Bagi Cik Fadhliyah Abdul Latiff, usaha mengubah suai kedai gunting rambut milik bapanya di Toa Payoh bukan sekadar untuk memberikan ruang itu wajah baharu.

Sebaliknya, ia bertujuan memastikan perniagaan keluarga yang telah bertapak selama 65 tahun itu terus bertahan dan berkembang, meskipun ibu bapanya tidak lagi menguruskannya.

Terceruk di hujung deretan rumah kedai di Lorong 4 Toa Payoh, Kedai Gunting Rambut Abu Nawas, atau lebih mesra dikenali pelanggan setia sebagai ‘Bugs Bunny Barbershop’, dibuka semula pada 22 Ogos selepas menjalani kerja pengubahsuaian selama sebulan.

Cik Fadhliyah, 48 tahun, bersama tiga adik-beradiknya mula mengambil alih pengurusan kedai itu sekitar 2016 apabila ibu bapa mereka, Encik Abdul Latiff Mohd Fahmi, 89 tahun, dan Cik Fatimah Rohani, 79 tahun, semakin berusia.

Adik-beradiknya ialah Cik Fathiyah Abdul Latiff, 58 tahun; Encik Hasbullah Abdul Latiff, 57 tahun; dan Encik Mohammed Abdul Latiff, 54 tahun.

Malah, beberapa anak saudara Cik Fadhliyah juga telah berjinak dalam perniagaan keluarga itu dengan membantu dari segi pemasaran dan pengurusan kewangan.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Fadhliyah, berkata meskipun beliau serta adik-beradiknya mempunyai pekerjaan sepenuh masa masing-masing, mereka berkongsi matlamat untuk memelihara warisan perniagaan tersebut.

Sehubungan itu, mereka memperkenalkan beberapa pembaharuan, termasuk perabot baharu dan kafe mesin layan diri yang beroperasi 24 jam, untuk menyegarkan semula suasana kedai gunting itu.

Menurut Cik Fadhliyah, meskipun kedai itu kini berwajah lebih moden, keluarganya tetap berpegang teguh pada sejarah dan warisannya.

“Sejak kami beroperasi di Geylang pada 1961, kedai kami merupakan tempat untuk orang ramai berkumpul, berborak, dan meluangkan masa. Tetapi setelah kami berpindah ke Toa Payoh, kami jarang lihat perkara itu.

“Dengan kafe ini, kami berharap pelanggan dan penduduk kawasan ini dapat berkumpul lagi seperti dahulu,” terang beliau, yang bertugas sebagai pengurus komunikasi pasaran di pusat penjagaan kanak-kanak.

Beliau berharap kafe itu dapat menghidupkan semula peranan kedai gunting tersebut sebagai ruang sosial dan tempat pertemuan, seperti suatu ketika dahulu.

Cik Fadhliyah berharap kafe baharu di kedai gunting itu dapat dijadikan ruang sosial untuk orang ramai berkumpul dan berinteraksi.
Cik Fadhliyah berharap kafe baharu di kedai gunting itu dapat dijadikan ruang sosial untuk orang ramai berkumpul dan berinteraksi. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selain memperkenalkan kemudahan baharu, keluarga itu turut berusaha mengekalkan unsur warisan yang menjadi identiti kedai berkenaan.

Antaranya ialah lukisan watak kartun Bugs Bunny yang dilukis oleh seorang pelanggan pada panel tingkap kedai lama mereka di Geylang.

Menurut Cik Fadhliyah, lukisan itu menyebabkan pelanggan mula menggelarkan kedai ayahnya sebagai Bugs Bunny, nama yang kekal sinonim dengan perniagaan tersebut hingga hari ini.

Oleh itu, beliau dan adik-beradiknya memutuskan untuk mengekalkan lukisan berkenaan sebagai penghargaan terhadap gelaran yang diberikan masyarakat.

Cik Fadhliyah (dua dari kanan) bersama adik-beradiknya di hadapan lukisan watak kartun Bugs Bunny yang dikekalkan sebagai sebahagian daripada warisan kedai gunting rambut keluarga mereka.
Cik Fadhliyah (dua dari kanan) bersama adik-beradiknya di hadapan lukisan watak kartun Bugs Bunny yang dikekalkan sebagai sebahagian daripada warisan kedai gunting rambut keluarga mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mengimbas sejarah perniagaan itu, Cik Fadhliyah berkata bapanya memulakan kedai gunting rambut tersebut di kaki lima Geylang pada 1961 dengan hanya beberapa keping papan asbestos, tiga kerusi dan sekeping cermin.

Untuk menyediakan ruang yang lebih selesa untuk pelanggan, kedai itu berpindah ke bangunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) di Paya Lebar pada 1964, sebelum berpindah sekali lagi ke premisnya sekarang di Toa Payoh pada 1971.

Cik Fadhliyah berharap pembaharuan di kedai tersebut dapat menarik pelanggan muda dengan pelbagai cita rasa, serta penduduk baharu dari perumahan kondominium yang sedang dibina di belakang kedai tersebut.

“Sekarang, cita rasa gaya rambut juga sudah berubah jadi kami juga mendapatkan beberapa tukang gunting rambut muda yang mungkin lebih peka dengan arah aliran terkini.

“Kami juga berharap reka bentuk baharu yang lebih moden dapat menarik lebih ramai pelanggan,” kongsi beliau.

Menyingkap tentang harapannya untuk perniagaan ayahnya, Cik Fadhliyah berharap usaha keluarganya dapat memastikan perniagaan yang diasaskan bapanya itu terus diwarisi generasi akan datang.

“Saya rasa sayang jika kedai itu tidak lagi beroperasi jika saya tiada lagi satu hari nanti,” kata beliau.