Seorang gadis berusia 13 tahun dilaporkan hilang sejak 28 September setelah keluar bersiar-siar bersama teman-temannya ke VivoCity dan sehingga kini masih belum pulang ke rumah.
Menurut ibu kepada gadis tersebut, Cik Siti Nadiya Mohamed Latiff, 37 tahun, ini adalah kali pertama anaknya, Sofea Adrianna Mohammad Aidil, tidak pulang semalaman.
Sofea yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Bendemeer, biasanya tidak pernah keluar hingga lewat malam.
“Pada sekitar 7 malam, saya telah menghubungi teman yang bersama Sofea, namun beliau memberitahu Sofea menyatakan hasratnya ingin pulang sekitar jam 4 hingga 5 petang.
“Walaupun rakan-rakannya sudah tiba di rumah, Sofea masih tidak pulang sehingga kini,” kata Cik Siti Nadiya kepada Berita Harian.
Pada hari kehilangan itu, Sofea dilaporkan memakai baju-T berwarna biru dan berseluar panjang berwarna putih, menurut keterangan rakan-rakannya yang turut berkongsi gambarnya di media sosial, sewaktu mereka bersama.
Cik Siti Nadiya juga menjelaskan bahawa Sofea bangun pagi seperti biasa dan membersihkan biliknya sebelum meminta izin keluar bertemu teman-temannya selepas waktu zuhur.
“Saya benarkan dia keluar dengan syarat pulang awal kerana ayahnya akan pulang dengan makanan. Ketika dia keluar rumah, saya berada di dalam bilik air, tetapi tiada sebarang petanda yang menunjukkan dia mahu melarikan diri,” tambah beliau.
Keluarga telah membuat laporan polis mengenai kehilangan Sofea dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan gadis tersebut.
“Saya ambil cuti hari ini dan tidak tidur semalaman kerana takut tidak dapat dihubungi. Suami saya juga sudah mencarinya dari Vivo City, ke Sentosa, sehinggalah East Coast Park. Sekarang beliau sedang mencari di daerah Jurong Point, dekat Boon Lay.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg