Guna 8 peranti rebut slot di Rembayung, pempengaruh dari S’pura belanja orang tidak dikenali

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guna 8 peranti rebut slot di Rembayung, pempengaruh dari S’pura belanja orang tidak dikenali

Jan 29, 2026 | 4:25 PM

Guna 8 peranti rebut slot di Rembayung, pempengaruh dari S’pura belanja orang tidak dikenali

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Mengajak orang yang tidak dikenali untuk sama-sama menjamu selera di restoran milik Khairul Aming, Encik Faisal Marican (depan) belanja pasangan suami isteri, Encik Imran Matyan dan Cik Murni C Ronaldin.
Mengajak orang yang tidak dikenali untuk sama-sama menjamu selera di restoran milik Khairul Aming, Encik Faisal Marican (depan) belanja pasangan suami isteri, Encik Imran Matyan dan Cik Murni C Ronaldin. - Foto ihsan FAISAL MARICAN

Kesungguhan pelanggan untuk mendapatkan tempat di restoran yang tular jelas terbukti apabila pempengaruh dari Singapura, Encik Faisal Marican, berjaya memperoleh dua slot tempahan di restoran Rembayung milik usahawan dan pempengaruh terkenal Malaysia, Khairul Aming.

Menerusi sebuah video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya iaitu ‘01fhm’, Encik Faisal mendedahkan usaha gigihnya menggunakan empat buah komputer riba, dua telefon bimbit dan dua iPad semata-mata untuk mendapatkan tempahan.

Difahamkan, semua slot habis ditempah dalam tempoh hanya lima minit pada 11 Januari lalu selepas laman web tersebut dibuka.

Bagi slot pertama yang diberikan untuk 19 Januari bagi lima orang, Encik Faisal menikmati di Rembayung bersama keluarganya.

Namun, slot kedua pada 22 Januari yang diperuntukkan untuk tiga orang dimanfaatkan dengan cara yang lebih bermakna apabila bapa berusia 37 tahun itu mengambil inisiatif untuk berkongsi rezeki dengan orang awam.

Beliau mendekati beberapa individu di sekitar kawasan restoran Rembayung yang terletak di Kampung Baru dan menjemput mereka untuk makan bersama.

“Saya ingin mereka tidak terlepas peluang merasai pengalaman menjamu selera di restoran ini, memandangkan ia memang sukar untuk mendapatkan tempahan,” katanya ketika dihubungi.

Encik Faisal turut memuat naik video di TikTok yang memaparkan usahanya mempelawa beberapa orang untuk menyertainya.

Selepas beberapa percubaan, pelawaannya akhirnya diterima oleh sepasang suami isteri, Encik Imran Matyan dan Cik Murni C Ronaldin.

View post on TikTok

“Disebabkan saya ada satu slot tambahan, saya terfikir apa salahnya untuk berkongsi. Walaupun ada wang, seseorang masih tidak boleh makan di sini jika tidak berjaya mendapatkan tempahan,” jelas bapa kepada seorang anak perempuan itu.

Pasangan rakyat Malaysia itu sebenarnya menetap di Putrajaya dan kebetulan baru sahaja melawat ibu mereka di Kampung Baru ketika didekati Encik Faisal.

Menurut Encik Faisal juga, mereka pernah cuba membuat tempahan sebelum ini, namun tidak berjaya.

Pengalaman tersebut juga merupakan kali pertama pempengaruh itu menjamu selera bersama orang yang tidak dikenali.

Pada awalnya, pasangan berkenaan kelihatan terkejut serta agak malu dan segan, namun suasana menjadi lebih santai sebaik sahaja hidangan dihidangkan.

“Mungkin pada mulanya mereka menyangka ia satu helah penipuan. Tetapi apabila melihat saya dalam keadaan santai dan kami benar-benar duduk makan di restoran itu, barulah mereka rasa lebih selesa,” katanya.

Bagi dirinya sendiri, beliau tidak menghadapi sebarang masalah untuk bergaul kerana sudah biasa berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali.

“Pada awalnya mereka rasa segan dan juga telah menawarkan untuk berkongsi bil makanan tersebut, tetapi saya beritahu tidak mengapa dan biarlah saya yang belanja,” katanya.

Encik Faisal menjelaskan bahawa beliau memang berniat untuk merakam kandungan video dan telah membuat pesanan hidangan dalam jumlah yang banyak.

“Tiada siapa merancang untuk tiba-tiba membelanjakan wang yang banyak untuk makan tengah hari. Jadi saya rasa adalah adil untuk saya belanja mereka,” tambahnya lagi.

Video tersebut tular di TikTok dengan lebih 843,000 tontonan dan dibanjiri komen positif daripada netizen.

Antara komen yang mencuri perhatian adalah daripada pengguna ‘diaaafulan’ yang menulis: “Terima kasih orang baik ajak mereka yang tak dikenali makan Rembayung.”

Pengguna ‘publicgold.mhf’ pula berkata: “Esok saya nak cuba lalu depan (kedai Rembayung) itulah, mana tahu ada orang ketuk tingkap ajak makan di Rembayung.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg