‘Gangguan awam’ atau sekadar rehat? Pesta suka ria pekerja asing cetus perdebatan netizen

Sep 17, 2025 | 11:06 AM
Kegiatan pekerja asing yang berseronok di Paya Lebar pada hari cuti mencetus perdebatan netizen – ada yang terganggu dengan kegiatan ini, ada yang tidak.
Kegiatan pekerja asing yang berseronok di Paya Lebar pada hari cuti mencetus perdebatan netizen – ada yang terganggu dengan kegiatan ini, ada yang tidak. - Foto TANGKAP LAYAR/TIKTOK @TAUFIKUL.ISLAM8

Satu sesi menari spontan oleh sekumpulan pekerja asing di luar stesen MRT Paya Lebar telah tular di TikTok, mencetuskan kritikan dan juga sokongan daripada netizen.

Klip berdurasi 13 saat itu, dimuat naik oleh pengguna TikTok @taufikul.islam8 pada 12 September, memaparkan beberapa pekerja asing menari dan bergelak ketawa di ruang terbuka di luar stesen MRT Paya Lebar.

Ada yang duduk di bangku batu, manakala yang lain menari bebas diiringi muzik kuat daripada pembesar suara di atas lantai, disertai sorakan penuh teruja.

Walaupun ada orang ramai yang berhenti seketika memperhatikan suasana meriah itu, kebanyakannya hanya berjalan lalu, tidak menghiraukan aktiviti itu.

Sehingga kini, video tersebut telah meraih lebih 338,200 tontonan dan 3,100 tanda suka.

Netizen beri reaksi negatif

Ramai netizen meluahkan rasa tidak senang terhadap perhimpunan itu, menyifatkannya sebagai “gangguan”, “memalukan”, “perhimpunan haram” dan “aib”.

Kritikan banyak ditumpukan kepada muzik yang kuat dan gelagat riuh kumpulan tersebut.

Seorang pengguna menulis: “Lebih daripada 100 peratus gangguan awam… Pasang muzik kuat, jerit, menari, menjadikan Paya Lebar tempat menyakitkan mata. Namun pihak berkuasa tidak buat apa-apa.”

Ada juga yang menyeru penguatkuasaan lebih ketat, dengan alasan peningkatan jumlah pekerja asing yang berkumpul di ruang awam menimbulkan kebimbangan tentang kemerosotan norma sosial.

Seorang netizen mengajukan soalan:

“Pemerintah dan sesetengah organisasi asyik kata pekerja asing ini tiada tempat untuk berseronok jadi tidak mengapa. Malah mereka disediakan ruang khas. Bagaimana pula dengan kita?”

Yang lain pula merungut:

“Singapura tidak lama lagi akan menjadi negara asing, bukan Singapura lagi.”

Beberapa netizen mendakwa perhimpunan sebegitu semakin kerap berlaku, dengan seorang berkata:

“Inilah sebabnya kawan saya pindah dari kondominium PLQ. Katanya hujung minggu selalu jadi mimpi ngeri.”

Pengasas badan amal pekerja migran gesa belas kasihan dan keterangkuman

Menjawab pertanyaan daripada akhbar The New Paper, Cik Dipa Swaminathan, pengasas badan amal ItsRainingRaincoats, berkata pekerja migran berhak mempunyai ruang untuk berehat.

“Ramai antara mereka hanya berpendapatan asas sekitar $18 sehari. Mereka tidak mampu untuk pergi ke pub mewah dan memesan minuman. Malah mungkin mereka tidak dialu-alukan di tempat sebegitu,” jelasnya.

Cik Swaminathan menegaskan bahawa pekerja ini selalunya tidak mempunyai ruang selesa untuk bersantai, memandangkan keadaan asrama yang sempit dan kerja mereka yang memerlukan tenaga fizikal.

“Apabila mereka melakukan sesuatu yang ‘heroic’, kita semua meraikan mereka. Mereka adalah orang yang sama – manusia juga, yang sesekali ingin berseronok,” tambahnya.

Beliau menyeru perubahan minda ke arah “penerimaan, rasa syukur dan belas kasihan” terhadap pekerja migran, dengan menekankan pentingnya mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat dan melayan mereka dengan penuh hormat.

Netizen lain pertahankan hak pekerja asing untuk berehat

Ramai netizen lain bersetuju, menyeru orang ramai untuk “biarkan mereka gembira”.

“Bagus melihat pekerja asing ini bergembira,” tulis seorang, manakala yang lain menambah bahawa mungkin itu satu-satunya hari rehat mereka.

Beberapa orang juga menekankan bahawa mereka nampak tidak mengganggu sesiapa pun.

“Mereka juga manusia. Biarlah mereka menikmati hari cuti mereka,” ujar seorang pengguna.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg