Seawal usia enam tahun, Ustazah Aliah Husna Khamsani sudah terbiasa menemani abang, kakak, dan ayahnya bergegas ke Masjid Sultan selepas sekolah untuk menghadiri kelas taranum (melafazkan ayat Al-Quran secara berlagu).

Kadangkala, beliau turut menyertai mereka berlatih taranum dalam kelas tersebut.

Kini, hampir dua dekad kemudian, minat yang dipupuk sejak kecil itu membuahkan hasil apabila Ustazah Aliah, 25 tahun, muncul juara Tilawah Dewasa kategori Qariah di pertandingan Majlis Tilawah, Tahfiz & Tadabbur Al-Quran (MTTTQ) 2026, anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Menurutnya, ia pertandingan yang bermakna kerana beliau melalui pengalaman tersebut bersama tiga daripada tujuh adik-beradiknya – Ustaz Muhammad Tirmizi Khamsani, Ustazah Nurul Huda Khamsani, dan Ustazah Nurul ‘Izzah Khamsani.

Walaupun bertanding dalam pertandingan sama, Ustazah Aliah berkata persaingan antara mereka tidak pernah menjejaskan hubungan adik-beradik, malah menjadi pendorong untuk masing-masing memberikan yang terbaik.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), beliau berkata:

“Sejujurnya, saya rasa sangat seronok dapat bertanding dengan adik-beradik saya kerana kami dapat melaluinya bersama.

“Dengan adanya mereka di sisi saya, kami juga memberi semangat kepada satu sama lain sebelum menjejakkan kaki ke atas pentas.”

Acara penyampaian hadiah MTTTQ berlangsung di D’Marquee, Downtown East pada 16 Ogos.

Pertandingan yang memasuki tahun ke-58 penganjurannya itu bertujuan menggalakkan minat masyarakat setempat terhadap pembelajaran Al-Quran.

“Ini adalah satu pertandingan sihat buat keluarga saya kerana apabila saya mendengar kakak atau abang saya membaca, saya juga terdorong untuk memberikan yang terbaik.

“Pada akhir pertandingan ini, kami tetap saling menyokong dan meraikan kejayaan masing-masing,” tambah Ustazah Aliah, yang juga merupakan guru Al-Quran di pusat pengajian Al-Quran swasta, Majiidah Training Centre.

Bagi Ustazah Aliah Husna Khamsani, peluang bertanding bersama adik-beradiknya merupakan pengalaman yang menyeronokkan kerana mereka dapat saling memberi semangat.
Bagi Ustazah Aliah Husna Khamsani, peluang bertanding bersama adik-beradiknya merupakan pengalaman yang menyeronokkan kerana mereka dapat saling memberi semangat. - Foto ihsan ALIAH HUSNA KHAMSANI

Sebagai juara Tilawah Dewasa kategori Qariah, Ustazah Aliah bakal mewakili Singapura dalam pertandingan Al-Quran antarabangsa di Malaysia pada 2027.

“Alhamdulillah dan syukur atas pemberian ini. Namun, ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar kerana saya bukan sahaja membawa nama sendiri, malah nama negara juga,” kongsinya.

Walaupun sudah menyertai pertandingan Al-Quran sejak berusia enam tahun, MTTTQ 20226 merupakan pertandingan pertama yang disertainya sejak menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Kahirah, Mesir.

Disebabkan sudah lama tidak bertanding, Ustazah Aliah akur beliau bekerja lebih keras untuk kembali mengasah kemahiran taranumnya.

Ustazah Aliah Husna Khamsani semasa satu pertandingan pembacaan Al-Quran pada 2010.
Ustazah Aliah Husna Khamsani semasa satu pertandingan pembacaan Al-Quran pada 2010. - Foto ihsan ALIAH HUSNA KHAMSANI

Dalam membuat persiapan, Ustazah Aliah berkata beliau banyak mendapatkan nasihat dan bantuan daripada abang, kakak, serta abang iparnya untuk memperhalusi pembacaannya.

“Keluarga saya merupakan sistem sokongan saya yang paling kuat dalam medan tilawah ini.

“Adik-beradik saya banyak memberikan dorongan, manakala ibu bapa kami juga telah banyak berkorban dalam membantu mengasah kemahiran kami,” jelasnya.

Menjelang pertandingan di Malaysia pada 2027, Ustazah Aliah berkata beliau akan terus giat berlatih untuk mempertingkatkan mutu pembacaannya demi mengharumkan nama negara.

“Saya rasa banyak lagi yang boleh saya memperbaiki dari segi suara, penghayatan, dan taranum,” tambahnya.