Seorang pembantu rumah yang membunuh ibu mentua majikannya dijatuhkan hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos, selepas hukuman asal penjara seumur hidup pada 2023 dikurangkan.
Ini kerana pertuduhan asal pembunuhan dikurangkan kepada homisid salah, atau culpable homicide, di mana yang tertuduh telah melakukan kesalahan tetapi tiada niat membunuh atau melakukan perbuatan cuai yang kejam.
Zin Mar Nwe, 24 tahun, menikam mangsa 26 kali pada 25 Jun 2018 selepas wanita berusia 70 tahun itu mengugut untuk menghantarnya pulang ke ejen pembantu rumah, lapor The Straits Times (ST).
Pembantu rumah asal Myanmar itu berusia 17 tahun pada masa kejadian, meskipun pasportnya menunjukkan usia 23 tahun, iaitu umur minimum untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura.
Dalam prosiding rayuannya pada 14 Mei, mahkamah menukar pertuduhan pembunuhan kepada homisid salah selepas menerima hujah peguam bahawa pembantu itu telah diugut pada masa kejadian.
Ketika menjatuhkan hukuman pada 26 Ogos, mahkamah berkata ugutan itu bersifat serius dan tiba-tiba, dengan “satu ucapan” mangsa dianggap sebagai ancaman terhadap pekerjaan serta mata pencarian pembantu rumah itu.
Mahkamah turut menegaskan bahawa ancaman itu turut didorong oleh faktor usia muda, kurang kematangan, masalah kewangan, keadaan keluarga, serta tindakan penderaan fizikal sebelum ini yang dilakukan oleh warga emas itu terhadap Zin Mar Nwe.
Pihak mahkamah yang terdiri daripada Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Tay Yong Kwang dan Hakim See Kee Oon, menilai serangan itu sebagai kejam dan penggunaan senjata menjadikan kesalahannya lebih berat.
Namun, hakim tidak menerima kenyataan pihak pendakwa bahawa Zin Mar Nwe cuba menyembunyikan jenayahnya, kerana walaupun dia telah membersihkan pisau yang digunakan, ia ditinggalkan di dapur.
Dia juga tidak mengambil sebarang langkah bermakna untuk mengelak ditangkap dan kembali ke agensi walaupun sedar terdapat risiko ditangkap.
Nama mangsa dan anggota keluarganya tidak boleh didedahkan kerana salah seorang saksi dalam perbicaraan berumur bawah 18 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kumaresan Gohulabalan, sebelum ini, memohon hukuman penjara antara 18 dengan 20 tahun.
Manakala, peguam yang mewakili Zin Mar Nwe secara pro bono di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah, Encik Josephus Tan dan Encik Cory Wong, memohon hukuman penjara antara 14 dengan 18 tahun.
Menurut peguam, anak guam mereka datang ke Singapura untuk membantu keluarganya yang berhutang, dan kata-kata mangsa mengancam mata pencarian pembantu rumah itu kerana dia berdepan risiko dihantar pulang ke Myanmar dengan bebanan hutang yang berat.
Zin Mar Nwe mula bekerja dengan majikannya, Encik S, pada 10 Mei 2018.
Dua minggu kemudian, ibu mentua Encik S tiba dari India untuk tinggal sebulan bersama keluarga itu.
Zin Mar Nwe berkata wanita warga emas itu memukul dan mengetuknya, serta pernah menarik tangannya dekat dengan api atau memukulnya dengan kuali panas akibat kecuaiannya semasa melakukan kerja rumah.
Pada 25 Jun 2018, ketika mereka berseorangan di flat, pembantu rumah itu menikam warga emas itu berulang kali menggunakan pisau selepas wanita tersebut mengancam untuk menghantarnya pulang kepada ejen.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg