu memerlukan bayaran pendahuluan antara 10 dengan 30 peratus daripada nilai hartanah, yang menjadi cabaran besar dari segi kewangan.

Beliau berkata kos operasi untuk tempat perlindungan yang ada sekarang telah meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, perbelanjaan bukan sahaja untuk makanan kucing, malah untuk rawatan, pembersihan dan penjagaan harian secara tekal.

“Perbelanjaan bulanan sebelum ini, iaitu antara $1,000 dengan $2,000 kini melonjak, dengan kos mencecah lebih $8,500 pada Mac lalu (2026) sahaja disebabkan kos rawatan doktor haiwan.

“Secara keseluruhan, saya menganggarkan telah mengeluarkan sekitar $10,000 daripada simpanan sendiri antara Januari dengan Mac 2026 untuk menampung keperluan kucing-kucing,” kata beliau.

Bagi menampung kos serta mengumpul dana untuk tempat perlindungan baru, Cik Amira melancarkan sebuah perniagaan dalam talian pada Disember 2025 dipanggil ‘SupermarCat’ yang menjual barangan keperluan kucing, dengan semua keuntungan disalurkan kepada usaha tersebut.

Perniagaan itu, menurut beliau, mendapatkan bekalan produk langsung daripada pembekalnya sendiri dan menumpukan kepada penjualan pelbagai jenama sedia ada seperti makanan kering dan basah untuk kucing.

“Namun begitu, hasil jualan daripada ‘SupermarCat’ masih belum mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kos bayaran pendahuluan untuk pembelian tanah,” luahnya.

Di samping itu, beliau turut mengambil langkah memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan bagi membina kepercayaan orang ramai yang telah menderma kepadanya dan membeli daripada ‘SupermarCat’.

Menurut Cik Amira, beliau menggunakan akaun bank khas untuk dana berkaitan kucing serta menyediakan rekod perbelanjaan dan sumbangan yang boleh diakses umum dalam bentuk dokumen hamparan ‘Excel’ atau ‘spreadsheet’.

Beliau juga memuat naik video rutin harian seperti memberi makan dan membersihkan tempat perlindungan di media sosial sebagai usaha menunjukkan hakikat sebenar pengurusan haiwan terbiar.

Cik Amira akur usaha mencari lokasi baru bukan sesuatu yang mudah dan ia memerlukan masa serta perancangan rapi.

“Saya harap lebih ramai orang faham bahawa menjaga kucing jalanan bukan sekadar beri makan, tetapi memerlukan komitmen jangka panjang,” kongsi beliau.

Perbelanjaan bulanan sebelum ini, iaitu antara $1,000 dengan $2,000 kini melonjak, dengan kos mencecah lebih $8,500 pada Mac lalu (2026) sahaja disebabkan kos rawatan doktor haiwan. Secara keseluruhan, saya menganggarkan telah mengeluarkan sekitar $10,000 daripada simpanan sendiri antara Januari dengan Mac 2026 untuk menampung keperluan kucing-kucing.
Cik Nur Amira Jumali, kaunselor perkahwinan yang turut menempatkan dan menjaga kucing jalanan.