Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kaki pancing teroka perairan luar negara untuk pengalaman pancing lebih ‘epik’

Permintaan untuk pancing di luar negara termasuk memancing ikan ‘gergasi’ sebagai sukan kian meningkat, kata syarikat penyedia khidmat dan kumpulan pancing
Aug 18, 2024 | 5:30 AM
Encik Dennis Tan bergambar dengan Tuna Sirip Kuning atau ‘Yellowfin Tuna’ yang ditangkapnya di perairan Maldives.
Encik Dennis Tan bergambar dengan Tuna Sirip Kuning atau ‘Yellowfin Tuna’ yang ditangkapnya di perairan Maldives. - Foto PURE PASSION FISHING ADVENTURE

Memancing sebagai kegiatan riadah pada awalnya merupakan kegiatan santai dengan seseorang mengait atau memasang umpan hidup, menghayun dan melontarkannya ke laut, dan menunggu sehingga seekor ikan ‘mengena’.

Namun saban tahun, kegiatan tersebut telah berubah dengan lebih ramai melakukan kegiatan itu sebagai satu bentuk sukan untuk ‘menangkap’ ikan bersaiz besar, didorong keinginan memecah rekod hasil tangkapan sendiri.

Didorong keseronokan itu, ramai warga Singapura ‘menyerantau’ keluar daripada sempadan perairan Singapura demi mencari pelbagai jenis ikan yang tidak boleh didapati di sini.

Berkongsi pemerhatiannya, Encik Dennis Tan, 45 tahun, yang memulakan kumpulan Facebook bagi penggemar pancing Pure Passion Fishing Adventure (PPFA), berkata terdapat ‘kegilaan memancing’ dalam kalangan warga Singapura pascapandemik.

Malah, terdapat lonjakan sebanyak 40 peratus dalam kalangan warga Singapura yang menempah perjalanan memancing ke luar negara berbanding sebelum Covid-19, katanya, dengan beberapa wisata popular mereka ditempah penuh sehingga 2026.

PPFA menganjurkan perjalanan memancing luar negara yang dikendalikan syarikat perkhidmatan perjalanan dan pengangkutan.

Berkongsi pemerhatian serupa, Cik Celine Kho, Pengurus Operasi syarikat Singapore Fishing Charter, berkata:

“Lebih ramai warga Singapura ke luar negara untuk memancing kerana terdapat permintaan ke luar negara yang terpendam sewaktu tahun-tahun Covid-19, antara 2020 dengan 2022.

“Juga, kini dengan dolar Singapura yang kukuh, ramai warga Singapura ingin ke luar negara bagi tujuan memancing.”

Singapore Fishing Charter menyediakan khidmat bot dan pemandu untuk membawa penggiat pancing memancing di perairan Singapura dan di luar negara.

Encik Tan turut mengaitkan trend ini kepada media sosial yang telah menjadikan kegiatan memancing di perairan dalam untuk mendapatkan ikan bersaiz besar tular, dengan pemancing rajin berkongsi pengembaraan dan hasil tangkapan epik mereka.

Beliau akur bahawa wisata memancing yang dianjurkan syarikat atau kumpulan memancing semakin popular kerana penggemar kegiatan ini boleh berkumpul dengan kaki pancing lain sambil dipandu pemancing berpengalaman.

“Perjalanan carter sebegini sesuai bagi mereka yang sendirian, yang ingin memancing tetapi tidak ada kumpulan. Ia juga bagi mereka yang sangat baru kepada kegiatan ini, ingin memancing tetapi tidak tahu bagaimana,” ujarnya.

PPFA menganjurkan perjalanan ke luar negara seperti Malaysia, Australia dan Maldives dengan harga dari sekitar $200 hingga $3,000, bergantung kepada destinasi dan tidak termasuk harga tiket penerbangan.

Encik Dennis Tan menangkap ikan kerapu Queensland di West Papua, Indonesia.
Encik Dennis Tan menangkap ikan kerapu Queensland di West Papua, Indonesia. - Foto PURE PASSION FISHING ADVENTURE

Menyentuh tentang memancing sebagai sukan, Encik Tan menambah bahawa ia lebih sesuai bagi mereka yang sudah handal.

“Ikan yang ditangkap sewaktu peraduan pancing selalunya tidak sedap untuk dimakan, jadi orang ramai tangkap untuk mencatatkan saiznya dan kemudian lepaskan... Ia tidak mudah cari ikan bersaiz besar dalam rantau kita, jadi perlu pergi lebih jauh seperti Malaysia, Maldives, Australia di mana ikan seberat 40-50 kilogram lebih mudah ditangkap,” ujarnya memberi contoh ikan travelly gergasi dan amberjack.

PECUTAN ADRENALIN ‘TARUNG’ IKAN BESAR DI PERAIRAN ASING

Encik Nazri Mahat bergambar dengan ikan ‘trevally’ gergasi atau ‘giant trevally’ di Sumbawa, Indonesia.
Encik Nazri Mahat bergambar dengan ikan ‘trevally’ gergasi atau ‘giant trevally’ di Sumbawa, Indonesia. - Foto ihsan NAZRI MAHAT

Antara yang sanggup ke luar negara demi mencabar diri untuk menangkap ikan yang lebih pelbagai ialah Encik Nazri Mahat, 51 tahun.

Ditanya apa yang mendorong keinginan tersebut, Encik Nazri berkata ia adalah “pecutan adrenalin” yang dirasakannya semasa ‘bertarung’ dengan ikan yang mengena umpannya.

Beliau, yang sudah biasa memancing sejak muda dan bermula di pantai dan sungai Singapura, akui bahawa perairan sekitar Singapura cukup baik buat pemancing tetapi keadaan sudah banyak berubah.

“Di perairan Singapura sebenarnya banyak ikan seperti ikan pari, jenahak, kerapu dan unga, tetapi disebabkan pencemaran bunyi dan bising yang selalunya datang dari kapal-kapal yang melalui perairan Singapura, ia menjejas ikan di sini. Ikan sekadar singgah dan tidak ‘duduk lama’ di perairan Singapura,” ujarnya yang bekerja menyelenggara kekili pancing.

Encik Nazri mula memancing di perairan luar negara lebih sedekad lalu dan telah berkunjung ke Bintan, Batam, Tanjung Pinang dan Lombok di Indonesia, selain Sarawak di Malaysia antara lain.

Encik Nazri Mahat bergambar dengan ikan kakap jenis ruby di Sumbawa, Indonesia.
Encik Nazri Mahat bergambar dengan ikan kakap jenis ruby di Sumbawa, Indonesia. - Foto ihsan NAZRI MAHAT

Apabila ditanya sama ada memancing adalah kegiatan yang mahal, bapa lima anak itu berkata ia bergantung kepada jenis ikan apa yang ingin ditangkap dan pengalaman pemancing itu.

Jika sekadar memancing pakai tali kail (handline), perkakasnya hanya sekitar $20 tetapi bagi perkakas peringkat lanjutan, ia boleh menelan perbelanjaan sehingga $4,000.

Untuk mengail ikan yang berpuluh kilo beratnya, perkakas yang lebih mahal diperlukan bagi menahan kekuatan ikan meronta setelah mengena umpan.

Antara ikan terberat yang pernah ditangkapnya ialah shovelnose ray – jenis ikan yang kelihatan seperti ikan pari dan ikan yu di Tanjung Pinang, Indonesia, tahun lalu.

“Tak larat nak tarik seorang diri! Kami gotong-royong lawan ikan itu... ia meronta dengan kuat dan seberat lebih 100 kilogram. Agak bahaya tarung ikan sebegini,” ujarnya yang kerap sewa bot di luar negara secara berkumpulan dengan rakan-rakannya yang juga kaki pancing.

Berkongsi nasihat, beliau berkata: “Tak kira mana negara pun, walau di laut Singapura, memancing datang dengan risikonya kerana kita bukanlah orang laut. Kita orang darat yang mengembara jauh ke laut demi memancing ikan.

“Pastikan bot yang diambil anda itu selamat digunakan dan sentiasa pastikan anda simpan jaket keselamatan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg