Minat terhadap filem dan lagu Melayu klasik bukan sekadar menjadi hobi buat pengantin baharu, Encik Muhammad Yusoff Mohd Rasid dan Cik Tara Nizam Kamarraj.

Sebaliknya, karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi ilham di sebalik video praperkahwinan mereka yang mencuri perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.

Video tersebut, yang dimuat naik di akaun media sosial Encik Yusoff, mempunyai lebih 20,000 tontonan di Instagram dan kira-kira 17,000 tontonan di TikTok.

Encik Yusoff, yang dikenali sebagai pempengaruh yang memartabatkan keindahan bahasa Melayu dalam lakonan sketsanya, berkata beliau dan Cik Tara sememangnya meminati filem serta lagu Melayu lama, khususnya karya legenda seni arwah P. Ramlee.

Encik Yusoff, 30 tahun, dan Cik Tara, 24 tahun, diijabkabulkan pada 10 Julai di National Service Resort & Country Club (NSRCC), sebelum mengadakan majlis persandingan pada keesokan harinya.

Mengulas tentang inspirasi video praperkahwinan itu, Encik Yusoff, yang kini bernaung di bawah syarikat media, HELPMIL Media Group, berkata mereka mahu menghidupkan semula suasana romantik yang sinonim dengan filem Melayu klasik, namun dalam latar Singapura moden.

“Dari segi suasana, kami mahu menghidupkan semula sifat mengusik, manja, dan bersahaja yang sering dipaparkan dalam babak romantik filem Melayu klasik.

“Kami menggunakan lagu Getaran Jiwa sebagai lagu latar, selain menampilkan pakaian klasik dan gaya songkok senget.

“Itulah konsep yang kami berikan kepada rakan saya yang juga penerbit video, Taufiq Amaran, dan beliau berjaya menghidupkan idea itu dengan baik,” jelasnya kepada Berita Harian (BH).

Namun, Encik Yusoff berkata video itu bukan sekadar penghormatan kepada karya Allahyarham P. Ramlee atau menampilkan unsur nostalgia.

Sebaliknya, beliau mahu menyampaikan mesej bahawa sesebuah hubungan tidak memerlukan dua individu yang serupa dalam semua perkara.

“Dari segi dialog video, kami mahu menyampaikan bahawa walaupun kami dua orang yang berbeza, dengan minat, cita rasa dan latar belakang yang berlainan, cinta juga tak bermaksud kami mesti melihat semua perkara dengan cara yang sama setiap masa.

“Walaupun kami dua orang berbeza dalam perjalanan hidup bersama, kami boleh mencipta sesuatu yang milik hanya kami berdua.”

Dalam video praperkahwinan mereka, Encik Yusoff dan Cik Tara menghidupkan semula aksi berjalan sambil melompat yang ikonik daripada filem Bujang Lapok.
Dalam video praperkahwinan mereka, Encik Yusoff dan Cik Tara menghidupkan semula aksi berjalan sambil melompat yang ikonik daripada filem Bujang Lapok. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM YUSOFF RASID

Tambah beliau, memasuki alam perkahwinan juga memberi makna baharu kepada perkataan yang sering digunakan pasangan bercinta.

Menurut Encik Yusoff, istilah ‘sayang’ kini bukan lagi sekadar panggilan manja, tetapi datang bersama tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Sekarang, ‘sayang’ bukan sekadar nama panggilan saja. Bila dah jadi suami, perasaan sayang terhadap isteri datang sekali dengan tanggungjawab dan amanah.

“Bukan sahaja dari segi kewangan atau mencari pendapatan, tetapi juga untuk menjaga emosi, kesejahteraannya dan kebahagiaan kami berdua.

“Dan kadang-kadang, duduk serumah bermaksud saya terpaksa menonton permainan Arsenal,” seloroh Encik Yusoff, seorang penyokong Chelsea.

Video praperkahwinan Encik Yusoff dan Cik Tara, yang dihasilkan oleh rakan mereka, Encik Taufiq Amaran, menampilkan unsur nostalgia menerusi latar suasana kampung dan pakaian klasik.
Video praperkahwinan Encik Yusoff dan Cik Tara, yang dihasilkan oleh rakan mereka, Encik Taufiq Amaran, menampilkan unsur nostalgia menerusi latar suasana kampung dan pakaian klasik. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM YUSOFF RASID

Menyentuh mengenai perancangan selepas berkahwin, Encik Yusoff berkata fasa baharu itu turut membuka ruang untuk beliau dan Cik Tara menghasilkan lebih banyak kandungan bersama.

Selain berkongsi perjalanan sebagai pasangan suami isteri, mereka juga bercadang menghasilkan sketsa ringan yang mengusik realiti kehidupan berumah tangga, serta berkongsi pengalaman mengembara bersama.

“Sebelum ini kami memang pernah menghasilkan kandungan bersama beberapa kali, tetapi selepas berkahwin, rasanya lebih banyak jenis kandungan yang boleh kami hasilkan.

“Selain berkongsi perjalanan kami sebagai pasangan suami isteri, sekali-sekala saya boleh buat sketsa yang mengusik Tara, atau menyindir secara santai jangkaan orang ramai terhadap seorang suami atau isteri,” kongsinya.