Guru persoal cadangan panjangkan waktu jagaan prasekolah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Guru persoal cadangan panjangkan waktu jagaan prasekolah

Mar 5, 2026 | 12:49 PM

Guru persoal cadangan panjangkan waktu jagaan prasekolah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
prasekolah, waktu jagaan, pendidikan awal kanak-kanak
Waktu jagaan prasekolah yang dilanjutkan akan membawa implikasi seperti syif lebih panjang, serta keletihan melampau atau ‘burnout’ dalam kalangan pendidik, kata Cik Syaza Fikriyah, seorang guru prasekolah. - Foto fail

Setelah mendengar saranan di Parlimen agar waktu penjagaan prasekolah dilanjutkan, pendidik prasekolah, Cik Syaza Fikriyah Awalludin, tergerak tampil bersuara di media sosial mengenai implikasi langkah tersebut.

Beliau meluahkan kebimbangannya langkah itu boleh memburukkan lagi isu keletihan melampau dalam sektor yang sedia tertekan.

Cik Syaza, 26 tahun, seorang guru prasekolah yang telah berkhidmat sepenuh masa sejak 2023 dan pernah melalui latihan dan mendapat pengalaman dalam industri sejak 2018 semasa menjalani kursus Nitec Lanjutan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central.

Dalam satu surat terbuka yang dikongsi menerusi TikTok, beliau meluahkan secara jujur tentang implikasi pelanjutan waktu operasi terhadap guru di lapangan.

“(Anda mahu) lanjutkan prasekolah sampai selepas 7 malam? Mari kita bercakap secara jujur tentang maksudnya,” tulisnya.

“Syif lebih panjang. Lebih keletihan. Lebih ramai berhenti kerja. Lebih sedikit guru yang sanggup kekal dalam industri.”

Beliau menulis surat terbuka tersebut sebagai respons kepada cadangan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) di Parlimen agar sesetengah prasekolah mempertimbangkan untuk melanjutkan waktu penjagaan hingga 7.30 malam setiap hari bagi memenuhi keperluan ibu bapa bekerja.

Cik Syaza yang telah melanjutkan pelajarannya ke peringkat Diploma dalam jurusan yang sama daripada Politeknik Temasek menegaskan bahawa responsnya bukan kerana tidak berpuas hati dengan kerjayanya.

“Ini bukan rungutan tentang pekerjaan saya. Saya memilih profesion ini. Saya kekal kerana saya percaya tahun-tahun awal kanak-kanak itu penting,” katanya sambil menambah bahawa ramai pendidik awal kanak-kanak benar-benar bersemangat dalam menjalankan tugas mereka.

“Kami meraikan perkataan pertama, persahabatan pertama, kejayaan pertama. Kami membawa anak-anak ini dalam hati kami walaupun selepas mereka meninggalkan kelas.”

Namun, beliau mengingatkan bahawa “semangat tidak menghapuskan keletihan”.

Dalam surat terbukanya, Cik Syaza memperincikan realiti harian seorang guru prasekolah – tanggungjawab yang menurutnya sering disalah faham.

“Guru menguruskan kelas antara 15 hingga 25 kanak-kanak pada satu-satu masa, di peringkat perkembangan yang memerlukan perhatian rapi.

“Mereka memudah cara pembelajaran, mengurus tingkah laku, mencegah kemalangan, memantau isu kesihatan dan memastikan keselamatan setiap masa.

“Satu kelalaian boleh mengakibatkan kecederaan,” tulisnya.

Di luar waktu pengajaran, pendidik turut menyediakan bahan pembelajaran, mendokumentasikan perkembangan kanak-kanak, menulis penilaian, berkomunikasi dengan ibu bapa serta menghadiri mesyuarat dan kursus pembangunan profesional – tanggungjawab yang kerap berlanjutan melepasi waktu operasi rasmi.

“Inilah skop biasa pekerjaan kami, sebelum sebarang perbincangan untuk melanjutkan waktu lagi,” jelasnya.

Semasa bercakap dengan Berita Harian (BH) Cik Syaza berkata beliau sekadar berkongsi perspektif sebagai seseorang yang bekerja dalam sektor ini.

View post on TikTok

“Melihat respons yang diterima, saya menyedari bahawa ramai pendidik merasakan perkara yang sama. Ramai guru, sama ada yang masih berkhidmat mahupun yang telah meninggalkan bidang ini, berkongsi pengalaman dan cabaran yang serupa.

“Ada juga yang menyebut bahawa selepas meninggalkan industri ini, mereka menghadapi kesukaran untuk beralih ke sektor lain kerana set kemahiran kami sering disalah fahami atau dipandang rendah di luar bidang pendidikan awal kanak-kanak,” katanya lagi.

Cik Syaza turut menimbulkan isu lebih besar – persepsi masyarakat yang masih melihat guru prasekolah sebagai pengasuh semata-mata, bukan pendidik terlatih.

“Sektor awal kanak-kanak memerlukan kelayakan, pensijilan, pengetahuan kurikulum, kepakaran perkembangan kanak-kanak dan pematuhan peraturan,” tulisnya.

“Apabila orang menganggap kami ‘sekadar bermain dengan kanak-kanak’, ia meremehkan kerumitan tugas sebenar kami.”

“Kami membesarkan anak-anak negara,” tulisnya. “Kami tidak seharusnya kehilangan keluarga sendiri dalam proses itu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg