Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Fenomena, aura Khairul Aming turut pancing pelanggan dari S’pura ke Rembayung

Dengan jumlah pengikut ramai, usahawan, pempengaruh terkenal M’sia lihat potensi tebar sayap niaga ke Kota Singa
Jan 9, 2026 | 5:00 PM
Malaysia, Khairul Aming, Rembayung
Usahawan yang juga pempengaruh terkenal Malaysia, Encik Khairul Aming, di hadapan restoran Rembayung, di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang mula beroperasi pada 6 Januari 2026. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Ketika usahawan yang juga pempengaruh berjaya Malaysia, Encik Khairul Aming, mengumumkan pembukaan restoran pertamanya, Rembayung, pada Disember 2025, media sosialnya dibanjiri puluhan ribu komen dan menarik jutaan tontonan. 

Kebanyakan pengikut dan peminatnya teruja, gembira dan ada yang tumpang bangga.

Tidak kurang juga yang mengecam soal harga dan konsep tempahan awal yang diketengahkan Encik Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman.

Mengikut menu, harga makanan yang dijual di Rembayung adalah antara RM5.90 ($1.86) bagi ikan masin rangup, dengan yang termahal iaitu ikan siakap sambal berlada, RM68.90.

Pencuci mulut pula berharga antara RM1.80 (kuih-muih) dengan RM22.90 (pengat nangka bersama pulut).

Mengangkat menu tradisi Melayu dalam suasana kampung moden, restoran Rembayung di Kampung Baru, Kuala Lumpur, itu menarik 450 pelanggan terawal pada hari pertama ia mula beroperasi pada 6 Januari.

Namun, tidak seperti pembukaan restoran lain, permulaan Rembayung mencetuskan gelombang emosi dan tarikan luar biasa daripada pengikutnya, termasuk dalam kalangan peminat Encik Khairul Aming dari Singapura dan serata dunia. 

Dua hari sebelum pembukaan restoran, sistem tempahan menerusi laman web, rembayung.my dua turut tergendala akibat trafik terlalu tinggi, apabila puluhan ribu pengguna mencuba nasib untuk menjadi antara pelanggan terawal Rembayung.

Fenomena Khairul Aming

Daripada pelancaran restoran yang habis ditempah lebih 3,000 pelanggan bagi tempoh seminggu operasi, sehinggalah keterujaan pengikutnya, ramai masih tertanya-tanya apakah yang ada pada Encik Khairul Aming sehingga hampir setiap yang dilakukannya mencetuskan fenomena.

Siri video masakan ‘30 hari Sepanjang Ramadan’ mencatat jutaan tontonan, manakala produk ‘Sambal, Rendang’ dan ‘Dendeng Nyet’ pula merekodkan jualan puluhan juta ringgit, dengan ada produk habis dijual dalam tempoh sesingkat 19 saat sejurus selepas ia dilancarkan.

Antara komen yang tertulis di media sosial saat pembukaan Rembayung: “KA (Khairul Aming) ini memang bijak. Lain daripada yang lain”; “Semoga Allah memberkati perniagaannya”; dan “Nak berjaya macam KA kena tiru cara beliau bekerja walaupun bermula dari bawah”.

Warga Singapura, Encik Mohammad Arif Selamat, 55 tahun, yang bersua dengan Encik Khairul Aming 34 tahun, buat kali pertama, dapat rasakan ketokohan pemuda kelahiran Kelantan itu yang juga lulusan ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat.

“Mengenali beliau di media sosial pun sudah cukup memberi inspirasi, apatah lagi berpeluang berjumpa di Rembayung... saya dapat rasakan auranya sebagai insan kaya inspirasi.

“Khairul Aming bijak mengatur dan mengurus perniagaan, malah personalitinya disenangi ramai membuatkan ramai setia menyokong setiap apa yang dilakukannya,” katanya, yang menjadi pelanggan pertama dari Singapura yang turut ikut serta dalam merasmikan pembukaan Rembayung.

Pelanggan Rembayung, Cik Melani Arshad, 38 tahun.
Pelanggan Rembayung, Cik Melani Arshad, 38 tahun. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Cik Melani Arshad, 38 tahun, dari Cyberjaya pula menyifatkan Encik Khairul Aming sebagai pemuda berwawasan, sentiasa berfikir dan bertindak di luar kelaziman serta memiliki personaliti menyenangkan.

“Kita dapat rasakan keikhlasan dan kejujuran beliau menyampaikan kandungan di media sosial. Beliau juga sangat merendah hati dan tidak sombong walaupun semakin berjaya.

“Beliau jalankan perniagaan tanpa gimik mengarut atau kontroversi. Itu yang membuatkan masyarakat menghormatinya sebagai pempengaruh yang wajar dijadikan teladan,” katanya.

Titik permulaan perjalanan

Di sebalik fenomena itu, perjalanan Encik Khairul Aming, sebenarnya bermula daripada sesuatu yang sederhana – melalui pengalamannya sejak usia kecil belajar berniaga kuih bersama ibu di pasar. 

“Daripada situ saya belajar berkomunikasi dengan orang, ambil maklum balas dan sentiasa tambah baik khidmat perniagaan dan saya gunakan hingga hari ini,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Bagi dirinya, nilai itulah yang menjadi teras dalam setiap keputusan perniagaan beliau.

Encik Khairul Aming mengakui tiga kali beliau menangguhkan rancangan membuka restoran pertamanya itu kerana bimbang terhadap skala operasi dan keupayaan mengurus jumlah pengunjung yang besar.

Kebimbangannya itu berasas memandangkan kelompok pengikut dan peminat penerima Anugerah Maulidur Rasul 2025 (Kategori Usahawan) itu bukan hanya dari Malaysia, malah beliau dikenali di serata dunia.

“Tiga kali juga saya tarik handbrake sebelum benar-benar yakin, sehinggalah akhirnya saya nekad kerana bagi saya, jika mahu berjaya kita kena keluar daripada zon selesa.

“Sebenarnya saya mahu berada di belakang tabir, tetapi penyokong pasti mahu lihat kita berkembang maju, jadi akhirnya saya putuskan untuk tonjolkan diri,” katanya.

Rembayung berkonsep rumah kaca yang dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 8,000 kaki persegi dengan kos RM4 juta itu diusahakan Encik Khairul Aming dengan sokongan dua rakan kongsi berpengalaman dalam bidang makanan dan minuman (F&B).

Encik Khairul Aming turut menekankan pentingnya untuk sentiasa mempelajari perkara baru agar kekal relevan dalam setiap bidang yang diceburi.

Antara kuih warisan Melayu yang dijual pada harga RM1.80 sekeping di restoran Rembayung, Kampung Baru, Kuala Lumpur, milik usahawan yang juga pempengaruh popular Malaysia, Encik Khairul Aming.
Antara kuih warisan Melayu yang dijual pada harga RM1.80 sekeping di restoran Rembayung, Kampung Baru, Kuala Lumpur, milik usahawan yang juga pempengaruh popular Malaysia, Encik Khairul Aming. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Walaupun popular dan dikatakan jutawan, Encik Khairul Aming, tetap memilih untuk menunduk ke bumi dan tidak terlalu kisah untuk menonjolkan kebendaan atau kemewahan.

“Sebenarnya apabila kita terlalu sibuk, kita tak sempat nak belanja diri sendiri. Asalkan saya ada kediaman dan kenderaan untuk bergerak, ia sudah memadai. Saya lebih suka untuk kumpulkan wang itu untuk kembangkan perniagaan saya,” katanya.

Dengan jumlah pengikutnya yang ramai dari Singapura, Encik Khairul Aming tidak menolak untuk mengembangkan sayap perniagaan ke negara ini satu hari nanti.

“Seperti yang saya katakan, ini restoran pertama saya dan ia baru bermula. Insya-Allah akan ada lagi selepas ini. Namun konsep bagaimana cara mengembangkannya, belum ada keputusan lagi. 

“Tetapi Rembayung adalah fasa baru perniagaan KA (Khairul Aming) dan permulaan untuk 10 tahun akan datang, jadi sudah tentu ada perancangan mengembangkannya nanti,” kata beliau.

Sekadar ‘hype’ atau pengaruh jangka panjang?

Walaupun ada segelintir pihak mungkin melihat fenomena Khairul Aming sebagai ‘hype’ biasa dek pengaruh media sosial, pemerhati menekankan trajektori Khairul Aming menunjukkan sesuatu yang lebih berterusan.

Pengarah Pusat Jaringan Komuniti, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Siti Hafsyah Idris.
Pengarah Pusat Jaringan Komuniti, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Siti Hafsyah Idris. - Foto UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA

Menurut Pengarah Pusat Jaringan Komuniti, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Siti Hafsyah Idris, kejayaan Encik Khairul Aming, didorong keupayaannya bertanggungjawab penuh terhadap naratif perniagaan dan kehidupannya sendiri, tanpa menyalahkan faktor luaran. 

Menurutnya, dari sudut psikologi, sikap itu membentuk persepsi kewibawaan dan keikhlasan yang tinggi, sekali gus membina kepercayaan kukuh dalam kalangan audiens, khususnya generasi muda.

“Daripada sudut Law of Attraction, beliau memancarkan vibrational match (keserasian) yang positif melalui sikap pemurah dalam berkongsi resipi dan ilmu, yang secara tidak langsung menarik sokongan masyarakat.

“Secara psikologinya, keikhlasan beliau dalam berkomunikasi membina kepercayaan yang teguh, terutama dalam kalangan Generasi Z.

“Keupayaan Khairul Aming menangguhkan ganjaran diri atau delayed gratification merupakan antara faktor terpenting kepada kejayaan berterusan.

“Beliau tidak tergesa-gesa menikmati kemewahan peribadi, sebaliknya memilih untuk melabur semula keuntungan dalam pembangunan perniagaan.

“Pendekatan ini mencerminkan disiplin diri dan perancangan strategik yang matang, berbanding kejayaan pantas yang mudah pudar,” katanya kepada BH.

Dr Siti Hafsyah menambah, faktor yang membezakan Khairul Aming dengan kebanyakan pencipta kandungan dan usahawan lain ialah kepercayaannya bahawa mutu hasil kerja berada dalam kawalan individu, bukan semata-mata ditentukan oleh algoritma atau trend semasa. 

“Dengan mengutamakan penciptaan nilai, beliau sentiasa berevolusi daripada penghasilan kandungan masakan kepada penceritaan yang lebih luas dan bermakna, sekali gus mengekalkan pengaruh dalam jangka panjang.

“Daripada sudut pengurusan emosi pula, keupayaan kawalan emosi dan tahap kecerdasan emosi (EQ) yang tinggi membolehkan Khairul Aming menangani tekanan dan kritikan secara berhemah dan matang, sekali gus memperkukuh reputasi sebagai tokoh yang stabil, berwawasan dan dipercayai,” katanya.

Selepas tiga hari beroperasi, soal harga makanan di Rembayung masih menjadi perdebatan ramai.

Ada segelintir mengeluh ia mahal, manakala sebahagian besar menyifatkannya berbaloi dengan saiz makanan, mutu dan khidmat pekerja yang cekap.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur.
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur. - Foto UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur, mengaitkan jenama Khairul Aming dalam kategori jenama premium yang sah, yang membolehkan harga diletakkan berdasarkan kekuatan dan kredibiliti jenama.

“Dalam teori ekonomi, pendekatan ini dikenali sebagai premium brand pricing.

“Dalam industri F&B, pengguna lazimnya sanggup membayar harga lebih tinggi bagi jenama yang mempunyai reputasi kukuh, pengalaman tersendiri dan kepercayaan pelanggan.

“Justeru, kadar harga yang ditetapkan di Rembayung tidak boleh dinilai secara perbandingan biasa, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan kedudukan jenama yang telah dibina Khairul Aming sejak bertahun-tahun lamanya,” katanya kepada BH.

Menurut beliau, teori yang sama turut digunakan oleh restoran berjenama terkenal dan antarabangsa.

Sesetengah pelanggan berpendapat harga makanan di Rembayung yang mencecah maksimum RM60 sepinggan, lebih munasabah berbanding beberapa restoran masakan Melayu lain di Kuala Lumpur.
Sesetengah pelanggan berpendapat harga makanan di Rembayung yang mencecah maksimum RM60 sepinggan, lebih munasabah berbanding beberapa restoran masakan Melayu lain di Kuala Lumpur. - Foto CIK MELANI ARSHAD

Dr Mustazar juga pasti penetapan harga di Rembayung sudah mengambil kira kos nyata dan kos tidak nyata, merangkumi pelaburan membangunkan struktur restoran, sewa, sistem tempahan, operasi harian, upah pekerja serta mutu perkhidmatan dan persembahan makanan.

“Pada masa sama, kos tidak nyata seperti reputasi dan nilai jenama yang dikenali sebagai goodwill turut menjadi faktor utama.

“Gabungan kededua kos ini, ditambah dengan tarikan terhadap pelancong asing serta kumpulan pelanggan setia yang tidak sensitif terhadap harga, memperlihatkan kadar harga makanan di Rembayung adalah sesuai dengan penawaran, manakala sasaran pelanggannya jelas terdiri daripada golongan yang sanggup membayar bagi pengalaman, jenama dan mutu yang ditawarkan,” katanya.

“Tiga kali juga saya tarik handbrake sebelum benar-benar yakin, sehinggalah akhirnya saya nekad kerana bagi saya, jika mahu berjaya kita kena keluar daripada zon selesa. Sebenarnya saya mahu berada di belakang tabir, tetapi penyokong pasti mahu lihat kita berkembang maju, jadi akhirnya saya putuskan untuk tonjolkan diri.”
Encik Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, usahawan yang juga pempengaruh Malaysia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg