Suatu ketika dahulu, laut bagi Encik Muhammad Azhar Kamar hanyalah tempat untuk mengejar ombak.

Sebagai seseorang yang gemar meluncur ombak, beliau sering kali melakukannya bersendirian atau bersama rakan.

Namun sekitar 2025, Encik Azhar, 40 tahun, menemui hobi baharu yang mengubah cara beliau menikmati masa lapang, iaitu memancing.

Bezanya kali ini, pensyarah kanan di Politeknik Republic itu akan turun ke laut bersama keluarganya, terutama sekali isterinya dan kedua-dua anak kecilnya.

“Bila semakin berusia, saya rasa saya mahu lebih rapat dengan keluarga dan berkongsi perkara yang menggembirakan saya dengan orang yang paling saya sayang.

“Sebelum ini, kebanyakan hobi saya dibuat dengan kawan-kawan, bermakna isteri dan anak-anak tidak terlibat.

“Jadi saya rasa memancing adalah kegiatan yang paling sesuai untuk dilakukan bersama keluarga,” jelasnya.

Encik Azhar sekeluarga kerap pergi memancing dan memburu ketam hampir setiap minggu pada waktu malam selepas waktu sekolah, atau pada waktu pagi semasa cuti sekolah.
Encik Azhar sekeluarga kerap pergi memancing dan memburu ketam hampir setiap minggu pada waktu malam selepas waktu sekolah, atau pada waktu pagi semasa cuti sekolah. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL MD FAIZAL

Kini, hampir setiap minggu, Encik Azhar akan membawa isterinya, Cik Riyanna Mohamed Sadali, 41 tahun, serta dua anak mereka – Adam Muhammad Azhar, sembilan tahun, dan Maryam Muhammad Azhar, lima tahun – ke lokasi memancing serata Singapura.

Antara tempat yang pernah mereka kunjungi termasuk Punggol Northshore, Pantai Changi, Taman Labrador, dan beberapa jeti lain.

Bagi Encik Azhar, tarikan memancing bukan semata-mata tentang hasil tangkapan, tetapi kepada pengalaman yang tercipta sepanjang proses menunggu.

Menurutnya, kanak-kanak bebas berlari, bermain, dan menunggu dengan penuh debaran jika joran mula bergoyang dan melentur.

Menurut Encik Azhar, masa yang diluangkan bersama anak-anaknya, Maryam dan Adam (tidak dalam gambar), ketika memancing membantu mengeratkan hubungan mereka sekeluarga.
Menurut Encik Azhar, masa yang diluangkan bersama anak-anaknya, Maryam dan Adam (tidak dalam gambar), ketika memancing membantu mengeratkan hubungan mereka sekeluarga. - Foto ihsan MUHAMMAD AZHAR KAMAR

“Apabila ikan mula ‘mengena’, kedua-dua anak saya akan teruja. Mereka selalu cakap mereka nak menggulung kekili dan ‘melawan’ ikan.

“Kalau saiz ikan sesuai dan selamat untuk mereka, saya akan beri mereka peluang menggulung kekili dan rasakan sendiri tarikan ikan itu.

“Sebab bagi saya, perasaan ‘melawan’ ikan itulah yang buat saya terus jatuh cinta dengan memancing,” katanya sambil tertawa.

Isteri Encik Azhar, Cik Riyanna, berjaya menangkap seekor ikan siakap merah (Mangrove Jack) baru-baru ini ketika mereka sekeluarga melancong ke Port Dickson, Malaysia.
Isteri Encik Azhar, Cik Riyanna, berjaya menangkap seekor ikan siakap merah (Mangrove Jack) baru-baru ini ketika mereka sekeluarga melancong ke Port Dickson, Malaysia. - Foto MUHAMMAD AZHAR KAMAR

Menurut Encik Azhar, hasil tangkapan yang dibawa pulang akan dimasak dan dinikmati bersama keluarga di rumah.

Antara ikan yang mereka pernah tangkap adalah ikan duri, ikan gerut, ikan kaci, ikan tamban, dan ikan pari.

Baru-baru ini, Encik Azhar dan keluarganya melancong ke Port Dickson, Malaysia, dan berjaya menangkap ikan siakap merah (Mangrove Jack) dan ikan tudung periuk (sickle fish).

Hasil tangkapan akan dimasak Cik Riyanna dan dinikmati mereka sekeluarga. Di kiri ialah hidangan Ikan Siakap Merah Tiga Rasa, dan di kanan ialah hidangan Ikan Tudung Periuk Masak Lemak.
Hasil tangkapan akan dimasak Cik Riyanna dan dinikmati mereka sekeluarga. Di kiri ialah hidangan Ikan Siakap Merah Tiga Rasa, dan di kanan ialah hidangan Ikan Tudung Periuk Masak Lemak. - Foto MUHAMMAD AZHAR KAMAR

Anak sulungnya, Adam, pula turut mempunyai minat tersendiri iaitu untuk memburu ketam.

Di kawasan berbatu seperti Punggol Northshore, beliau berkata Adam akan membawa penyepit dan berjalan bersama sepupunya ketika air surut untuk mencari ketam kecil yang bersembunyi di celah batu.

Tambahnya, mereka turut menggunakan perangkap ketam yang diletakkan berhampiran kawasan berbatu dan dibiarkan selama beberapa jam.

Selain memancing, anak Encik Azhar, Adam, gemar memburu ketam terutamanya di Punggol Northshore.
Selain memancing, anak Encik Azhar, Adam, gemar memburu ketam terutamanya di Punggol Northshore. - Foto MUHAMMAD AZHAR KAMAR

Walaupun kelihatan santai, Encik Azhar berkata memancing sebenarnya jauh lebih teknikal daripada yang disangka.

“Selain mempelajari jenis ikatan tali dan teknik menggunakan peralatan, seseorang pemancing juga perlu memahami perubahan pasang surut, arah arus, keadaan cuaca, dan masa ikan aktif mencari makan.

“Saya sendiri banyak belajar daripada abang dan sepupu saya yang sudah memancing lebih 20 tahun, dan juga menambah ilmu melalui video dalam talian seperti di YouTube,” ujarnya.

Namun, daripada semua perkara yang dipelajari, Encik Azhar berkata pelajaran paling penting yang ingin beliau tinggalkan kepada anak-anaknya bukanlah cara menangkap ikan.

Malah, beliau menekankan bahawa hasil yang baik memerlukan kesabaran, ilmu dan usaha, “sama ada di hujung joran mahupun dalam kehidupan.”

Selain nilai kesabaran, Encik Azhar (kanan) berkata memancing mengajar anak-anaknya tentang kemahiran motor dan alam sekitar seperti fasa bulan dan perubahan pasang surut air.
Selain nilai kesabaran, Encik Azhar (kanan) berkata memancing mengajar anak-anaknya tentang kemahiran motor dan alam sekitar seperti fasa bulan dan perubahan pasang surut air. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL MD FAIZAL

“Orang selalu cakap memancing mengajar kita tentang kesabaran dan saya setuju.

“Tetapi saya rasa ia juga ajar kita bahawa kalau kita minat sesuatu, kita perlu belajar bersungguh-sungguh dan berusaha untuk jadi lebih baik, bukan setakat berharap dapat hasil,” tegasnya.

Sepertimana pemancing tidak boleh terus melontar umpan di tempat sama dan mengharapkan ikan datang, Encik Azhar berkata kehidupan juga menuntut seseorang untuk terus belajar dan menyesuaikan diri.

“Kalau tidak dapat ikan, kita perlu fikir semula… mungkin tempat salah, masa salah, cara salah. Kadang-kadang dalam hidup pun macam itu,” nasihatnya.