Memancing di luar negara bukan sahaja membolehkannya menangkap pelbagai jenis ikan tetapi juga menikmati pemandangan yang pelbagai.
Encik Mohammad Nordin Kasmuri, penggemar memancing menggunakan kayak, telah mengembara ke beberapa negara termasuk China, Thailand dan Malaysia untuk merasai pengalaman memancing yang pelbagai.
Beliau merupakan pengasas syarikat memancing kayak di Singapura yang dipanggil Fish On yang membimbing orang ramai dalam memancing menggunakan kayak.
Encik Nordin, 39 tahun, percaya bahawa aktiviti itu menawarkan pengalaman unik, berbeza dengan cara tradisional memancing kerana ia membuka peluang memancing di samping menikmati keindahan alam semula jadi.
“Memancing menggunakan kayak ini memberi saya peluang untuk menikmati alam.
“Bila kita ke luar negara, kita juga dapat menikmati pemandangan di tempat lain. Memancing bukan sahaja tentang menangkap ikan tetapi juga peluang untuk menikmati pemandangan,” ujar Encik Nordin yang sudah berkecimpung dengan memancing menggunakan kayak sejak 2008.
Beliau sebelum ini bertugas dalam industri marin dan beliau akan mengambil peluang mengembara semasa bertugas untuk memancing di pelbagai negara.
“Paling jauh yang saya pernah memancing ialah di Manchester (England) sewaktu saya menghadiri latihan marin di sana sekitar 2009.
“Saya akan membawa sekali peralatan memancing saya ketika berada di luar negara dan mengambil peluang untuk memancing jika ada kesempatan,” tambah bapa empat anak itu.
Disebabkan beliau kini sudah berkeluarga, beliau semakin jarang meneroka negara yang lebih jauh.
Antara beberapa tempat lain yang pernah dilawatinya untuk tujuan memancing ialah Shenzhen (China), Johor, Sarawak dan Terengganu (Malaysia), Bangkok (Thailand), Batam (Indonesia) dan Subic (Filipina).
Menurutnya, memancing di luar negara dapat memberinya kepuasan menangkap ikan yang selalunya sukar ditemui di perairan di Singapura.
Walau begitu, beliau tetap seronok setiap kali memancing di Singapura. Baginya, ia lebih selesa dan mudah kerana beliau mempunyai segala peralatan yang diperlukan di sini.
“Bila saya dapat menangkap ikan yang unik di Singapura, ia memberi kepuasan kerana saya dapat menunjukkan bahawa Singapura juga mempunyai ikan yang pelbagai.
Ikan terbesar yang beliau pernah tangkap juga semasa memancing di tanah air – seekor kerapu seberat sekitar 20 kilogram.
Walaupun menghadapi cabaran seperti hujan petir dan angin kencang, semangatnya memancing tidak pernah luntur. Sejak 2021, beliau komited untuk menikmati hobinya dan mempromosikan kegiatan ini di Singapura.
Syarikat Fish On, yang ditubuhkan pada Disember 2021, menawarkan aktiviti memancing menggunakan kayak dan ia terbuka kepada semua – mereka yang mempunyai pengalaman memancing ataupun tidak.
Beliau juga telah memasuki pelbagai pertandingan memancing di Singapura dan Malaysia.
Antara pertandingan yang pernah dimenangi beliau ialah pertandingan memancing menggunakan kayak di Singapura pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg