Topik diikuti
Pergi ke BHkuHadiah kejutan motosikal penuh makna buat sang suami
Hadiah kejutan motosikal penuh makna buat sang suami
Hadiah kejutan motosikal penuh makna buat sang suami
Setiap malam selepas tamat bekerja, Encik Mohamed Riduan Ramlee akan melangkah masuk ke rumah ketika suasana sudah sunyi.
Anak perempuannya yang berusia empat tahun dan anak lelakinya yang baru berusia setahun lazimnya sudah lena dibuai mimpi, menyebabkan beliau hanya sempat meluangkan beberapa detik bersama mereka pada waktu pagi sebelum keluar bekerja.
Namun, keadaan itu berubah pada 10 Julai apabila isterinya, Cik Shereen Shazlina Shiharuddin, menghadiahkannya sebuah motosikal Yamaha YZF-R3 berwarna biru sempena hari lahirnya baru-baru ini.
“Hadiah itu bukan sekadar memenuhi minat lama saya terhadap motosikal, tetapi ia juga membolehkan saya pulang lebih awal dan meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak,” terangnya kepada Berita Harian (BH).
Menurut Encik Riduan, 44 tahun, yang bekerja sebagai perunding hubungan pelanggan di gim Virgin Active cawangan Marina One, beliau sebelum ini memandu kereta ke tempat kerja setiap hari.
Perjalanan pulang yang mengambil masa lebih 40 minit menyebabkan beliau lazimnya hanya tiba di rumah sekitar 9.30 malam.
Kini, dengan motosikal baharu itu, perjalanan pulangnya hanya sekitar 20 minit.
“Saya bukan sahaja dapat sampai rumah lebih awal, tetapi saya berpeluang bermain, meluangkan masa, dan menidurkan anak-anak saya,” jelasnya.
Bagi Encik Riduan, tambahan sekurang-kurangnya 20 minit bersama keluarga pada setiap hari bekerja merupakan hadiah yang jauh lebih bermakna daripada motosikal itu sendiri.
Saat Encik Riduan menerima motosikal itu turut dikongsi Cik Shereen, 37 tahun, menerusi sebuah video di TikTok yang kini meraih lebih 200,000 tontonan.
Video itu memaparkan Encik Riduan terpaku seketika selepas isterinya secara bersahaja menghulurkan kunci motosikal tersebut kepadanya di sebuah tempat letak kereta bertingkat.
Bagi ramai warganet, ia merupakan hadiah hari jadi yang mewah.
Namun bagi pasangan itu, motosikal tersebut sebenarnya adalah satu pelaburan untuk ‘membeli’ lebih banyak masa bersama keluarga.
Menurut Cik Shereen, merancang kejutan itu bukan sesuatu yang mudah.
Selepas menemui motosikal berkenaan di wadah beli dan jual barangan dan perkhidmatan Carousell pada 7 Julai, beliau mengatur supaya penjual, Encik Asriyan Asmaran, kakitangan di Tan Wei Motorcycles, membawanya ke tempat kerjanya untuk diperiksa secara rahsia.
“Saya sepatutnya berjumpa dengan suami saya di tempat kerjanya, tetapi saya terpaksa memberi alasan kerana saya masih lagi sedang memeriksa motosikal itu,” ujar Cik Shereen sambil tertawa.
Tambahnya, motosikal terpakai bernilai $8,800 itu telah dibayar sepenuhnya.
Walaupun ramai warganet TikTok tertumpu pada nilai motosikal, Encik Riduan berkata perkara yang paling dihargainya bukanlah motosikal itu, tetapi insan yang menghadiahkannya.
“Isteri saya seorang wanita yang sangat baik dan gemar merancang kejutan kecil untuk saya setiap kali menjelang hari lahir,” kata Encik Riduan sambil merenung ke arah isterinya.
Apabila seorang pengguna TikTok meninggalkan komen di videonya supaya beliau menghargai isterinya, Encik Riduan membalas:
“Isteri saya sebenarnya adalah hadiah paling besar dalam hidup saya.”
